Wednesday, October 21, 2015

Wahai Pahang Ku


Stadium Darul Makmur bukan lagi sebuah stadium keramat bagi penyokong-penyokong Pahang. Kekalahan di tangan PKNS baru-baru ini betul-betul memberi impak kepada penyokong-penyokong Pahang khasnya dan Negeri Pahang khasnya. Kekalahan kali kedua dengan jumlah jaringan yang sama menjadi tanda tanya pada seluruh penyokong Pahang. Adakah masalah gaji pemain yang tidak dibayar? Adakah konsisten pemain semakin merundum? Atau ada sindiket mengatur perlawanan? Atau sememangnya Pahang sudah tidak bermaya bagaikan gajah yang telah hilang gadingnya. 

Bilangan penyokong yang hadir pada hari Sabtu baru-baru ini semakin memberi kesan positif. Lebih kurang dalam 10,000 hadir dari seluruh pelusuk negeri Pahang malah ada yang datang dari luar Pahang untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka. Mereka korbankan wang ringgit mereka untuk bersama-sama berada disamping pasukan yang sememangnya gah di arena bola sepak Malaysia semenjak kebelakangan ini. Mereka tidak pernah mengeluh atau bosan untuk terus menyokong. 

Menang atau kalah bukan persoalan yang wujud di dalam hati mereka tetapi kerana suasana serta keseronokkan bola sepak masa kini membuatkan mereka hadir untuk terus menyokong. Adakah perkara ini disedari oleh pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang seterusnya pemain serta pengurusan bola sepak Pahang? Jika kekalahan yang ditakdirkan biarlah kekalahan itu kekalahan yang bermaruah bukan suatu kekalahan yang dicipta atau disengajakan. 

Di dalam situasi ini aku sendiri bingung dan runsing. Siapa yang patut dipersalahankan? Adakah pihak pengurusan iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang yang bersalah? Tetapi persatuan ini bukan persatuan seperti dahulu di mana suatu masa dahulu masalah tunggakan gaji dan kebajikan pemain tidak dijaga. Tapi mungkin penyakit lama itu berulang kembali. Atau adakah kesilapan barisan kejurulatihan pasukan Pahang yang diketuai oleh ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan? Taktikal yang lama langsung tiada perancangan baru dan pemilihan pemain yang bagaikan melepaskan batuk di tangga menjadi penyebab kepada kemerosotan pasukan Pahang? Tetapi musim lepas bagaimana beliau boleh menyambung warisan yang ditinggalkan oleh Dollah Salleh untuk terus meneraju Pahang dengan penuh kegemilangan? Atau pun kemerosotan Pahang semenjak dua menjak ni adalah kerana pemain-pemain yang kita sanjung dan puja tidak lagi berkualiti? Adakah benar mereka bermain demi lencana di dada mereka? Arghhhh terlalu banyak persoalan di hati aku saat ini.

 
Sebelum ini aku pernah menconteng tentang tajuk 'Kita Masih Belum Kalah' tetapi dengan apa yang berlaku saat ini contengan aku itu bagaikan angan-angan seorang penyokong yang terlalu mengharapkan kemenangan. Walaubagaimanapun aku masih boleh berfikir secara positif. Rekod Pahang selama ini di peringkat kumpulan untuk Piala Malaysia tidak pernah cun. Penuh dengan onak duri dan ranjau yang mencabar dan akhirnya Piala Malaysia dikucup megah dan dijulang penuh bangga. Untuk mengejar kejuaraan sememangnya mudah tetapi untuk mengekalkan kejuaraan terlalu susah dan membimbangkan. 

Mungkin contengan aku kali ini bagaikan aku terlalu inginkan kemenangan dan takut kepada kekalahan. Memang itu yang diinginkan oleh semua yang aku sebutkan di atas serta semua peminat sukan tidak kira sukan apa yang diminati. Walauapapun yang berlaku kalah atau pun menang minat aku pada bola sepak tetap utuh dan Pahang Darul Makmur tetap pasukan kesayangan aku. 

No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...