Friday, December 11, 2015

Dari Bola ke Badminton

Langkah Pahang berakhir di peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia setelah tewas di tangan Selangor dengan keputusan 0-2. Kejayaan selama 2 tahun di arena Piala Malaysia gagal dipertahankan. Benarlah orang kata, "untuk bergelar juara memang mudah tetapi untuk mempertahankan kejuaraan sangat lah susah. 

Setelah berakhirnya perjuangan skuad Pahang dan sambil menunggu sepak mula musim baru para pemain mengambil peluang untuk bersama keluarga dan bercuti. Tapi sebelum itu..... Kringggg Kringggg ....
"Bayu, kalah dah kalah dah, apa lagi jom berentap badminton player versus EA," panggilan daripada Kapten Razman Roslan.
"Perghh, dari bulan 4 deal baru sekarang dapat berentap, beres kapten  bila mau?" Tanya aku.
"Ok kita main esok (selasa) best of five", jelas kapten bersungguh.
"Roger kapten, we give u nightmare", jawab aku.

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Gelanggang Badminton Kilas di Indera Mahkota menjadi lokasi pertembungan di antara skuad Pahang yang akan menentang Skuad Elephant Army. Senarai dikeluarkan mengikut raking, 5 pasukan dari skuad Pahang dan 5 pasukan dari musibat Elephant Army. 


Perlawanan pertama membabitkan Alex yang berpasangan dengan Coach Mie akan menentang Firdaus dan Emy. Sememangnya Alex lincah di padang tetapi di gelanggang badminton tewas, kemenangan pertama untuk musibat EA. Musibat EA 1 VS Skuad Pahang 0.



Untuk pertemuan perlawanan kedua pasangan Kapten Razman berpasangan dengan Poyeng mewakili skuad Pahang akan menentang Bulat dan Kerol bagi Musibat EA. Perlawanan yang sengit ditampilkan ditambah dengan kegugupan sang Kerol. Akhirnya kegugupan yang melanda pasukan musibat EA di atasi dan menghadiahkan kemenangan kedua. Semasa musibat EA 2 VS Skuad Pahang 0.


Perlawanan ketiga ada sedikit perubahan kerana permintaan daripada Coach Shah yang membawa ramai penyokong di belakangnya (anak isteri beliau). Setelah dipersetujui maka perlawanan diteruskan. Perancangan mula disusun. Skuad Pahang special sikit untuk perlawanan ketiga ni kerana diwakili tiga orang pemain iaitu Coach Shah, Pok Jak dan Lejen Jalal. Mereka akan bertemu dengan Aku yang berpasangan dengan Farouq. Untuk game ketiga ini aku telah dikecewakan oleh Coach Shah, Pok Jak dan Lejen Jalal dengan rubber set. Abis bersungguh dah aku dengan Farouq beraksi tetapi jangan dipandang sebelah mata orang lama. Semasa musibat EA 2 VS Skuad Pahang 1.


Semangat skuad Pahang membuak-buak untuk mencari mata penyamaan dengan meletakkan pasangan Hafiz Kamal bersama Shahrizan Salleh untuk bertemu Pejal Bahrin berpasangan dengan Wan Gopi. Perlawanan yang sungguh mendebarkan dengan berkejar-kejar mata dan akhirnya musibat EA terpaksa menerima kekalahan kedua. Semasa Musibat EA 2 VS Skuad Pahang 2.


Dengan keputusan semasa 2-2 maka perlawanan terakhir di antara pasangan capo EA Ejat dan Hafiz Khan akan turun menentang pasangan Skuad Pahang iaitu Surendran dan Feisal. Perlawanan tumpuan ini mendapat sambutan hangat daripada penyokong kedua-dua belah pasukan dan akhirnya musibat EA terpaksa mengaku dan menerima kekalahan setelah pasangan capo kecundang dengan 'straight game'. 


Nampak gayanya skuad Pahang bukan sahaja hebat di atas padang tetapi turut hebat di gelanggang badminton. Hakikat sebenarnya bukanlah kemenangan yang dikejar tetapi ikatan kekeluargaan di antara pemain-pemain Pahang dengan musibat EA. Mungkin perlawanan badminton ini adalah pertemuan terakhir kerana mungkin ada dikalangan mereka akan melangkah pergi ke pasukan baru. 

Terima kasih kapten Pahang Razman Roslan yang merialisasikan juga perlawanan persahabatan di antara pemain-pemain Pahang dengan musibat-musibat Elephant Army. 


Wednesday, December 9, 2015

Datang dan Pergi


Bola itu sememangnya bulat. Apabila ianya bulat maka mudahlah untuk disepak, ditendang dan diterajang sesuka hati. Pemain berlatih untuk mempertingkatkan mutu permainan, untuk membuktikan kehebatan dan untuk menjadi yang terbaik. Barisan kejurulatihan sentiasa mencari idea dan ramuan untuk memastikan 11 pemain di atas padang mampu untuk merealisasikannya. Pihak pengurusan sentiasa dibelakang menyelesaikan perkara-perkara anak majikannya seperti kebajikan, claim dan sebagainya. Penyokong sentiasa menghadirkan diri untuk memberi sokongan yang tidak terhingga kepada pasukan kesayangan mereka.

Itulah aktiviti mereka selama semusim dan berterusan dari musim ke musim. Kini musim 2015 kian melabuhkan tirainya dengan perlawanan terakhir Piala Malaysia di antara Selangor yang berjaya menumpaskan Pahang bertemu Kedah yang mengalahkan KL Felda United. Pelbagai asam garam dan pahit manis telah dilalui dan semua itu adalah putaran kehidupan yang normal bagi mereka.


