Wednesday, January 23, 2013

22/365 Hari Bersama Foto



Masa diriku kecil aku idamkan kasut sebegini, tapi aku sedar aku tak mampu, kini aku bagikan kebahagiaan itu kepada si kecil yang bernama Afi Darwisy.

Afi Darwisy ayah sayangkan kamu.

21/365 Hari Bersama Foto



Kini nama Koji semakin menjadi bualan di bibir peminat bola sepak Pahang. Boleh dikatakan setiap game Pahang Koji akan meledakkan gol buat Pahang. Anak kelabiran Pekan ini kini terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan. tahniah Koji.

Monday, January 21, 2013

20/365 Hari Bersama Foto



Gelagat sang anak sentiasa akan membuatkan sang ibu dan sang ayah mahu pun sangsesiapa sahaja akan tersenyum. Apa jua yang digayakannya menjadi penyeri di dalam kehidupan. Telatah yang dipersembahkan membuatkan kita tertawa.

Sang anak yang mempunyai kuasa semulajadi dari Allah yang maha esa. Dijadikan sebagai penyeri di dalam sesebuah keluarga. Dilahirkan sebagai penyambung zuriat sebuah keturunan. Dijadikan sebagai teman dikala kerinduan.

Sang anak yang semakin membesar, memerhatikan persekitarannya yang sering berubah suasana. Mengajar sang anak erti kehidpan yang sebenar.

19/365 Hari Bersama Foto



Mata ini menjadi saksi kepada kehidupan hari ini. Mata yang sering berkaca sejernih air di kali.

18/365 Hari Bersama Foto



Jersi away Pasukan Pahang ala-ala Juve dah. Gambar ini dirakamkan semasa perlawan diantara Pasukan Pahang bertemu dengan Selangor. Kadang-kadang terfikir jugak bilakah Pasukan Pahang akan kembali menggunakan tridemark hitam putih ini untuk jersi home? Sedangkan hitam putih itu amat sinonim dengan Negeri Pahang.

Saturday, January 19, 2013

17/365 Hari Bersama Foto



Dari sebesar ibu jari kini kau telah besar. Didikan dunia akhirat ku terapkan ke dalam dirimu. Semoga suatu hari nanti sang kecil ini menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa dan negara. insya Allah.

Friday, January 18, 2013

16/365 Hari Bersama Foto



Kini Dhedaun Picture genap setahun dahulunya Bayualamfotodesign kini Dhedaun Picture lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti. Nantikan promosi-promosi hebat yang akan dilaksanakan oleh Dhedaun Picture.

Thursday, January 17, 2013

15/365 Hari Bersama Foto



Dua watak kartun yang berbeza. Dirakamkan untuk peningkatan diri di dalam seni fotografi

Wednesday, January 16, 2013

14/365 Hari Bersama Foto



Our hero, Fauzi a.k.a. koji sudah menjaringkan 3 gol buat Pahang. Seorang penyerang yang bertubuh kecil tetapi mempunyai nafsu untuk menjaringkan gol yang sangat hebat. Beliau juga mampu untuk bermain di bahagian tepi dan terutamanya sebagai seorang penyerang.

Kini nama Koji telah mendapat perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagopal untuk misi Piala Asia nanti. Syabas diucapkan kepada Koji, tingkatkan usaha, tingkatkan prestasi insya Allah kejayaan dihadapanmu...

Tuesday, January 15, 2013

13/365 Hari Bersama Foto



Kedai makan Tanjung Lumpur menjadi saksi kepada keprihatinan dan kepercayaan jurulatih Pahang, Dollah Salleh dan kepimpinan skuad Tok Gajah ini terhadap Elephant Army. Perjumpaan ramah mesra yang diajurkan oleh pihak kepimpinan Tok Gajah membuatkan Dollah Salleh terasa terharu.

Beliau menyeru di dalam ucapan beliau supaya, semua penduduk di negeri Pahang ini sama-sama menyokong Pasukan Pahang sehingga ke akhirnya, seperti mana yang dilaksanakan oleh sebilangan warga Pahang yang bernaung di bawah satu nama iaitu Elephant Army yang tidak pernah serik dan mengenal erti letih untuk menyokong Pasukan Tok Gajah. tahniah. tahniah.

