Tuesday, December 2, 2014

XPDC Jeram Pelangi Kuala Sentul

Masuk tahun ni kira-kira tolak tambah sudah 2 tahun tak masuk Air Terjun Jeram Pelangi, Kuala Sentul, Maran Pahang. Setelah beberapa kali dipelawa untuk ke sana akhirnya aku berjaya juga menikmati keindahan ciptaan Allah yang cukup indah. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 4 jam dengan berjalan kaki mendaki bukit bukau, paya, anak air dan air terjun. 

Bila aku belek-belek album dalam Facebook terasa rindu untuk ke sana lagi. Kalau tidak setiap tahun aku mesti menjejakkan kaki ke sana. Seperti sudah menjadi takwim di dalam dairi hidup aku untuk mengembara ke Air Terjun Jeram Pelangi ini. 

Tempat biasa kami berkumpul adalah di perkarangan Masjid Kuala Sentul, Maran. Di sanalah tempat untuk kami meletakkan kenderaan dan mendengar beberapa taklimat ringkas. Taklimat mesti  dengar sebab nak masuk hutan belantara ni. Sememangnya hutan di Jeram Pelangi ini jarang dimasuki oleh orang luar kerana tiada kemudahan laluan dan sebagainya. Oleh yang demikian kehijauan dan keaslian hutan ini masih terkawal. 

Perjalanan kami bermula dengan menaiki pick up dan hilux untuk menuju ke kaki bukit. Melalui kebun kelapa sawit orang kami dipunggah bagaikan Indon hendak dihantar ke kongsi. Setiba di check point pertama aku mengeluh sendirian. Apabila melihat laluan yang perlu kami lalui sebentar lagi. Apabila kesemua sudah sampai kami memulakan perjalanan yang sememangnya cukup mencabar. Tapi sebelum tu pelindung diri mesti dipakai. Pelindung yang aku maksudkan adalah semburan penyembur nyamuk ke badan dan kaki bagi mengelakkan daripada pacat hinggap. Stokin bola ditarik ke lutut  dan ikatan beg yang sebetulnya bagi tidak berasa lenguh atau sakit ketika memikul mendaki bukit bukau yang sedia menanti. 

Baru beberapa minit perjalanan sudah terasa semput dan lengguh badan kerana beg yang besar dan berat. Tetapi aku gagahi kerana aku hendak sangat melihat benar atau tidak sepertimana yang diperkatakan oleh Doc Ali tentang keindahan air terjun yang dipanggil Jeram Pelangi ini. Perjalanan berlarutan hingga ke 3 jam. Check point rehat telah kami lepasi. Saat ini telah kedengaran sayup-sayup bunyi air terjun. Aku mengagahi setiap langkah ku walaupun dihadapan aku sekarang adalah bukit yang dikenali sebagai bukit lelah. Semangnya bukit ini membuatkan sesiapa yang mendakinya akan lelah kerana ketinggian sangat tinggi. Hinggalah di suatu kawasan yang mempunyai cerun yang sangat curam. Dengan penuh berhati-hati aku menuruni curam yang licin itu. Dan akhirnya kelihatan air terjun yang sangat cantik dan di kawasan itulah juga tempat kami akan bermalam mendirikan khemah. 

Maka tibalah kami di air terjun yang pertama yang diberi nama Air Terjun Batu Hampar. 


Nama Batu Hampar ini dipanggil adalah kerana kawawsan yang hampar dan cantik. Oleh kerana itulah tempat ini dijadikan tempat perkhemahan rasmi kami. Di sini lah kami bermalam, bertukar-tukar pendapat, berkongsi ilmu, makan dan juga tidak lupa pada Allah yang satu. Di Batu Hampar inilah surau kami selama kami berada di sini. Perjalanan hari pertama yang memenatkan membuatkan malam itu kami tidur awal setelah mengisi perut dengan nasi berlaukan sardin dan telur dadar hasil dari masakan Cheif Husaini. 

Hari kedua.

Awal pagi aku telah dikejutkan dengan gegaran khemah dari Doc Ali. Pagi yang sejuk aku hanya mampu melihat Doc Ali mandi di dalam gelap sambil di kotak fikiran aku, tak sejuk ker mandi seawal pagi Subuh Doc Ali ni. Aku? Hehehhee hanya mampu menggosok gigi dan mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh. Aktiviti pagi dihari kedua adalah menjelajah air terjun di Jeram Pelangi. Selesai bersarapan kami memulakan perjalanan menuju ke checkpoint yang pertama iaitu Air Terjun Batu Kawah. 

Kisahnya pulak kenapa dipanggil Batu Kawah lihat kepada keadaan Geografinya  seperti sebuah kawah yang besar dipenuhi dengan air. Oleh sebab itulah ianya dipanggil Air Terjun Batu Kawah. Daripada tapak perkhemahan tadi jarak perjalanan lebih kurang 30 minit untuk sampai ke sini.