Apabila semuanya telah berakhir maka seperti biasa adalah pemindahan dan pertukaran pemain di dalam semua pasukan. Telah menjadi lumrah di dalam sesebuah pasukan pasti ada pemain yang pergi dan pasti akan ada penganti. Pemergian mereka adalah demi masa depan mereka, demi periuk nasi mereka. Sama juga dengan yang datang terima lah mereka dengan tangan yang terbuka. Untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat bukan wang ringgit sebagai pertaruhan tetapi keikhlasan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. 

Pemain inginkan pengurusan yang baik ,yang mampu menjaga kebajikan selama mereka di bawah naungan organisasi. Pengurusan pula pasti inginkan sebuah organisasi yang mantap dari segi kewangan dan sebagainya. Barisan kejurulatihan juga tidak ketinggalan pastinya ingin memiliki pasukan yang hebat dan mampu untuk mencabar mana-mana pasukan seterusnya menjulang kejuaraan. Penyokong juga tidak lari dari perkara ini di mana mereka pula inginkan sebuah pasukan yang gah, yang mempamerkan mutu permainan yang menakjubkan. Kalah menang bukan ukuran bagi seorang penyokong kerana bola itu bulat dan setiap perlawanan memerlukan keputusan. Tetapi biarlah kekalahan itu adalah merupakan kekalahan yang bermaruah dan jika menang, mengenggam kemenangan tersebut demi lencana di dada.

Dimensi reka bentuk bola itu saling memerlukan antara satu sama lain. Tampalannya, potongannya, bahan-bahan campurannya dan sebagainya. Begitu juga dengan keluarga bola sepak dari pengurusan hinggalah kepada penyokong aturannya juga saling memerlukan. Berkata dari hati menulis dari naluri.


Tuesday, November 10, 2015

Kelaparan Melanda

Kartun Ninja Lego betul-betul menjadi kegilaan anak-anak kecil zaman masa kini. Tidak seperti zaman aku kecik-kecik dulu, Doremon, Kickers, dan Thundercat menjadi tatapan setiap hari. Afi Darwisy tidak terlepas dari kegilaan kartun-kartun lego zaman masa kini. 

Hinggalah pada suatu malam di mana sang ibu sedang asyik bermain permainan di telefon bimbitnya.
"Ibu.. Afi lapar", Ujar sang kecil di sisi ibunya di dalam bilik.
"Ibu tak masak hari ni, makan mee ye", jawab ibunya sambil tersenyum.
"Tak nak.... Afi nak nasi", dengan muka hampa sang kecil berlalu pergi.
Sang kecil menyambung semula menonton DVD yang baru di beli. Donat gergasi yang dibeli oleh sang ibu  tidak dipandang oleh nya walaupun ada disebelah.

Selang beberapa minit terdengar peti sejuk di buka. Sang ibu bersuara. 
" Afi buat apa tu?" Tanya sang ibu. 
"Afi tengok lauk dalam peti, tapi tak ada apa," jawab sang kecil sambil menutup peti sejuk dengan hampa. 


Sang kecil kembali parking di hadapan televisyen menonton cerita kartun kegemarannya dengan wajah yang sedikit hampa. Akhirnya donat gergasi yang dibeli oleh ibunya petang tadi menjadi santapan mengisi perut yang sedang dalam kelaparan. Tidak cukup dengan itu seketul ayam KFC yang berbaki pada hari semalam turut menjadi santapan sang kecik di malam hari. Oleh kerana kelihatan seperti tidak cukup dengan apa yang ada akhirnya sang ibu mengalah lalu menuju ke dapur untuk mengoreng mee. 


Sememangnya sang kecil ini jika sampai saat dia inginkan makanan bertambah-tambah dia akan masukkan ke dalam mulutnya. Tapi kalau dia kata tak mau, tak payahlah nak suruh atau paksa, memang dia tak kan makan sehinggalah perut terasa lapar. Sebab tu kat rumah sekarang ni ada sahaja makanan yang boleh dimakan tatkala kami bertiga beranak kelaparan. 

Monday, November 2, 2015

Model Cilik Ku


Afi Darwisy kalau dihadapan kamera memang excited tetapi hanya beraksi di hadapan kamera ayahnya sahaja. Kalau ada orang lain kompom sang kecil ini akan hanya berada di sisi aku sahaja. 

Tidak perlu disuruh atau diarahkan sang kecil yang bernama Afi Darwisy ini akan terus beraksi dengan pelbagai gaya. Dan pastinya gaya mimik mukanya adalah pose wajib. Tidak susah untuk mengayakan sang kecil ini, hanya beri tahu macam mana dan bagaimana dia terus akan beraksi. 


Itu belum lagi kalau kamera di tangannya.  Pelbagai style dia akan buat yang tak terfikir dek akal pun dia akan lakukan. 

Terima kasih Allah, terima kasih isteriku, terima kasih Afi Darwisy



Wednesday, October 21, 2015

Wahai Pahang Ku


Stadium Darul Makmur bukan lagi sebuah stadium keramat bagi penyokong-penyokong Pahang. Kekalahan di tangan PKNS baru-baru ini betul-betul memberi impak kepada penyokong-penyokong Pahang khasnya dan Negeri Pahang khasnya. Kekalahan kali kedua dengan jumlah jaringan yang sama menjadi tanda tanya pada seluruh penyokong Pahang. Adakah masalah gaji pemain yang tidak dibayar? Adakah konsisten pemain semakin merundum? Atau ada sindiket mengatur perlawanan? Atau sememangnya Pahang sudah tidak bermaya bagaikan gajah yang telah hilang gadingnya. 

