Aku bukan hari ini berada di dalam lingkungan suasana sesuatu program yang diadakan, malah pelbagai dan bermacam majlis telah aku hadiri. Majlis yang melibatkan kanak-kanak, majlis yang dihadiri orang ramai malah majlis yang mempunyai status dikalangan diraja.
Masuk pandang kambing mengembek. Masuk kandang harimau mengaum. Lain padang lain belalangnya. Lain negeri, lain adat resamnya. Kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran dan minda yang cerdas pandai-pandailah membawa diri di dalam lingkungan kita berada.
Takkan kita nak duduk di bawah tempurung. Hanya duduk diam sedangkan suasananya tersangat meriah dengan gelak ketawa. Takkan kita nak duduk tanpa melakukan apa-apa sedangkan rakan-rakan lain berlumba-lumba untuk menceriakan suasana.
Sebab itulah orang tua-tua pesan, jangan jadi bodoh sombong. Jangan jadi kera sumbang. Jangan diikut lalang yang tua.
Jangan dicari salah orang. Sedangkan salah sendiri tidak diperbaiki. Jangan fikir kita hebat sebab ramai lagi insan yang hebat. Jangan tunjuk kita pandai sebab ramai lagi orang yang bijak.
Elok-elok hati yang gundah gulana dapat menerima suasana yang ceria, tiba-tiba hilang begitu sahaja bagaikan ditiup sang bayu.
Jangan hanya di pandang perkara yang remeh untuk diperbesarkan kerana masih banyak perkara yang utama perlu diselesaikan. Hidup di dunia ini hanya sementara. Ditambah pula dengan pasang surutnya. Diselangi dengan pahit manis maungnya. Kadang-kadang kita di atas kadang-kadang kita di bawah.
No comments:
Post a Comment