Sesungguhnya tanpa sokongadaripada penyokong Pahang akan mentealisasikan Dollah Salleh dan kepimpinan pasukan untuk merangkul satu piala pada musim ini.

Sunday, January 13, 2013

12/365 Hari Bersama Foto



Zaman kecik-kecik dulu pastinya kartun inilah yang menjadi kegilaan kanak-kanak, sekarang pun masih top. Kartun di televisyen, komik di kedai buku dan cerita online di internet. Sang Goku dan Sang Bezita.

Sesungguhnya pengaruh kartun ini bukan sahaja menular dikalangan kanak-kanak tetapi dikalangan orang dewasa jugak seperti kawan hehehhehe.

11/365 Hari Bersama Foto



Tidak dapat dinafikan kawan bermulanya patung-patung mainan ni masa terbaca artikel Afdlin Shauki di surat khabar. Penuh rumah dia dengan pelbagai jenis patung idolanya. Tapi masa itu mur kawan baru 10 tahun, memang tak dapat lah walaupun yang berharga RM7.50.

Tapi apabila kawan dah mula bekerja, masa kat Bentong dulu, kawan mula beli sedikit demi sedikit. Dan kini semakin banyak. Dn kawan mula berhenti membeli apabila dimarahi oleh ibu saudara ku, yang menyatakan malaikat tak masuk rumah kalau dijadikan perhiasan tapi kalau jadi barang mainan boleh diteruskan.

Oleh yang demikian secara rasminya ianya adalah milik Afi Darwisy ....

Friday, January 11, 2013

10/365 Hari Bersama Foto



Selama kawan bermain dengan kamera, rasanya genre yang paling tak pernah kawan ni mencuba adalah 'dunia macro'. Suatu genre yang basicnya perlukan kesabaran yang tinggi, ketekunan, ketelitian ketajaman mata, kepantasan dan pelbagai lagi.

Sedangkan kawan ini adalah seorang insan yang kurang kesabarannya, kurang keteliiannya, dan yang sewaku dengan nya. Walaubagaimana pun. Dengan adanya cabaran seperti 365 Hari Baersama Foto ini, mungkin membuatkan kawan mahir serba sedikit tentang genre-genre yang terdapat di dalam di dalam dunia fotografi ini.... Insya Allah

12 Adab Berhadapan Dengan Suami


Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar ke atas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya."



Ibubapa dan anak-anak

Kesilapan Kita Sebagai Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-Anak

1. Kesilapan pertama: Kurang BerdoaKurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah
* Saidul (penghulu) istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3:8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3:38)
* Doa agar anak mengerjakan solat ((Al-Quran Surah Ibrahim, 14:40-41)

Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah
* Doa agar anak patuh kepada Allah s.w.t (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2:128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Fuqan, 25:74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak membaeri belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti:
* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* Terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur mereka secara negatif
* Mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah)
* Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)
* Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
* Sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’: “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”
(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
* Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati syarak bile berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas
* Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah
* Seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak
* Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu Sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang
* Seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktivi yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Berrtengkar di depan anak-anak
* Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibu bapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk ke dalam rumah
* Samada dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton
* Samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangn dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak
* Sebagai ibu bapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.
“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.”
(Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)



Erti sebuah kehidupan

Jika kamu terus menunggu waktu yang tepat, mungkin kamu tidak akan pernah mulai. Mulailah sekarang...mulailah di mana kamu berada sekarang dengan apa adanya.

Jangan pernah pikirkan kenapa kita memilih seseorang untuk dicintai, tapi sadarilah bahwa cintalah yang memilih kita untuk mencintainya.

Perkawinan memang memiliki banyak kesusahan, tetapi kehidupan lajang juga memiliki suka-duka. Buka mata kamu lebar-lebar sebelum menikah, dan biarkan mata kamu setengah terpejam sesudahnya.

Menikahi wanita atau pria karena kecantikannya atau ketampanannya sama seperti membeli rumah karena lapisan catnya. Harta milik yang paling berharga bagi seorang pria di dunia ini adalah hati seorang wanita.

Begitu juga Persahabatan, persahabatan adalah 1 jiwa dalam 2 raga Persahabatan sejati layaknya kesehatan,nilainya baru kita sadari setelah kita kehilangannya.