Bilangan penyokong yang hadir pada hari Sabtu baru-baru ini semakin memberi kesan positif. Lebih kurang dalam 10,000 hadir dari seluruh pelusuk negeri Pahang malah ada yang datang dari luar Pahang untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka. Mereka korbankan wang ringgit mereka untuk bersama-sama berada disamping pasukan yang sememangnya gah di arena bola sepak Malaysia semenjak kebelakangan ini. Mereka tidak pernah mengeluh atau bosan untuk terus menyokong. 

Menang atau kalah bukan persoalan yang wujud di dalam hati mereka tetapi kerana suasana serta keseronokkan bola sepak masa kini membuatkan mereka hadir untuk terus menyokong. Adakah perkara ini disedari oleh pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang seterusnya pemain serta pengurusan bola sepak Pahang? Jika kekalahan yang ditakdirkan biarlah kekalahan itu kekalahan yang bermaruah bukan suatu kekalahan yang dicipta atau disengajakan. 

Di dalam situasi ini aku sendiri bingung dan runsing. Siapa yang patut dipersalahankan? Adakah pihak pengurusan iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang yang bersalah? Tetapi persatuan ini bukan persatuan seperti dahulu di mana suatu masa dahulu masalah tunggakan gaji dan kebajikan pemain tidak dijaga. Tapi mungkin penyakit lama itu berulang kembali. Atau adakah kesilapan barisan kejurulatihan pasukan Pahang yang diketuai oleh ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan? Taktikal yang lama langsung tiada perancangan baru dan pemilihan pemain yang bagaikan melepaskan batuk di tangga menjadi penyebab kepada kemerosotan pasukan Pahang? Tetapi musim lepas bagaimana beliau boleh menyambung warisan yang ditinggalkan oleh Dollah Salleh untuk terus meneraju Pahang dengan penuh kegemilangan? Atau pun kemerosotan Pahang semenjak dua menjak ni adalah kerana pemain-pemain yang kita sanjung dan puja tidak lagi berkualiti? Adakah benar mereka bermain demi lencana di dada mereka? Arghhhh terlalu banyak persoalan di hati aku saat ini.

 
Sebelum ini aku pernah menconteng tentang tajuk 'Kita Masih Belum Kalah' tetapi dengan apa yang berlaku saat ini contengan aku itu bagaikan angan-angan seorang penyokong yang terlalu mengharapkan kemenangan. Walaubagaimanapun aku masih boleh berfikir secara positif. Rekod Pahang selama ini di peringkat kumpulan untuk Piala Malaysia tidak pernah cun. Penuh dengan onak duri dan ranjau yang mencabar dan akhirnya Piala Malaysia dikucup megah dan dijulang penuh bangga. Untuk mengejar kejuaraan sememangnya mudah tetapi untuk mengekalkan kejuaraan terlalu susah dan membimbangkan. 

Mungkin contengan aku kali ini bagaikan aku terlalu inginkan kemenangan dan takut kepada kekalahan. Memang itu yang diinginkan oleh semua yang aku sebutkan di atas serta semua peminat sukan tidak kira sukan apa yang diminati. Walauapapun yang berlaku kalah atau pun menang minat aku pada bola sepak tetap utuh dan Pahang Darul Makmur tetap pasukan kesayangan aku. 

Tuesday, October 20, 2015

Dunia Stockphoto

Kalau lah dari dulu aku mulakan kerja ni pastinya aku sudah sama level dengan Sang Pejal, Sang Pok Leh dan sekalian rakan yang berkecimpung di dalam dunia ni secara langsung dan tidak langsung. Tapi tu lah dulu kalau gagal ke ban 3 bulan, macam mana tak patah hati. 3 bulan terlalu lama untuk kembali menghantar dan mencuba nasib untuk lesen.

Mesti korang ingat aku nak mencuba kerja lain kan? Sebenarnya aku ingin bercakap tentang dunia Stock Photo. Bayangkan gambar-gambar yang kita capture sebelum ini ada orang yang membeli. Mungkin untuk komersial, mungkin untuk design dan mungkin untuk koleksi sang pembeli. Sedangkan kalau kita hanya biarkan di IG, di Album FB atau sebagainya adakah hanya untuk menantikan komen-komen "wahh cantik nya", "superb bradar" dan lain-lain lagi.

Penceritaan yang tidak seberapa serius bersama tokey besar Stock Photo iaitu Sang Gezzeg membuatkan aku kembali untuk mencuba nasib untuk mendapatkan lesen. Maka bermulalah kehidupan aku dengan memikirkan idea, gambar, komposisi, pencahayaan dan sebagainya. Kalau dulu aku beri alasan tiada lighting, sedangkan bekas polistrin isi ikan mampu menjadi props yang sangat berguna dan murah.

Aku mula mengumpul gambar-gambar untuk dihantar sebagai permulaan. Di antara barang-barang yang aku gunakan adalah barangan yang mudah aku perolehi dan murah harganya kalau dibeli. Maka tanggal 1 Oktober 2015 iaitu bersamaan hari Khamis aku cuba untuk hantar 10 keping gambar yang pertama. Apabila malam menjelma dapat email dari shutterstock mengatakan aku gagal. Hanya 5 keping gambar sahaja yang berjaya. Kegagalan kali pertama tidak mematahkan semangat aku. Pada keesokkan hari nya (Jumaat) tepat jam 9.00 pagi aku cuba untuk hantar lagi 10 keping gambar yang lain komposisinya dan barangan yang lain. Sedang aku menyiapkan kerja-kerja lain handset aku berbunyi menandakan email baru masuk. "Congratulation" 7 keping gambar aku berjaya dan akhirnya aku berjaya mendapat lesen untuk shutterstock. 