Perjalanan diteruskan lagi kerana masih jauh untuk kami terokai. Sehinggalah lebih kurang 1 jam perjalanan daripada Air Terjun Batu Kawah tadi, tibalah kami di Air Terjun Jeram Pelangi. Aku tergamam seketika melihat ketinggian air terjun yang dipanggil Jeram Pelangi ini. Ketinggiannya amatlah tinggi tidak tahu berapa ukurannya. Saat ini juga aku tertanya-tanya mana pelanginya? Rupa-rupanya untuk melihat pelangi aku kena mandi di puncak air terjun tersebut dan sambil melihat sekeliling tempat kita mandi pastinya akan nampak kita akan dikelilingi oleh pelangi. Sungguh unik ciptaannya. Biasan daripada cahaya matahari yang memancar ke batu dan air terjun ini membolehkan gambaran pelangi terbentuk dan boleh dilihat dengan mata. 


Aku ingatkan perjalanan kami hanya di sini. Mana tidaknya, Air Terjun Pelangi telah berada di depan mata dan telah dirakamkan dengan kamera yang di bawa. Sebenarnya di atas Air Terjun Pelangi ini masih ada beberapa air terjun yang cantik untuk dirakamkan cuma perjalanan untuk ke atas sangat mencabar minda dan fizikal. 

Kami menyambung kembali perjalanan menuju ke bahagian atas. Hanya menggunakan akar-akar kayu dan pokok-pokok kecil sebagai penganti tali kerana jalan yang curam dan agak licin. Setelah sampai ke puncak hilang segala keletihan kerana permandangan yang sangat cantik dan menenangkan. 

Tak pasal-pasal nama air terjun yang sangat cantik ini diberi nama Air Terjun Atas Pelangi. Sekali lagi kami berhenti sekejap untuk menghilangkan keletihan. Sesungguhnya ciptaan Allah yang maha esa sungguh hebat. Untuk sampai ke atas ni pendakian memakan masa hanya 15-30 minit bergantung kepada kecekapan teknik pendakian. Setelah hilang rasa kepenatan, perjalanan diteruskan kerana ada 1 lagi air terjun untuk kami rakamkan keindahannya. Tetapi kali ini perjalan agak landai tetapi sedikit jauh. Lebih kurang 45 minit perjalanan daripada Air Terjun Atas Pelangi tadi. 

Perut sudah mula terasa lapar. Nasib baik bekalan telah aku bawa. Walaupun hanya sardin dan roti, tapi itulah makanan wajib tatkala berada di dalam hutan belantara ini. Air terjun yang terakhir telah kami sampai. Seperti sebuah empangan yang besar tempat menampung air. Dikatakan jika waktu air besar kami tidak dibenarkan untuk sampai ke sini kerana di sinilah tempat selalunya limpahan air yang menyebabkan bahaya kepada pencinta alam yang datang. Air terjun yang aku maksudkan adalah Air Terjun Tingkat. Keadaan strukturnya seperti bertingkat-tingkat itulah nama air terjun ini dipanggil Air Terjun Tingkat. 

Dipahamkan juga bahagian atas masih ada beberapa air terjun yang masih belum diterokai dan di berikan nama. Tetapi oleh kerana tidak mengizinkan dan tahap keletihan yang menguasai diri kami tidak merangcang untuk naik lebih tinggi. Cukuplah setakat Air Terjun Tingkat, dilain masa jika berkesempatan akan dijelajahi jua. Untuk patah kembali ke belakang tidaklah panjang seperti permulaan tadi. Bak kata orang tua-tua .... Tanah sudah kenal kaki yang memijak.

Kami kembali ke tapak perkhemahan pabila petang menyingsing. Setelah selesai Jamak Zuhur dan Asar kami menketedarah makanan yang ada sambil menunggu makan malam terhidang. Pada sebelah malam bagi mereka yang mengemari genre fotografi makro, mereka telah bersiap-siap untuk memburu. Sesungguhnya aku memang fail dalam genre ini tapi aku tak nak melepaskan peluang mencari sedikit koleksi gambar makro sementara dapat bersama dengan insan-insan luarbiasa di dalam dunia fotografi. Selain daripada itu aku mengambil peluang ini untuk bermain light painting di dalam hutan dan tempat berair terjun seperti di Jeram Pelangi ini. 



Hari ketiga.

Aktiviti di hari terakhir adalah menjelajah satu lagi air terjun. Semalam kami menerokai bahagian atas hutan. Tetapi hari ini perjalanan kami menuju ke bahagian bawah. Air terjun yang kami akan pergi ini diberi nama, Air Terjun Tebing Tinggi. Perjalanan tidak lah jauh daripada tapak perkhemahan iaitu lebih kurang 20 minit. 

Menjelang tengah hari setelah selesai makan tengah hari dan mengemas khemah beserta kawasan perkhemahan, kami bersiap-siap untuk pulang. 

Setiap tahun aku tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan team Luarbiasa masuk ke Jeram Pelangi, cuma dua tiga tahun baru ini aku tidak berkesempatan untuk kembali aktif panjat memanjat. Sesungguhnya Air Terjun Jeram Pelangi adalah air terjun yang cantik setanding dengan negeri-negeri lain.


No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...