Monday, September 2, 2019

Leftenan Adnan Realiti Sebuah Kemerdekaan



Jika ditanya tarikh 14 Februari pasti anak-anak muda akan mengaitkannya dengan sambutan Valentine’s Day atau Hari Kekasih. Biasanya, anak-anak muda ini ter­utama yang mempunyai teman lelaki atau wanita akan tertunggu-tunggu kedatangan hari tersebut semata-mata mahu meraikannya bersama sedangkan di dalam Islam di larang sama sekali untuk diraikan kerana ianya cenderung ke arah kemaksiatan.


Berbalik kepada tanggal 14 Feb­ruari, mungkin ramai antara kita tidak tahu terdapat satu peristiwa besar yang ada kaitannya dengan sejarah negara ini. Pada tanggal tersebut gugurnya seorang pahlawan dari Rejimen Askar Melayu iaitu Leftenan Adnan Saidi di Bukit Candu, Si­ngapura ketika mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh pihak Jepun. Beliau gugur pada usia 27 tahun sebagai wira bangsa.


Berdasarkan pembacaan, tontonan YouTube dan kajian ringkas anak kelahiran Kampung Sungai Ramal, Kajang ini sudah bercita-cita menjadi seorang tentera sejak kecil lagi. Di mana ketika kecil beliau sering bermain perang-perang bersama adik dan rakan-rakannya. Kenangan ini di abadikan di dalam filem Leftenan Adnan, di mana beliau menyerang Tok Mudim di kampung beliau. Sifat kepimpinan dan keberanian Leftenan Adnan telah terserlah ketika beliau masih kecil lagi.

Atas minat yang mendalam, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu pada usia 18 tahun (sekitar 1933) walaupun sebelum itu bertugas sebagai guru pelatih dan telah mengajar selama setahun setengah. Setahun selepas menyertai tentera, beliau terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada 1936 Adnan dinaikkan ke pangkat sarjan dan pernah diberi penghormatan untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat atas pertabalan Raja George VI di London pada 1937Selepas dinaikkan pangkat Sar­jan Mejar, Adnan telah dihantar ke Si­ngapura untuk menjalani kursus latihan pegawai bagi membolehkannya memakai pangkat Lef­tenan Muda dan seterusnya Lef­tenan.





Sejarah kehebatan Leftenan Ad­nan bermula ketika era pepe­rangan Perang Dunia Kedua iaitu semasa penjajahan Jepun di beberapa buah negara termasuk Tanah Melayu dan Singapura.

Menurut catatan sejarah pada 13 Februari 1942, pasukan tentera Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Renya Mutaguchi telah menyerang Permatang Pasir Panjang yang berada di pesisiran Si­ngapura. Lokasi tersebut menerima serangan bertalu-talu daripada pihak Jepun sama ada daripada udara mahupun darat.


Sungguhpun begitu, Leftenan Adnan bersama pasukannya (Kom­peni C) yang ditempatkan di ka­wasan berkenaan telah membe­rikan tentangan cukup sengit sehingga pasukan Jepun terpaksa berundur. Walaupun pasukan Je­pun mempunyai anggota lebih ramai, pasukan itu gagal menembusi pertahanan Askar Melayu yang diketuai Leftenan Adnan. Pada tengah malam 14 Februari 1942, Leftenan Adnan dan Kompeni C kemudian telah mendapat arahan daripada pihak atasan untuk bergerak ke tapak pertahanan baharu iaitu di Bukit Candu. Jumlah anggota telah ditambah dan menjadi 42 orang kesemuanya termasuk Koperal Yaakob.

Untuk makluman, Bukit Candu adalah lokasi pertahanan strategik dan pada masa sama merupakan sempadan pertahanan terakhir bagi Singapura. Sehubungan itu tanggungjawab untuk mempertahankan lokasi itu tidak boleh diserahkan kepada calang-calang pegawai tentera tetapi perlu di­serahkan kepada seorang pegawai yang benar-benar bijak, tajam pemikiran, lasak dan berwibawa.

Atas faktor-faktor berkenaan, Lef­tenan Adnan telah dipilih un­tuk memikul tanggungjawab ter­sebut. Yang pasti, disebabkan ke­dudukan Bukit Candu sebagai ku­bu pertahanan yang strategik buat Singapura, sudah tentu lokasi itu menjadi tumpuan seterus­nya oleh pihak musuh.

Pada petang 14 Februari 1942, pihak Jepun telah cuba melakukan serangan berhelah di Bukit Candu apabila tentera mereka menyamar sebagai kontinjen tentera Sikh daripada pasukan tentera British-India. Bagaimanapun Leftenan Adnan sedar ada sesuatu yang tidak kena dalam pasukan tersebut apabila melihat tentera Sikh ber­kenaan bergerak dalam kumpulan berempat dan bukan bertiga se­perti amalan biasa tentera British. Ketajaman mata dan tingginya ilmu ketenteraan beliau juga dapat membezakan senjata yang digunakan oleh pihak musuh adalah tipu helah mereka. Menyedari tipu daya tersebut, Leftenan Adnan dan semua anggotanya segera melepaskan tembakan hingga menyebabkan 20 orang askar musuh terkorban.

Dua jam kemudian pasukan Jepun te­lah melancarkan serangan besar-besaran dengan bilangan tentera yang begitu ramai. Meskipun jumlah anggotanya jauh lebih kecil berbanding tentera Jepun, Leftenan Adnan dan pasukannya tetap bertempur de­ngan ga­gah berani sehingga terkorban. Terkorban sebagai pahlawan negara. Sungguhpun Leftenan Ad­nan dan anak-anak buahnya terkorban, mereka berjaya membunuh 800 tentera musuh.

Dalam pada itu, Koperal Ya­a­kob yang terselamat dalam sera­ngan itu telah menyaksikan kematian ngeri Leftenan Adnan. Akibat rasa dendam disebabkan keberanian pahlawan Melayu itu, pihak Jepun telah bertindak kejam terhadap jenazah Leftenan Adnan. Jenazahnya telah digantung di pokok ceri dan kemudian ditikam bertalu-talu dengan menggunakan pisau benet. Leher Allahyarham juga telah dikelar. Tentera Jepun berang dengan kehebatan Leftenan Adnan dan pasukannya yang berjaya membunuh ramai rakan mereka. Beginilah secebis kisah keberanian seorang pegawai tentera Melayu yang sanggup berjuang hingga titisan darahnya. Demi mempertahankan tanah airnya, Leftenan Adnan akhirnya terkorban di usia muda.

Kepada generasi muda pula, jadikanlah kisah keberanian Leftenan Adnan ini sebagai inspirasi kita untuk terus mempertahankan negara daripada diceroboh oleh mana-mana pihak. Tahniah kepada jawatankuasa hari kemerdekaan di Kuantan Pahang kerana membawa pentomin kisah Leftenan Adnan sebagai tontonan masa kini. Semoga roh Lef­tenan Adnan ditempatkan ber­sama golongan syuhada, beriman dan solihin. Al-Fatihah.



No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...