Aku bagaikan tidak percaya, hanya 30 minit selepas aku hantar terus dapat jawapan walaupun kejayaan aku di atas pagar. Kegembiraan aku tidak terhingga hinggalah selepas menunaikan solat Jumaat lebih kurang jam 2.15 petang sekali lagi email masuk, menyatakan pembelian yang pertama dengan harga 0.25 USD. Semangat aku semakin membuak-buak dan pada sebelah malam sekeping lagi gambar aku dibeli oleh entah siapa. 


Maka aku teruskan mencari idea nak mengambil gambar untuk di hantar. Aku menetapkan bahawasanya aku akan sudmit 10 keping sehari. Hingga lah hari ini aku telah memiliki 78 keping di dalam galeri aku sendiri, dan alhamdulillah sudah 4 keping gambar aku terjual. 

Ini lah salah satu cara di mana medan yang sewajarnya digunakan oleh semua fotografer untuk menyimpan gambar mereka yang hebat-hebat. Tanpa kita sedari sebenarnya kita tidak mengetahui simpanan USD kita akan meningkat dari hari ke hari. Yang pasti setiap masa apa yang aku lihat adalah duit heheheh .... Kaching !!!! 



Thursday, October 8, 2015

Kita Masih Belum Kalah

Air di pantai ada pasang surutnya. Tetapi sedarkah kita pabila air yang pasang atau surutnya yang membah pantai sama sahaja ertinya kepada sang kecil yang bermain di gigi air. Kalau airnya pasang maka sang kecil tetap akan bermain di gigi air cuma bezanya tak perlu berjalan jauh dari daratan. Sama juga apabila sang air pantai yang surut keadaannya, maka sang anak kecil tetap akan bermain-main dengan penuh keriangan di persisiran pantai. Tiada tanda atau emosi kesedihan yang melanda wajah dan jiwa anak kecil pasang atau surutnya desiran pantai. 

Kisah air di pantai aku konklusikan sekali dengan asam garam penyokong di stadium. Penyokong di stadium juga aku rangkumkan seperti pasang surutnya air di pantai. Ada masa stadium penuh sehingga melimpah ruah dan ada kalanya kosong krik krik. Yang membezakan di antara dua situasi yang aku cuba bawa adalah, sang anak kecil yang bermain di pantai tetap dengan satu emosi iaitu emosi keriangan untuk bermain. Bagaimana pula dengan pandangan kalian?


Adakah silapnya pada pihak pengurusan yang terlalu bersenang lenang dengan income yang diperolehi? Atau kerana taktikal permainan yang digunakan sejak kebelakangan ini membosankan para penyokong setia? Atau hakikat sebenarnya penyokong Pahang hanya menyokong tatkala Pahang hanya gah di atas dengan deretan kemenangan?.


Pahang pada hakikatnya masih belum tewas atau belum jatuh merundum. Cuba kita fikirkan kembali kedudukan Pahang kebelakangan ini, kita hanya tewas untuk mempertahankan Piala Sumbangsih, tetapi tewaskan kita tidaklah memalukan. Kita tewas untuk mempertahankan Piala FA sama seperti Piala Sumbangsih kita tewa di pentas Separuh Akhir. Kita gagal menjulang Piala Liga Super, tapi sedarkah peningkatan dari tahun-tahun sudah di mana kita tahun ini menduduki tangga kedua. Kita gagal di pentas AFC tetapi kita tewas di peringkat Suku Akhir. Dan sekarang kita sedang beraksi untuk mempertahankan Piala Malaysia dan berada dilandasan yang tepat untuk menjuarainya. 


Kalah menang adat permainan di dalam bola sepak. Tiada pasukan yang mampu untuk mempertahankan kesemua piala yang dimenanginya selama-lamanya. Tetapi suara penyokong boleh kekal buat selama-lamanya. Cuba kita melangkah ke rumput yang menghijau sambil mendepakan tangan dan kita pejamkan mata sambil menghirup udara di dalam stadium yang dikatakan keramat ini apa yang kalian akan rasakan, aura itulah yang diperlukan oleh kesemua pemain kesayangan kita. 



Tuesday, October 6, 2015

Ada apa di Rajawali Art Studio


Pameran Foto UNITY akan dipamerkan di Rajawali Art Studio selama 2 minggu bermula 3 Oktober tempoh hari hingga 18 Oktober. Korang boleh la datang bila-bila masa. Sambil-sambil korang datang untuk melihat pameran UNITY korang boleh la menjamu selera dengan ais kream pasu yang pelbagai perisa. Pada masa yang sama juga ada makanan-makanan tambahan sebagai pencuci mulut. Selain daripada itu terdapat juga pizza. Haaa jangan korang tak tahu di kawasan perumahan Cenderawasih ni ada jual pizza.


Di tempat pameran UNITY ini juga korang akan merasakan satu suasana yang lain. Di mana seni kreatif yang cuba ditonjolkan adalah lain daripada yang lain. Kalau nak diperkatakan memang susah, korang kena datang sendiri dan rasai sendiri. 


Monday, October 5, 2015

Bangkit Wahai Fotografer

'Unity' atau dalam erti kata lain adalah bersatu merupakan tema yang dipilih oleh crew-crew Persatuan Jurufoto Negeri Pahang (PJNP) untuk Pertandingan Fotografi bersempena dengan bulan Kemerdekaan dan Hari 1 Malaysia pada tahun ini. Pada mulanya hanya borak-borak kosong dan tiada perancangan rapi tetapi oleh kerana komitmen yang diberi maka ianya menjadi kenyataan. Ditambah dengan hadiah utama iaitu RM1000.00 merupakan pertandingan foto yang mewah hadiahnya, terima kasih Youth Centre Pahang terutama beradar Zaini kerana merealisasikannya.

