Tuesday, May 26, 2020

Aidilfitri Luar Biasa

Setiap tahun pastinya setiap insan akan melompat-lompat untuk menyambut perayaan yang boleh dikatakan terbesar di dalam kalendar. Tidak lain dan tidak bukan adalah sambutan hari raya Aidilfitri. Rumah akan dihias cantik dengan kain langsir dari Jakel, pasu bunga dari SSF, perabut dari Hap Long Furniture, karpet dari KA Shariff dan pelbagai lagi. Tidak cukup dengan itu pelbagai kuih muih akan di siapkan sehingga tertinggal solat Terawih. Tak lupa juga baju raya yang di beli di ekspo atau di butik-butik pilihan. Ehh ada lagi.... habis semua member-member yang kerja bank di telefon untuk pasang kabel tukar duit raya. Belum ditambah dengan tempahan lemang, sate, dodol dan ketupat bagi mereka yang tak pandai nak buat sendiri.

Suasana itu adalah sinonim dengan perayaan hari raya setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Tetapi tidak bagi tahun 2020. Segala-galanya berubah dengan sekelip mata sahaja. Masa ini masing-masing secara tidak langsung menuruti suruhan di dalam Islam yakni, bersederhana di hari perayaan. Langsir tukar yang 4 tahun lepas, itu pun kalau tukar la. Pasu bunga pulak di lap sahaja dengan kain buruk baju masa saiz badan M dulu. Perabut lama masih setia menjadi penyeri. Karpet yang telah di vakum, disidai di pagar rumah, jemur seharian. Balang kuih, alhamdulillah penuh dengan kuih raya yang boleh dimakan di hadapan tv ala-ala 'pop corn' di pawagam. Baju raya masih padan yang tahun lepas tak pun dua tahun lepas. Last sekali duit raya, tak terfikir untuk tukar. Makanan yang dikatakan tak pandai buat sendiri tu? Masih setia ditempah tapi lemang sebarang, ketupat segengam dan dodol dilupakan.

Segalanya adalah disebabkan wabak Covid-19 yang menyerang dunia. Selama 60 hari di kurung atas Perintah Kawalan Pergerakan. Di sambung pula dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat. Sehinggakan kemeriahan Aidilfitri kali ini seperti tidak bernyawa suasananya. Mana tidaknya, jika sebut hari raya tidak kira raya Aidilfitri ke AidIladha ker, Gong Xi Fa Cai ker, Deepavali ker, kalau dah nama perayaan mesti akan balik kampung bagi mereka yang tidak bertugas. Dan di hari perayaan pastinya kunjung mengunjung ke rumah keluarga, sanak saudara dan rakan taulan untuk bergosip bila nak kahwin? Anak belajar mana sekarang? Cantiknya baju raya, gelang tangan, beli di mana? Menjadi keutamaan sebelum ini, tetapi tidak kali ini. 

Tahun 2020, tiada istilah balik beraya kerana tidak boleh merentas negeri, nasib baik rentas daerah dibenarkan. Itu pun masih samar-samar boleh atau tidak. Kali ini juga tidak digalakkan untuk kunjung mengunjung seperti sediakala hanya aplikasi digital media menjadi penghubung persaudaraan. Sebelum ini sebulan Syawal diraikan, hari ini hanya sehari dibenarkan itu pun tidak melebihi 20 orang satu rumah dan perlu mengekalkan jarak sosial dan pematuhan 'Standard Operation Prosedur' (SOP). Serba salah jugak bila orang hulur tangan nak bersalam. 

Walaupun berbuih pihak berkuasa memaklumkan segala SOP tetapi masih ada yang berdegil. Akhirnya SOP yang pada mulanya dibenarkan ditarik balik. Ada juga kanak-kanak berduyun-duyun datang beraya. Aku halau sambil.... , 
"Mak ayah korang dah tak sayang korang ker? Nak korang mati sebab wabak Covid-19?" 
Belum masuk topik yang dewasa pun datang tayang kereta bersusun depan laman rumah. Akhirnya... Kena kompaun tak pasal-pasal. 

Hakikatnya wabak merebak atau tidak perayaan ini tetap boleh disambut dengan penuh kegembiraan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Kita masih boleh kemas rumah untuk kebersihan tempat tinggal, masih boleh buat kuih raya untuk santapan sendiri, masih boleh mengayakan pakaian lama dan selfie bersama-sama sambil buat mulut itik dengan tangan tanduk kerbau, masih boleh bermaaf-maafan menerusi aplikasi zoom tak pun webex dan macam-macam lagi, malah masih boleh bagi duit raya dengan cukup mudah dengan hanya pemindahan menerusi aplikasi 'online banking' lagi mudah tak payah susah-susah cari sampul raya. 

Sememangnya Aidilfitri 2020 bersamaan 1441 hijrah kali ini akan menjadi lipatan sejarah kehidupan. Diharap wabak pendemik Covid-19 ini dapat dihapuskan dari terus bermaharajalela. Kita jaga kita. Kita jaga jarak sosial kita. Kita patuhi setiap arahan yang dikeluarkan. Cukuplah tahun ini kita berkorban segalanya dan kita doakan semuanya kembali normal seperti sediakala. 

No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...