Tidak ku sangka masa itu berlalu dengan sungguh cepat. Kini sudah 20 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang Muadzam Shah megah berdiri di bumi Muadzam Shah. Tanggal 1 April 2016 merupakan titik pertemuan kembali pendidik yang 18 tahun dahulu memberi didikan dunia dan akhirat. Pertemuan kembali saudara-saudara sebantal, setilam dan sekelas yang mengharungi pahit manis bersama.
Hotel Zenith yang tersergam indah di tengah-tengah bandar Kuantan menjadi saksi pertemuan yang direalisasikan oleh angkatan Alumni SMKAP bagi sambutan 20 tahun SMKAP "Malam Jasamu Dikenang". Malam yang tidaklah terlalu havoc dari padangan mata kasar tetapi dari jauh sudut hati memberi seribu makna kepada yang hadir.
Tidak terkira besar nilainya jasa para pendidik kalau hendak di ganti dengan wang ringgit. Cukup sekadar pertemuan sepasang mata dan seukir senyuman mampu menghadiahkan sejuta kenangan kepada pendidik dan anak didiknya.
Kegembiraan, keceriaan, kesyahduan dan keriangan jelas terpancar dari riak wajah guru-guru yang hadir pada malam ini. Kenangan manis ini juga dikongsi bersama dengan anak didik mereka yang pernah dirotan, dimarahi, didenda dan disanjung selama mereka menimba ilmu di SMKAP.
Penampilan para pengetua yang pernah mengetuai para pendidik di SMKAP iaitu Ustaz Ismail, Ustazah Rokiah dan ramai lagi menambah perisa kecerian "Malam Jasamu Dikenang". Alumni yang bukan sahaja dikalangan bekas-bekas pelajar SMKAP malah dikalangan bekas-bekas pendidik SMKAP juga turut mewarnai ballroom Hotel Zenith.
Terima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus untuk menjayakan "Malam Jasamu Dikenang" yang diketuai oleh saudara Khairi, saudara Muaz, saudara Aisa, saudara Faris dan semu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Tidak lupa kepada para pendidik yang datang dari jauh bagi memeriahkan malam ini dan seterusnya kepada semua Alumni SMKAP dari generasi pertama sehinggalah generasi sekarang.
Kalian insan terhebat yang pernah aku kenali.
Kalian insan teristimewa yang pernah aku terima didikan.
Kalian insan luar biasa yang pernah tersemat di dalam sanubari kehidupan aku kini.