Sepanjang pertandingan berlangsung banyak pengalaman yang aku dapat dan aku pelajari. Terutama sekali apabila sesi pameran. Daripada bermulanya nak mengantung gambar sehinggalah ke hari besarnya. Sememangnya pengalaman ini tersangat berharga dan tidak terhingga ilmu yang tersepak bersama bradar Acai dan bradar AJ. Insan seni yang mampu untuk menunitykan fotografi di dalam konteks seni lukisan. Perghh pasti akan ada entri lain untuk ini. 


Bayangkan arahan pertama aku dan Sang Rimba Bara (Iqram) diminta untuk melukis dan mengira dahulu keluasan kawasan untuk ditampal. Kemudian hanya menggunakan kapur dan tali untuk menghasilkan garisan supaya mudah untuk dihilangkan apabila selesai. Ibarat suatu masa dahulu ketika piramid di dirikan hanya timbang air dan tali yang digunakan tapi sekarang teknologi mengatasi segalanya hanya dengan pancaran laser maka terhasillah paksi-paksi untuk ditanda. 


Sebagai fotografer, bukan sahaja mengabadikan gambar-gambar yang dirakamkan ke dalam laman-laman sosial atau hard disk masing-masing, tetapi perlu untuk dibukukan dan dipamerkan sebagai tanda satu kejayaan di dalam dunia fotografi. Sebagai contoh seorang pelukis menghabiskan beratus dan beribu untuk menghasilkan sebuah lukisan, takkan nak simpan sahaja di dalam bilik, pastinya ianya hendak dipertontonkan. Begitu juga dengan seorang forografer. Kamera yang dibeli, lensa yang dicari semuanya beribu ringgit malah mencecah belasan ribu tetapi nilai gambarnya dimana? 


Walaupun kita beranggapan gambar-gambar yang dipamerkan tidaklah menepati piawaian yang telah ditetapkan tetapi oleh kerana disiplin di dalam mempamerkan karya dan susun atur yang terancang maka sejuk mata memandang dan kepuasan mulai timbul. 

Siapa lagi yang nak mengangkat martabat dan maruah fotografer kalau bukan fotografi itu sendiri yang membantu. Berpesatuan bukan sekadar hanya pangkat dan nama tetapi keikhlasan dan keazaman untuk memajukan diri, ahli, dan sesiapa sahaja yang bergelar fotografer atau peminat foto. Teruskan berkarya dan teruskan menghasilkan gambar yang benar-benar sebuah karya dan kita pamerkan untuk perkongsian semua dan akhirnya kita bukukan dan kita dapatkan hasil titik peluh kita dari 3 cabang. Pertama gambar yang telah dirakamkan, kedua gambar yangbtelah dipamerkan dan yang ketiga buku-buku yang telah kita terbitkan.


Friday, September 25, 2015

Kembali Krik Krik


Semakin hari semakin kurang. Semakin hari semakin kosong. Semakin hari semakin sunyi. Jangan dikatakan penyokong yang datang dengan jersi kuning biru lencana di dada, malah yang berbaju hitam pun semakin kurang. 

Dimanakah silapnya? Nak dikatakan persatuan bermasalah, sememangnya tidak. Nak dikatakan pemain sombong, ish jauh sekali tidak pernah ada rekod pemain-pemain yang bermain di bumi Pahang Darul Makmur ini sombong terhadap penyokong. Nak kabor permainan pasukan Pahang tak seronok, ish jauh tersasar kalau tak best tak denya nak duduk tangga kedua carta liga dan bermain dipentas AFC. 

Agak-agak korang lah yang baca entri aku kali ini, apa sebenarnya masalah utama kekurangan penyokong di stadium. Tak dapat disangkal lagi bukan sahaja di Darul Makmur, malah di stadium-stadium lain turut sama sunyi krik-krik kecuali beberapa stadium terutamanya stadium di Larkin. 

Bagi musibat yang berbaju hitam juga semakin hari semakin lemau dan berkurangan. Adakah musim ini akan menjadi musim kejatuhan musibat berbaju hitam sekali lagi? Dari laman-laman sosial yang aku terbaca dan rajinkan diri untuk membaca kebanyakkannya mengatakan lebih baik Pahang bermain di Temerloh kerana faktor Geografi yang strategik di tengah-tengah peta Negeri Pahang. Selama ni tak ada pulak aku baca suruh tukar venue. Dah nyata-nyata Stadium Darul Makmur terbina di Kuantan dan mempunyai kapasiti yang besar tempat duduk penontonnya. Jangan kerana tahun 2012 Pahang beraksi di Stadium Perbandaran Temerloh korang nak jadikan modal suruh main sana untuk meramaikan penyokong. Kalau Stadium Darul Makmur tak dibaik pulih apa alasan korang?.

Ohhh terlupa. Harga tiket mahal? Disebabkan itu korang semakin berkurangan? Stadium Darul Makmur lah stadium yang paling murah harga tiketnya walaupun ada 3 kategori jenis tiket. Apa lagi sebenarnya alasan korang?

Sebenarnya contengan entri aku kali ni adalah disebabkan kekecewaan aku dengan bilangan penyokong yang hadir ke stadium sejak kebelakangan ini. Pasang surut bola sepak di Pahang aku rasa semua golongan telah rasai, sama seperti aku sendiri. Semasa aku kecil aku merasai kegemilangan Real Madrid Malaysia. Aku meningkat usia aku merasa kejatuhan negeri tempat aku dibesarkan ini. Selepas itu, aku diberi peluang untuk merasai pula kegemilangan yang berterusan. Dan kini ??? Seribu tanda tanya muncul di dalam sanubariku.



