Monday, February 1, 2016

Ola Bola : Satu Cerita Seribu Makna


Tatkala ini jika ada teaser di kaca televisyen tentang filem-filem yang akan ditayangkan di panggung pastinya kaki-kaki wayang akan bersiap sedia pada hari pertama tayangan. Untuk masa terdekat ni filem-filem seperti Polis Evo dan Dilwale berjaya membuatkan sang kaki wayang berpusu-pusu beratur membeli tiket dan tidak ketinggalan yang hanya beronline. 

Tapi adakah pada tarikh 28 Januari 2016 baru ini sang kaki-kaki wayang di Malaysia ini terlupa ada sebuah filem yang sebenarnya menjadi rebutan tiket di semua panggung di Malaysia. Ola Bola, bukan sekadar mengisahkan tentang bola sepak tetapi ianya mempunyai kesemua aspek di dalam kehidupan seperti semangat cintakan negara, sifat kasih sayang, sifat 1 Malaysia, sifat kekeluargaan, semangat persahabatan dan sifat kesepasukanan. 

Sejarah bola sepak Malaysia pada akhir 70-an diungkai kembali. Nama-nama besar di dalam kancah bola sepak era 70-an seperti A. Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Khalid Ali dan Jurulatih yang bertanggungjawab ketika zaman itu adalah Larl Heinz Weigang. Walaupun pengarah tidak menggunakan nama lagenda sebenar tetapi kisah hidup dan kesungguhan barisan lagenda Malaysia pada ketika itu ditafsirkan oleh pelakon-pelakon baru dengan lakonan.


Pasti ramai beranggapan apabila filem bola, hanya adegan-adegan bola sepak sahaja yang akan diolah oleh pengarah filem, tetapi bagi Filem Ola Bola ini boleh dikatakan kehidupan seorang pemain bola diungkap bermula dari akar umbi sehinggalah mengeluarkan buahnya. Tidak cukup dengan itu elemen-elemen kekeluargaan, kesetiaan, kesepakatan dan kepimpinan turut ditunjuk dan dipertontonkan kepada semua. 

Ola bola juga bukan sahaja menceritakan kisah pasukan Malaysia di era 80-an tetapi mengisahkan kesungguhan pemain-pemain yang ke-12 menyokong pasukan kebanggaan kita ketika itu iaitu Malaysia. Ini dapat ditunjukkan ketika itu walaupun pasukan di ambang kekekalahan tetapi stadium tetap dipenuhi dengan penyokong dan juga sanggup bergadai nyawa memanjat pokok untuk menyaksikan perlawanan. 

Benarlah kata orang tua, tak kenal maka tak cinta. Bagaimana watak wartawan Marianne yang ditugaskan untuk mengungkai sejarah bola sepak negara tetapi beliau sanggup untuk berhijrah ke England hanya kerana tidak menjumpai permata yang betul-betul berharga sehinggalah pertemuan dengan Eric (nama lakonan). Cinta kepada bola sepak dan tanahair membuatkan beliau mengambil keputusan untuk meneruskan mencari bahan dan menetap di Malaysia.

Watak utama di dalam Ola Bola iaitu Tauke atau Soh Chin Aun yan berasal dari keluarga yang susah dan terpaksa melepaskan peluang untuk menyambung pelajaran ke England demi tanah air tercinta. Sifat kepimpinan beliau di atas padang membuatkan pemain lain menghormati beliau bukan keran takut kepada beliau. Sokongan dari seorang ibu yang sanggup menyediakan sup pati ayam untuk memastikan anaknya sentiasa sihat untuk beraksi di padang dan menjaga keluarga. Walaubagaimana pun manusia itu serba lemah pasti ada kekurangannya tetapi kekurangan itu dapat diatasi dengan bantuan orang lain kerana manusia tidak akan berjaya dengan seorang diri. 

Ayat yang akan terpahat di dalam ingatan aku pastinya,
"Kita menang untuk diaorang boleh tak?"

Berlainan dengan nasib Muthu atau watak sebenarnya adalah R Arumugam yang mendapat tentangan daripada keluarga hinggakan ayahnya tidak mengaku beliau sebagai anaknya. Niat yang kuat demi negara tercinta beliau meneruskan hasratnya kerana beliau tahu pasti ada ketikanya ayahnya akan menerimanya. Terngiang-ngiang ayat dari Muthu, 
"Ali !!! Ko tendang kuat-kuat penalti aku tak nak kalah lagi!! Dah banyak kali aku kalah !! Kali ini aku tak nak ditewaskan lagi!!" Jerit Muthu.
"Kuat lagi Ali !!! Kuat lagi!!"
"Setiap orang yang kat luar tu!! Datang nak tengok kita menang!!"

Ali yang membawa watak Khalid Ali yang akan sentiasa mengadakan latihan tambahan untuk diri beliau sendiri. Beliau juga sanggup menyembunyikan kesakitannya semata-mata untuk bermain demi pasukan negara. Kesungguhan dan kekuatan yang ada pasa Ali akhirnya dibayar dengan jurulatih memberikan jersi keramat bernombor 10 kepada beliau. Dan pastinya ayat yang sentiasa diingati adalah,
"Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama".

Tidak ketinggalan kepentingan seorang jurulatih yang bukan hanya berfikir apa yang dia nampak tetapi berfikir diluar kotak permikiran. Sehinggakan kesemua pemain mampu untuk beraksi di banyak posisi. 
"Tak dapat jaringan bermaksud tidak menang"
"Walauapapun yang berlaku kita tetap bersama sebagai satu pasukan"
"Apa hang kamu buat diluar sana!! sama ada kamu bermain dengan sepenuhnya!! Itu pilihan kamu"

Eleman ketenteraan yang diterapkan juga membawa seribu erti di dalam sesebuah pasukan dan yang pasti skrip yang digunakan benar-benar membuatkan aku sendiri beremang buku roma.
"Rakan-rakan kamu mereka adalah nyawa kamu!!"
"U cover I, I cover U"
"Di medan peperangan jika kamu tidak lindungi rakan kamu jawapannya mati!!"

Banyak lagi sebenarnya adegan-adegan yang menarik dan menjadi ingatan. Yang pastinya penggunaan ayat menambah citarasa Ola Bola. Video grafik yang ala-ala 80-an juga membawa para penonton bagaikan berada di waktu tersebut. Ikhlas dari aku Ola Bola betul-betul membuatkan hati aku sebak dan perasaan aku menjadi marah kerana sifat, adegan dan sikap sebegini tidak dapat aku saksikan pada hari ini. 

Kepada pemain-pemain kebangsaan hari ini, kepada pemain-pemain bola yang ada lencana di dada, kepada peminat-peminat bola dan sesiapa sahaja saksikanlah Ola Bola dan kita tanamkan semangat Bola Malaysia pada zaman dahulu ke dalam diri kita supaya menjadi pedoman dan kekuatan untuk kita pada hari ini. 

Bola bukan sahaja kerana wang ringgit tetapi bola adalah kerana maruah. Maruah diri, maruah keluarga, maruah negara yang kita cintai.


Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...