Saturday, November 8, 2014

Musibat berbaju hitam

Tahun silih berganti. Daripada satu kumpulan kecil yang terdiri daripada beberapa orang anak muda yang berpakaian jersi kebanggaan negeri mereka iaitu Pahang kini mereka telah melangkah gagah dalam satu kumpulan yang besar dan terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Dahulunya mereka hanya bertemankan dengan paluan kompang kini alatan muzik moden menjadi pilihan di dalam keriuhan di stadium. Suatu ketika dahulu mereka digelar orang gila yang kena sawan tapi kini mereka disanjung dan menjadi ikutan oleh semua peminat bola sepak tanahair. 

Jatuh bangunnya Negeri Pahang di dalam arena bola sepak, mereka tetap berada di belakang sebagai pemain ke 12. Suatu ketika dahulu mereka hanya memenuhi satu teres sahaja, kini mereka terpaksa berpindah ke curva lain untuk menampung jumlah musibat yang semakin bertambah. Peningkatan ini sangat menarik minat aku untuk mencoretkan sepatah dua kata di dalam entri baru aku ini. 

Mereka digelar Elephant Army atau sinonim dengan tentera bergajah zaman Rasulullah dahulu kala. Mereka juga mengelarkan diri mereka sebagai pemain ke-12. Mereka menyokong sepenuh hati mereka. Mereka melompat bersama. Mereka chant bersama. Mereka merealisasikan pergerakkan bersama. Mereka berganding bahu bersama. Beridentiti dengan berbaju hitam dan bermafla tidak lupa juga berkasut. Mencerminkan disiplin mereka di dalam curva. Sentiasa mematuhi arahan daripada sang capo Ejat dan Chenko. Tidak lupa juga arahan-arahan daripada abang-abang curva crew (cc) dituruti bagi memudahkan setiap perilaku yang dicadangkan. 


Kewujudan mereka juga masa kini memberi peluang kepada orang luar untuk mengambil kesempatan. Kenapa aku berkata sedemikian? Ianya adalah kerana semakin banyak barangan-barangan yang berlogokan Elephant Army terjual di merata tempat terutamanya di persekitaran stadium. Mereka lupa bahawasanya logo Dan tulisan Elephant Army telah di daftarkan dengan Myipo di bawah Akta Perlindungan Hak Cap Dagangan 1976. Pernah sekali pihak KPDNKK membuat serbuan di persekitaran stadium dan banyak barangan musibat ini dirampas. Hanya pihak Curva Sebelas Official Store (CURSOS) sahaja yang diberi hak rasmi untuk menjual barangan mereka.


Apabila bercakap tentang ultras yang membawa maksud diluar batasan mainan seperti flare, smoke bomb, kertas, panji, tifo, coreo dan pelbagai lagi sinonim dengan pergerakkan mereka. Pergerakkan ini semakin berkembang ketika Pahang bermain di Liga Perdana dan Stadium Perbandaran Temerloh menjadi saksi kewujudan mereka yang semakin menjadi nadi kemeriahan di dalam stadium. Sehinggalah mereka kembali ke Stadium Darul Makmur Kuantan, stadium keramat pasukan Pahang Gate 11 menjadi port untuk mereka mengila bagaikan dunia ini mereka yang punya. Ketika itu penyokong lain mula menerima sedikit demi sedikit pergerakkan musibat-musibat yang dahulunya dipanggil orang gila kerana terjerit-jerit sambil memukul kompang. Daripada teres bawah di Gate 11 berkembang ke teres atas mewarnai sebahagian tempat duduk penyokong dengan warna hitam.

Semakin hari skuad Pahang semakin menunjukkan peningkatan. Di barisi pemain-pemain yang kebanyakkannya hanya memanaskan bangku simpanan di pasukan lama mereka tapi tidak di Pahang. Tidak lupa juga kepada barisan pemain import yang menjadi nadi kepada kejayaan-kejayaan Pahang di musim-musim kebelakangan ini. Menjuarai Piala Malaysia 2013, Piala Sumbangsih 2014, Piala FA 2014 dan yang terbaru juara Piala Malaysia 2014. Kejayaan demi kejayaan ini membuatkan kapasiti Gate 11 semakin padat maka mereka berhijrah ke curva sebelah supaya mampu untuk menampung penambahan komrad yang setia di belakang pasukan. Masa kini kawasan baru sedikit selesa untuk musibat-musibat berbaju hitam ini meneruskan pergerakkan mereka. 