Thursday, September 24, 2015

Lemang Itu Enak

Lemang sememangnya menjadi makanan utama aku dipagi hari raya, tidak kira Aidilfitri atau pun Aidiladha. Ada satu masa dulu lemang habis tak sempat nak beli rasa seperti tidak cukup suasana hari raya hari itu tanpa lemang di meja. 

Zaman aku muda-muda dulu kalau balik beraya ke Kuala Lipis mesti aku akan singgah di Kampung Mela untuk ambik lemang yang sudah ditempah oleh Mak Ngah aku. Tapi sekarang pembuat lemang tersebut telah menyahut panggilan illahi maka payah lah sikit nak cari lemang yang sedak di makan. 


Lemang zaman sekarang kecil-kecil jer kalau hidang di hadapan aku lemang-lemang kecik ni ibarat celah gigi sahaja aku makan. Nak cari yang besar-besar memang susah dan kalau ada pun harga sebatang sungguh menyayat hati. 

Hakikat sebenarnya aku kalau makan lemang 5 batang yang besar tu aku boleh habiskan. Tapi mesti lah ada rendang daging atau pun rendang ayam (kuning) sebagai penambah perisanya dan seperkara lagi lemang itu adalah lemang yang masih belum di kukus buat kali ketiga dan seterusnya. 

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua. Jadikan pengorbanan hari ini adalah pengorbanan yang memenangi jiwa setiap manusia.




Tuesday, September 22, 2015

Perisa Keikhlasan


Sayup-sayup terdengar kegembiraan yang diraikan bersama-sama. Dari kejauhan kedengaran gelak gempita keseronokkan yang disambut bersama. Itulah yang dinamakan keseronokkan dan kegembiraan. Ianya bagaikan seperti drama pementasan. Ada pengarahnya, ada penulis skripnya, ada bahagian teknikalnya dan sebagainya. Tidak kenal kad pengenalan atau surat beranak dari mana datangnya tetapi kegembiraan yang disambut bagaikan lahir dari perut ibu yang sama.

Disanjung, dipuja dan di banggakan bersama-sama. Pantang berjumpa pastinya akan berselfie bersama. Pantang nampak kelibatnya dipanggil dan melepak bersama. Oh sungguh seronok tatkala bersama-sama tidak kira siapa. 

Dunia telah membuktikan bahawasanya ada malam dan ada siangnya. Ada hitam dan ada putihnya. Ada manis dan ada tawarnya. Maka ada senang dan ada saat susahnya. Bagaimana kisahnya pula tatkala susah? Hanya doa sebagai perisai setelah segala usaha telah dilaksanakan. Tetapi kemana perginya mereka yang duduk di sebelah kanan dan kiri tadi? Kemana hilangnya pula yang berdiri di belakang semasa bersorak gembira semalam? Yang di hadapan pun turut hilang dengan sekelip mata? Itulah lumrah dalam kehidupan. 

Semasa bersorak keriangan tidak pernah kita memberi salam dan bertanyakan lahir di mana? Apa saiz kasut? Sudah makan ke belum? Tetapi selepas sorakan semakin berkurangan dan penderitaan kian mengambil alih kedudukan keceriaan seperti buntot ayam pelbagai soalan dikemukakan mengalahkan seorang pegawai berpaku di bahu mencari bukti kesalahan mereka yang tidak bersalah tetapi dianggap bersalah. 

Tidak rugi walau sebaldi sekali pun kalau dalam kesenangan kita raikan bersama dan dalam kesusahan kita cuba untuk membantu supaya dalam tangisan ada sedikit kegembiraan. Apa kata hari ini kita tambahkan sedikit perencah kehidupan susah senang ini dengan perisa keikhlasan supaya segalanya disinopsiskan menjadi adunan yang cukup lengkap. 


Monday, September 21, 2015

Terasa Muda Remaja

Rasa-rasanya dah beberapa abad aku tidak bersama dengan remaja-remaja untuk program pejabat aku. Baru-baru ni aku kembali untuk bersama para remaja IM4U di cafe@teen UTC Pahang. Berbekalkan tajuk dari Modul Pekerti aku setting minda dan mental aku demi ilmu yang hendak di kongsikan. 

Pelajar-pelajar yang digabungkan dari pelbagai institusi ke bawah satu bumbung iaitu IM4U sememangnya para remaja yang aktif dan cemerlang. Slot-slot aktiviti dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan kreatif. Bukan sebarangan aktiviti yang aku bawa pada hari itu. Aktiviti yang aku bawa adalah lakonan berdasarkan dialog yang telah disediakan. Penuh dengan gaya dan emosi mereka luahkan untuk menunjukkan mereka adalah remaja harapan bangsa. 


Sunday, September 20, 2015

Oh Asam Pedas

Disuatu hari minggu yang cuacanya sedikit panas tetapi alhamdulillah jerebu yang melanda kian hilang dan beransur pulih. Bahagian atas peti sejuk penuh dengan bahan mentah yang akan diproses oleh sang isteri. 

"Sayang, hari ni buat asam pedas ikan kembung lah ek?" Sambil menutup pintu peti ais.
"Ok karang kita pegi cari bunga kantan k," jawab sang isteri dengan penuh keayuan.

Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Dah 2 minggu aku tidak ke The Warunk untuk menelan set asam pedas kembung kat sana. Mungkin disebabkan itu aku menjadi mengidam lalu aku order dengan penuh kasih sayang dengan sang isteri. 