Seorang sahabat adalah yang dapat mendengarkan lagu didalam hatimu dan akan menyanyikan kembali tatkala kau lupa akan bait-baitnya. Sahabat adalah tangan Tuhan untuk menjaga kita.Rasa hormat tidak selalu membawa kepada persahabatan, tapi jangan pernah menyesal untuk bertemu dengan orang lain... tapi menyesal-lah jika orang itu menyesal bertemu dengan kamu.

Bertemanlah dengan orang yang suka membela kebenaran. Dialah hiasan dikala kamu senang dan perisai diwaktu kamu susah. Namun kamu tidak akan pernah memiliki seorang teman, jika kamu mengharapkan seseorang tanpa kesalahan.

Karena semua manusia itu baik kalau kamu bisa melihat kebaikannya dan menyenangkan kalau kamu bisa melihat keunikannya tapi semua manusia itu akan buruk dan membosankan kalau kamu tidak bisa melihat keduanya.

Begitu juga Kebijakan, Kebijakan itu seperti cairan, kegunaannya terletak pada penerapan yang benar,orang pintar bisa gagal karena ia memikirkan terlalu banyak hal, sedangkan orang bodoh sering kali berhasil dengan melakukan tindakan tepat.

Dan Kebijakan sejati tidak datang dari pikiran kita saja, tetapi juga berdasarkan pada perasaan dan fakta.Tak seorang pun sempurna. Mereka yang mau belajar dari kesalahan adalah bijak.Menyedihkan melihat orang berkeras bahwa mereka benar meskipun terbukti salah.

Apa yang berada di belakang kita dan apa yang berada di depan kita adalah perkara kecil berbanding dengan apa yang berada di dalam kita.

Kamu tak bisa mengubah masa lalu....tetapi dapat menghancurkan masa kini dengan mengkhawatirkan masa depan.

Bila Kamu mengisi hati kamu ....dengan penyesalan untuk masa lalu dan kekhawatiran untuk masa depan, Kamu tak memiliki hari ini untuk kamu syukuri.

Jika kamu berpikir tentang hari kemarin tanpa rasa penyesalan dan hari esok tanpa rasa takut, berarti kamu sudah berada dijalan yang benar menuju sukses.



Thursday, January 10, 2013

9/365 hari Bersama Foto



Di muka bumi Allah ini banyak yang hidup berpasang-pasangan. Termasuk lah sudu dan garfu ini.

8/365 Hari Bersama Foto



Setiap hari kawan selalu termenung bilakah kawan sempat dan berkemampuan untuk membawa keluargaku berjalan makan angin. Kadang-kadang mengalir air mata ini mengenangkannya. Tapi insya Allah ada rezeki ianya akan menjadi kenyataan.

Sesungguhnya kesabaran sangat penting di dalam kehidupan. Sabar itu adalah separuh daripada iman kita. Maka kalau kita bersabar kita tergolong di dalam lingkungan dan lindungam Allah S.W.T.

Wednesday, January 9, 2013

7/365 Hari Bersama Foto



Gambar 365 hari bersama foto pada hari ke-7 ini amat bermakna bagi kawan. Mana taknya comeback daripada pasukan Pahang dengan memenangi perlawanan pertama bertemu Johor DT di Stadium Darul Makmur.

Ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama tidak mematahkan semangat anak buah Dollah Salleh untuk bangkit memenangi perlawan yang penuh dengan aksi yang mendebarkan. Johor mendahului dengan tandukan daripada Shafiq Rahim dan disusuli jaringan bijak dari MatYo.

Apabila wisel permulaan ditiupkan permainan Pahang yang berubah dengan memasukkan Surendran dan Gopi mengeluarkan kedua-dua import yang tidak mampu mengubah apa.
Ternyata percaturan Dollah Salleh berbaloi dimana Koji menjaringkan dua gol manakala Surendren menjaringkan ol kemenangan pasulan Pahang.