Apabila semakin besar semakin ramai idea mereka semakin padu. Beberapa tifo telah mereka jayakan, rasanya sampai sekarang telah ada sebanyak 5 tifo dan 1 tidak berjaya untuk dinaikkan kerena rosak dek kesilapan teknikal. Selain daripada itu mereka juga telah mampu untuk melaksanakan coreo yang canggih setanding dengan ultras-ultras dari luar seperti mana yang mereka sajikan di perlawanan akhir baru-baru ini. Permainan panji juga tidak ketinggalan di mana mereka memiliki beberapa batang panji yang mampu menghuru harakan curva dengan hayunan mengikut rentak chant yang dilontarkan. 






Kini usia mereka sudah mencecah 4 tahun. Walaupun Stadium Darul Makmur terletak di Kuantan, ianya tidak mematahkan semangat musibat dari daerah lain untuk bersama-sama berganding bahu memeriahkan suasana curva. Anak Kota (TNT), Kolepeh Guerella, Budak Liar, Jerantut Regiment, Temerloh Beware, Komrad Bentong, Rauborko, Jengka Mania dan yang terbaru Komrad Bera. Kewujudan mereka bukanlah sebagai pencabar atau kumpulan baru bagi Elephant Army tetapi merekalah nadi Elephant Army di daerah masing-masing. Saluran untuk menyampaikan maklumat, memudahkan perjualan barangan Cursos dan sebagainya. Struktur Geografi Negeri Pahang yang luas dan berbukit bukau membuktikan taat setia mereka tidak boleh dipandang remeh serta dipertikaikan.

Saat ini tiada masa untuk menoleh ke belakang lagi. Terus maju ke hadapan. Pertingkatkan kepaduan suara tidak kira ketika sedang mendahului atau ketinggalan. Perkemaskan pergerakkan setiap pergerakkan yang dicadangkan. Jangan malas untuk clapping diudara. Jangan malas untuk menggunakan mafla semaksimum mungkin dan jangan malas untuk melompat bersama-sama. Jangan kita menyokong hanya ketika menang dan di atas kerana ianya bagaikan lalang yang ditiup angin. 

Perhebatkan lagi pukulan-pukulan drum bass dan snare. Jangan hanya untuk menunjuk-nunjuk lilitan merah yang tertera DL di lengan. Pukulan-pukulan yang berhantu daripada musibat berlilit merah amat ditagih terutamanya kepada sang capo di atas stand dan juga kepada mudibat-musibat yang lain. Pastikan mereka mengila demi sokongan untuk negeri tercinta. Sama juga dengan malaun-malaun yang berlilit kuning di lengan. Anda adalah role model kepada musibat yang lain dan fan yang lain. Jangan syok sendiri mengarah supaya orang lain menjerit sedangkan sang cc bertengek menonton perlawanan. 


Kesimpulannya, apa yang mereka ada hari ini cukup membanggakan. Penyatuan di antara mereka, penonton biasa, barisan pemain dan pihak pengurusan sangat memberangsangkan. Pemain memerlukan sokongan dari penyokong dan penyokong memerlukan yang terbaik daripada pemain. Mereka diibaratkan seperti aur dengan tebing dan bagaikan isi dengan kuku. Teruskan berjuang wahai si baju hitam. Semarakkan sokongan ke-12 kalian demi Pahang tercinta. Walaubagaimanapun jangan lupa kepada negara di bawah panji Ultras Malaya tatkala misi AFF akan berlangsung tidak lama lagi.   

.... Hitam putih terus bersemadi...
.......hitam putih kau tetap dihati....
.........selamanya Elephant Army ......
............selagi kami di sini ..................
..............hitam putih kau tetap di hati .....

No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...