Sementara menunggu sang isteri menyediakan makanan aku bersama sang kecik landing di hadapan televisyen sambil melayan Bukit Kepong Versi HD, memang rare cerita ni dan ditambah pula dengan sentuhan dari geng-geng tiga beradik KRU semakin rare kuasa dua jadinya. 

"Abang!! Afi Darwisy!! Meh makan siap dah ni," panggil dang isteri.

Sepantas kilat aku bangun dari baringan aku bersama-sama sang kecik. 

"Emm sedapnya bau ibu masak," ujar sang kecik.

Apabila aku duduk di meja makan yang terhidang bukanlah asam pedas kembung tetapi gulai masam tempoyak kembung. Warna sepatutnya merah bertukar menjadi kuning. Sedikit terkilan tetapi gulai masam tempoyak juga merupakan makanan kegemaran aku dari aku kecil lagi. 

Malam ini aku melepak di The Warunk. Walaupun aku tau di rumah ada kati ayam tetapi dugaan terlalu berat untuk aku mengatakan tidak dari menjamah Set Asam Pedas Ikan Kembung The Warunk ni. Ditambah pulak ada paru masak pedas membuatkan nafsu aku semakin membuak-buak. Nak tak nak dengan selumbernya aku order Asam Pedas dan paru sahaja tanpa nasi untuk memuaskan nafsu aku.

Oh Asam Pedas sesungguhnya kau sungguh sedak hehehehe. Tahniah the Warunk kerana berjaya mencari menu killer untuk santapan para pengunjung. Korang yang membaca entri ni kalau korang nak cari makan di waktu malam korang datang The Warunk di Taman Gelora dan pesanlah set Asam Pedas beserta air Rachun, dan nikmatilah hidangan tersebut di bawah lampu neon yang digantung dari satu pokok ke pokok rhu yang lain. 


Saturday, September 19, 2015

We With Lekir


Beliau bermula menyokong dengan beberapa kerat sahabat yang sayangkan bola sepak negara. Beliau mula menjerit, memberi semangat, membakar momentom pasukan dan sebagainya. Tatkala pasukan memerlukan sokongan moral daripada penyokong beliau muncul bersama dengan yang lain dan menyeru semua penyokong untuk bersama-sama. 

Tatkala Malaysia di julang kerana kejuaraan kesemua memuji dan menyokong beliau kerana dianggap sebagai kepala kepada semua dengan gayanya di hadapan bersama topi merahnya yang tidak pernah ditanggal. Ramai ingin bergambar, berselfie, berjabat tangan dan bersua untuk mengucapkan tahniah. 


Tetapi sekarang hanya cacian dan makian yang disembur kepada beliau. Sememangnya telah menjadi lumrah manusia biasa, tatkala kita berada di atas ramai yang akan mendampingi dan ramai akan menjulang kita, tetapi pabila kita dirundun malang hanya kutukan dan sindiran yang didengari. 

Hari ini beliau memerlukan sokongan dan bantuan dari semua. Sememangnya kalau ditolak tambah beliau mampu untuk hadapi secara bersendirian tetapi beliau telah menjalankan tanggungjawab beliau sebagai seorang yang sayangkan bola sepak negara jadinya kita yang pernah menyanjung beliau suatu masa dahulu patut menjalankan tanggungjawab kita pula. 

Beliau ditahan kerana didakwa menjadi kepala semasa kejadian minit 88 di Stadium Shah Alam. Bukti yang tidak kukuh membuatkan pasukan berbaju biru kemungkinan tidak berpuas hati. Tetapi kerana tanggungjawab sebagai seorang kepala dan tanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku beliau steady berhadapan dengan mereka-mereka yang mungkin telah terasa tercabar dek perangai musibat-musibat berbaju hitam. 

Selain beliau ada beberapa lagi musibat yang ditahan kerana didakwa bersubahat. Nampaknya sang biru semakin kemaruk untuk menahan penyokong-penyokong sejati yang sayangkan bola sepak negara dan negeri. 

Jangan lah ada bunyi-bunyi yang mengatakan baik bersedekah kepada anak yatim atau orang susah dari bagi seringgit dua kepada penganas seperti diaorang. Kerana dalam istilah membantu tak mengira sesiapa kot. Tepuk dada tanyalah jiwa.

  

Monday, September 14, 2015

Bye Bye Sang Rokok

Setiap hari aku akan mengeluarkan wang sejumlah RM13.80 (harga sekarang) kesimpulannya setiap hari aku akan mengisap habis sekotak Salem Menthol Soft Pack. Nescaya apabila di darabkan RM13.80 sehari sekotak bersamaan RM414.00 sebulan. Bayangkan RM414.00 setiap bulan di darabkan pula dengan setahun bermakna RM4,968.00. Cuba kita bayangkan dan fikirkan sama-sama dengan RM4,968.00 setahun apa yang boleh kita dapatkan? Dapatkan untuk diri sendiri, dapatkan untuk keluarga kita, atau dapatkan untuk perniagaan kita. 

Perghhh mengira Matematik la pulak aku kali ini. Tapi itu lah kenyataannya. Tapi dugaan untuk berhenti dari menghembus  asap yang mengandungi pelbagai ramuan yang terlalu saintifik nama dan pembuatannya. Masa bila terasa best untuk menghembuskan asap putih yang harum baunya bagi seorang perokok seperti aku ini. Jawapannya pasti selepas makan terutamanya selepas makan masakan sang isteri. Selain dari itu masa membuang di dalam tandas perghhh duduk mencangkung bibir berasap. Dan bagi aku saat syok menyedut dadah kecil ini ketika mengadap komputer untuk editing. 