Syabas Pahang syabas penyokong Pahang dan syabas Elephant Army

Tuesday, January 8, 2013

Muzium Sultan Abu Bakar Bernafas Baru

Pekan, sebuah bandar tua yang mempunyai banyak kesan sejarahnya. Bandar ini juga dikenali sebagai Bandar Diraja pernah menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur.
Muzium Sultan Abu Bakar, merupakan sebuah bangunan lama yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Bangunan muzium ini pada asalnya merupakan bangunan kayu dua tingkat yang dibina oleh Inggeris pada tahun 1888, sebagai tempat kediaman Residen British Pertama di Pahang, J.P. Rodger. Pada tahun 1898, ibu negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis dan bangunan ini dijadikan tempat penginapan Residen-residen Inggeris yang datang menjalankan tugas-tugas rasminya di bandar Pekan. Pada tahun 1929, bangunan kayu ini digantikan dengan bangunan batu dua tingkat iaitu seperti yang terdapat sekarang ini. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu bangunan ini digunakan sebagai markas pegawai-pegawai tentera Jepun.

Dalam tahun 1948, bangunan ini telah diduduki oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai menggantikan Istana Sri Terentang. Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Istana Kota Beram yang menjadi tempat persemayaman baginda dan menjalankan upacara-upacara yang lain. Pada tahun 1954, lantaran kedudukan ruang-ruang di dalam istana yang agak terhad, kerajaan negeri telah membina bangunan tambahan untuk dijadikan balai yang dikenali dengan Balairung Seri.

Pada tahun 1970, YAB Perdana Menteri Tun Haji Abdul Razak dalam pertemuannya ketika itu dengan penduduk Pekan telah mengusulkan agar diwujudkan sebuah Muzium Pahang, bertujuan untuk mengumpul dan mempamerkan sejarah dan kebudayaan negeri Pahang. Lanjutan daripada itu pada tahun 1974, kerajaan negeri Pahang, telah mengkaji keperluan menubuhkan Muzium ini, satu Jawatankuasa Kerja telah dibentuk bagi mengubahsuai Istana Kota Beram kepada Muzium Negeri. Muzium ini kemudiaanya dinamakan sebagai Muzium Sultan Abu Bakar bersempena Istana yang pernah menjadi tempat persemayaman baginda.

Pada tahun 1975, satu Enakmen telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri Pahang dan diwartakan oleh Kerajaan pada 14 Ogos 1975. Melalui enakmen ini Kerajaan negeri Pahang telah menubuhkan satu badan pentadbiran muzium yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Negeri Pahang yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Muzium ini. Pada 21 Oktober 1976, DYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang telah berkenan menyempurnakan pembukaan rasmi Muzium Sultan Abu Bakar. Semenjak daripada itu Muzium ini terus giat mengumpul dan mempamerkan kesan dan tinggalan sejarah serta kebudayaan tradisional negeri Pahang.

Muzium yang baru diubahsuai ini mengetengahkan konsep "Taman Intelektual", di mana ianya turut memperkenalkan penggunaan teknologi moden seperti paparan skrin sentuh di dewan pamerannya. Kurasi artifak dan bahan pameran muzium ini telah menerima sentuhan istimewa dari para profesional yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing, antaranya, YM Raja Shariman Raja Aziddin, YM Raja Azhar Raja Idris, Dato' Bernard Chandran, Datin Sharifah Kirana, Ramli Ibrahim, Profesor Emeritus Dato' Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Profesor Emeritus Dato' Dr Hood Salleh.  



6/365 Hari Bersama Foto

Kebetulan kawan ada tugasan bersama sahabat di Pekan kawan abadikan gambar Muzium Sultan Abu Bakar di dalam album 365 Hari Bersama Foto.

Muzium merupakan salah satu tempat penyimpanan bahan sejarah bagi membolehkan pengunjung memahami sesuatu peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu.


Monday, January 7, 2013

Oh Light Painting....

Light Painting suatu genre di dalam fotografi yang masih baru di Malaysia ini. Saudara Apai dari Melaka telah membuka mata sekalian peminat fotografi hingga ditemuramah oleh pihak TV3. Bagi kawan pula dunia LP ini diperkenalkan oleh saudara Megat, dimana beliau lah yang mengaja apa itu teknik LP. Tidak lupa jga kepada Semut Merah, Safwan Rozi, Husna Aziz, Doyok dan beberapa nama lain lagi.