Suatu masa dahulu aku pernah berhenti sekejap selepas Sang Rejim membakor aku dengan produk Ganti Rokoknya. Siap beli Malboro Light baru berharga RM12.00 hisap sebatang dan yang lain salotep tulis tarikh menandakan aku setia dengan rokok letrik yang dijual ketika itu. 

Tetapi segalanya musnah apabila melangkah ke Kota Singapura di mana rokok letrik aku dirampas ketika aku tiba di imegresen. Dikatanya "why so big?" Akhirnya selamat kedua-dua rokok letrik aku terkubur di negara jiran Malaysia iaitu Singapura. Lama jugak aku bertahan dalam 9 bulan tapi aku kembali menghembus asap nikotin yang membahayakan paru-paru cuma kali ini bukan lagi Malboro Light tapi beralih arah kepada Salem Menthol. 

Walaubagaimanpun semuanya berakhor pada 6 September 2015 baru-baru ini.  Hanya dengan satu panggilan kepada Sang Hapis Nasir menanyakan ada tak mode yang murah-murah untuk dijual.
"Bayu ko pegi KVK Jalan Penjara sekarang, diaorang ada buat promosi last day hari ni", gelabah mamat ni suruh.
"Alamak aku mana tau nak beli apa macam mana semua lah", jawab aku lurus bendul.
"Ala ko cari Pishang ko bagi tau budget dapatlah barang," jelas sang Hapis Nasir lagi.


Segalanya bermula saat itu, dan kini sudah 16 hari aku vape on dan say bye bye kepada sang rokok. Dan aku kembali mendisplinkan diri seperti mana Sang Rejim arahkan aku dahulu. Cuma kini aku genapkan RM14.00 setiap hari masuk ke dalam kotak yang sepatutnya. Harap-harap berterusanlah hendaknya. 




Saturday, September 12, 2015

Afi Darwisy Semakin Dewasa

Happy birthday to u,
Happy birthday to u,
Happy birthday to Afi Darwisy,
Happy birthday to uuuuu

Aku membawa kek yang ditempah terpampang gambar Ultraman dan tertulis Happy Birthday Afi Darwisy 5 tahun. Tidak ketinggalan lilin A B C yang telah aku bakar. Kali ini aku dan sang isteri ingin menyambut hari kelahiran yang ke 5 tahun Afi Darwisy di Tadika Putra Putri tempat pendidikan awal sang kecik mengenal A B C dan 1 2 3. 


Terpampang keseronokkan sang anak kerana dapat menyambut hari kelahiran nya bersama-sama rakan-rakan tadikanya. Sang ibu seawal pagi telah bangun untuk menyiapkan sedikit juadah kepada anak-anak kecil. Mee goreng dan hot dog menjadi menu tambahan kerana kek Ultraman yang telah ditempah menjadi menu utama. Rezeki yang ada kami sekeluarga memberi sedikit door gift untuk memeriahkan suasana di Tadika  Putra Putri. 

Tepat jam 10.30 pagi aku dan sang ibu tiba di tadika dan melangkah masuk ke dalam kelas sambil membawa kek yang telah dihiasi dengan lilin sambil menyanyikan lagu wajib di hari lahir. 





Kepada Afi Darwisy ayah dan ibu mintak maaf kerana tak dapat buat suprise yang meha di kedai, di McD atau di mana sahaja seperti orang lain. Hanya di tadika Afi Darwisy sahaja yang ayah mampu. Semoga Afi Darwisy akan terus membesar dengan kasih sayang, dengan penuh ilmu, dengan kesihatan tubuh badan dan sebagainya. 

Wednesday, August 26, 2015

Asam Garam Liga Malaysia 2015

Masih belum terlewat untuk aku mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Takzim 1, Kedah, Penang, Melaka dan Perlis kerana kejayaan mereka sepanjang Liga Malaysia 2015. 


Johor Darul Takzim 1 (JDT1) yang beraksi di luar Johor bertemu KL Felda United biarpun bermain dengan 10 orang dan kalah pada perlawanan tersebut menjadi juara Liga Super buat kali kedua berturut-turut kerana pencabar terdekat mereka iaitu Pahang yang tewas di tangan pasukan Terengganu pada hari yang sama.  Bagai telah ditentukan kejuaraannya di mana Piala Liga Super telah berada di Stadium Selayang dan telah diikat rapi dengan reben merah biru pada piala rebutan tersebut. Walaupun ada yang mengatakan Piala Liga Super yang replika berada di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tetapi tiada langsung persediaan untuk diraikan oleh Pahang. Tapi apa pun ianya telah berlalu biarkan ianya berlalu.



Kepada Kedah dan Penang tahniah, kerana dua pasukan ini sememangnya patut bergembira kerana berjaya kembali ke kancah Liga Super 2016 dan kepada Kedah pasukan anda layak untuk mejulang Piala Liga Primier dengan aksi yang konsisten di sepanjang Liga Perdana 2015.



Tidak lupa juga kepada pasukan yang beraksi di Liga FAM. Tahniah diucapkan kepada Perlis dan Melaka United yang berjaya melangkah ke Liga Perdana 2016 dengan penuh bergaya. 

Biarpun banyak anasir-anasir yang mengatakan semuanya telah diatur, disusun dan dirancang inilah realiti sebenar bola sepak. Degupan jantung para penyokong dipam dengan laju sehingga saat-saat akhir pertemuan itulah kemeriahan dan asam garam yang dirasai oleh mereka yang bergelar penyokong.

*credit gambar dari Gawang.My

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...