Tapi kini pengaruh LP di Kuantan sangat sedikit. Walaupun ada yang berminat tetapi tidak diketengahkan. Begitu juga dengan diriku, sudah terlalu lama idak beraksi dihadapan kamera sendiri untuk menghasilkan lukisan-lukisan cahaya. Kalau ada pun benda yang sama daripada dahulu. Di manakah silapnya?

Walaubagaimana pun genre ini tidak akan ku lupakan dan tinggalkan. Barang-barang pun dah banyak hasil bantuan daripada saudara Aizuddin. Kadang-kadang terasa gak bila dia perli-perli hehehhe.... So insya Allah, kawan akan kembali beraksi dengan bertemankan sang kamera, sang tripod, sang shutter release dan sang peralatan LP. Bila? Dimana? Nantikan .....





Sunday, January 6, 2013

5/365 Hari Bersama Foto

Pejam celik pejam celik hari ni dah hari kelima. Bahan untuk hari ni semua terbengkalai disebabkan berehat di rumah je hari ni. Walaubagaimanapun petang tadi sebelum perlawanan persahabatan bola antara Elephant Army menentang FAMA, kawan tengok langit cantik bangat. Apa lagi ambik kamera lalu di tekan shutternya.


Dedaun petang ditemani langit membiru.

Saturday, January 5, 2013

Kini kau pergi ......

21 Disember 2012 yang lalu bertempat di Hotel Hyatt Kuantan, diadakan majlis perpisahan Dato' Aminah Abdul Rahman, Ketua Pengarah LPPKN. Pelbagai acara diadakan dan yang pasti pada malam tersebut berlandaskan tema "Arabian & Glittering Night".

Kawan tidak ketinggalan di mana kawan terus menelefon Cikgu Lolo hasil daripada bantuan Min untuk mendapatkan costum Arabian. Alhamdulillah ada sepasang yang padan dengan kawan.

Tugasku tidak lain dan tidak bukan adalah floor manager untuk malam tersebut. Walaubagaimanapun kawan juga melaksanakan tarian pembukaan bersama Min dengan menjemput Dato' KP ke meja santapan.

Tidak lupa juga pada malam itu Dato' KP mempelawa saya untuk berkaraoke bersama beliau dengan pilihan lagu daripada Dato KP "Seiring dan sejalan".

Alhamdulillah juga pada malam itu hasil daripada keputusan muktamad juri, kawan juga dipilih untuk memenangi anugerah paling vouge..... Yeeeezaaaaaa.....

Walaubagaimanapun kepada Dato' KP, selamat berbahaia bersama keluarga. Selama ini Dato' dah lama sangat menjadi seorang kakitangan awam yang terlalu aktif dan sibuk. Oleh itu dengan persaraan ini gunakan lah peluang ini sebaik mungkin. U ur the best Dato' KP.



3/365 Hari Bersama Foto

Posisi pilihan tajuk kali ini. Mana tidaknya sang kecil Afi Darwisy apabila diajak bermain bola dia berlari ke ampaian untuk memakai glove keeper kawan. Emmm mungkin dia selalu ikut kawan main ola di padang atau di futsal kawan bersarung tangan dan duduk di posisi penjaga gol. Afi Darwisy oh ... Afi Darwisy

Friday, January 4, 2013

Kami fotografer perkahwinan anda ....

Pernah tak kamu terfikir berapakah keuntungan seorang photographer?
Pernahkah kita terfikir apakah mereka benar2 mengaut keuntungan hasil dari gambar-gambar yang mereka ambil?

Berbaloikah dengan apa yang kita bayar terhadap photographer yang kita pilih utk perkahwinan kita?

Jom kita tgk apakah benar photographer2 ini benar2 mengenakan harga yang mahal atau tidak..

Saya mmg sgt pandai dalam matematik, saya akan tolong kirakan utk anda..

Katakanlah photographer yang anda pilih mengenakan charged RM1500 kepada kamu dengan package “terbaik dan termurah” iaitu dengan memberikan:

1. Custom album 8×12 cristal laminated bernilai RM300
2. Sticky album berserta 100pcs 4R fully edit picture bernilai RM100
3. Frame 8R bernilai RM20
4. Unlimited shoot and burn in DVD biasanya 300 gambar

Totalnya adalah RM420

Itu belum lagi campur:
1. Duit bil tepon utk telefon pengantin bernilai RM10
2. Duit bayar back up photographer bernilai RM200
3. Duit minyak pergi ke rumah pengantin, pergi hantar custom album utk print bernilai RM50

So, nilai modal setakat ini ialah RM420+RM260=RM680

Biasanya, photographer yang mengambil upah sehingga RM1500 mempunyai gadget kamera seperti
1. D700 beernilai RM6100
2. 14-24mm bernilai RM5820
3. 24-70mm bernilai RM5760
4. 70-200mm bernilai RM6950
5. Flash SB910 bernilai RM1650

Total gadget ialah RM26280…

Tahukah kamu, setiap petikan pada DSLR adalah bernilai kerana DSLR D700 hanya mampu mengambil gambar sebanyak 150,000 keping sahaja. Maka selepas itu, photographer terpaksa menukar shutter system yang bernilai RM1400. Maka, jika dikira dalam matematik, setiap kali photographer memetik shutter, nilai sekeping gambar ialah 1 sen. 1 sen jer pun, bukan mahal sgt, tapi, photographer tak pernah pun terfikir nak simpan duit utk menukar shutter system, bila tiba waktunya, mmg “sakit” jugak nak keluarkan duit sebanyak RM1400.

So, RM1500- RM660=RM840…

so, keuntungan photographer tersebut ialah RM840.

Memang banyak untung kan? RM840 dalam sehari. Tapi kamu silap, selepas sahaja photographer ambil gambar kamu, kebiasaannya, photographer memerlukan 3 minggu bersamaan 21 hari utk edit gambar kamu. So, RM840 bahagikan dengan 21 hari, nilai keuntungan photographer tersebut cuma RM40 sehari. Berbaloikah?

Jadi, photographer tersebut memerlukan 657 hari untuk mendapatkan kembali modal gadget yang bernilai RM26280.

657 hari? Berbaloikah?

Itu pun kalau photographer tersebut sentiasa dapat “job”. Apakah kamu fikir perkahwinan berlaku setiap hari? Nak harapkan job byk pun perlu tunggu cuti sekolah. Itu pun belum tentu dapat, persaingan kini sangatlah hebat. Terlalu ramai photographer2 kini berlumba2 mendapatkan job. Adoiiiii…

Pernahkah kamu terfikir kesibukan seorang photographer?

Biasanya, photographer sudah mempunyai pekerjaan tetap yang bekerja dari Isnin sampai Jumaat. Apabila menjadi photographer, masa yang sepatutnya diluangkan utk bersama anak isteri pada hari Sabtu dan ahad, kini terpaksa dikorbankan hanya utk jadi photographer yang hanya bernilai RM40 sehari? Berbaloikah?

Tahukah kamu utk meng”edit” gambar memerlukan mood? Dan biasanya mood itu akan datang pada waktu malam. Dan photographer sekali lagi terpaksa korbankan waktu tidurnya setiap malam hanya utk berikan gambar “terbaik” utk kamu abadikan “seumur hidup” sedangkan kamu tidak “membayar” dengan nilai sepatutnya………

Maka, jika kamu rasa nilai RM1500 dan keatas itu sangat mahal bagi kamu, fikirkanlah “pengorbanan” photographer yang bersusah payah bersengkang mata hingga sanggup melupakan keakraban antara anak isteri mereka pada setiap malam malah di hujung minggu hanya utk memastikan setiap gambar yang diambil mampu menjadi kenangan utk kamu “sepanjang hayat”…

Ehsan artikel daripada Nasreey Mardee


2/365 Hari Bersama Foto

Untuk hari ke 2/365 Hari Bersama Foto, maaf kerana terlewat disebabkan di dalam mood kerisauan dengan kekalahan Pasukan Pahang ke atas Lion XII sebentar tadi. Walaubagaimanapun gambar ke 2/365 kawan hari ini adalah berkaitan dengan bola.

'Seorang pemain bola yang terlalu setia dengan negeri kelahirannya iaitu Pahang Darul makmur. Walaupun telah di mamah usia, beliau masih menabur bakti kepada Tok Gajah. Syabas Jalaluddin Jaafar'.  Petikan daripada kata-kata di laman sosial kawan iaitu Facebook.

Tidak dapat dinafikan beliau memang seorang yang sangat setia kepada pasukan. Seorang ketua pasukan yang pendiam tetapi mempunyai kerakter yang sangat dihormati oleh pemain lain. Syabas teruskan berjuang demi negeri dan pasukan mu.


Thursday, January 3, 2013

Misi Negeri dan Negara

Malam ini 3 Januari 2013, perlawanan persahabatan terakhir bagi Skuad Pahang sebelum bermulanya sepak mula Liga Super 2013.

Perlawanan yang boleh diibaratkan seperti maruah negara di mana Pahang mewakili Malaysia dan seperti biasa LionXII mewakili Singapore yang rata-rata pemainnya adalah pemain yang memenangi kejuaraan AFF baru-baru ini.

Dapatkah pasukan Tok Gajah memijak sang singa? malam ini penetuannya ... ayuh penyokong semua kita ke stadium kita lontarakan kata-kata semangat kepada perwira-perwira kita.




1/365 Hari Bersama Foto

Selasa, 2 Januari 2013 : sekumpulan anak muda dan tua melepakkan diri mereka di sebuah restoran di kawasan Malay Town Kuantan. Tujuan asal mereka seperti biasalah untuk memenuhkan perut mereka yang sedang kekosongan. Walau bagaimanapun, ianya tidak berakhir dengan ucapan Alhamdulillah kerana kekeyangan tetapi timbul satu idea yang sebelum ini ramai yang cuba melaksanakannya tetapi tidak berjaya.

1 hari 1 foto selama 365 hari ... bermakna selama setahun tidak boleh miss sekeping gambar. emmmm bunyi macam mudah... yelah sehari satu gambar tidak kira menggunakan apa jua bahan ... janji ianya mengeluarkan gambar. Tetapi untuk melaksanakan nya sungguh susah sebab itu tak ramai yang berjaya.

Tahun2 sebelum ini, kawan ada mengikuti seorang sahabat mengenai 1 hari 1 gambar ini tetapi beliau juga tewas di pertengahhan jalan. Oleh yang demikian oleh kerana masih dalam mood tahun baru, kawan Mus dan Zik beserta Azian menyahut cabaran tersebut.

Disiplin dan kejujuran amat penting di dalam perkara ini. Yelah kita tidakl boleh menipu rakan-rakan kita .... walaupun mereka tidak tahu. Itu yang kita inginkan, kita dapat gambar, kita mendisplinkan diri kita dan kita mendidik diri kita menjadi insan yang jujur. 


Gambar Pertama kawan di galeri 365 Hari Bersama Foto .... Kenangan Afi Darwisy ketika berumur 7 bulan di abadikan di dalam mesin basuh.

Tuesday, January 1, 2013

Selamat tinggal 2012... Selamat datang 2013

Suka duka kawan di tahun 2012 akhirnya melabuhkan tirainya. Semuanya menjadi pengalaman dan pendoman di dalam kehidupan kawan. Banyak sangat kenangan pahit daripada kenangan manis tahun 2012. Justeru itu ditan baru ini ianya adalah pengajaran di dalam hidupku.

Hari ini 1 Januari 2013, bersamaan hari Selasa. Pagi yang sejuk dengan rintihan kecil sang hujan membasahi bumi. Segala apa yang berlaku pada Tahun 2012 kawan ingin jadikan pengajaran di dalam kehidupan kawan. Yang baik dijadikan sempadan yang kurang baik dijadikan pengajaran. Itulah pepatah yang tidak asing lagi bagi kita orang Melayu.

Apabila bercakap tentang tahun baru. Ada yang mengatakan kena semuanya baru. Baju baru, kasut baru, kereta baru, emas baru dan pelbagai lagi baru. Ada yang mengatakan di tahun baru mesti ada azam tahun baru. Tapi bagi kawan untuk sekian kalinya, kawan tak de azam untuk tahun baru kali ini. Kenapa? Kerana, azam kawan telah kawan pahatkan ketika 1 muharam 1434H bersamaan 15 November 2012 dahulu.

Justeru itu untuk tahun baru pada hari ini, kawan akan "follow" jer azam tahun baru islam tersebut. Walauapapun, kawan nak mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua yang mengenali diri kawan dan yang tidak mengenali. Sesungguhnya, jadikan hari semalam sebagai pengalaman, hari ini sebagai kejayaan dan hari esok sebagai permulaan.




Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...