Thursday, February 23, 2017

Bersemadilah Ibuku


Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan kita. Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya. Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali! 

Kematian itu sebenarnya ada petunjuknya, antara kita perasan kehadiran petunjuk itu atau pun tidak. Sama seperti aku. Pemergian ibunda aku bagaikan telah diberi beberapa petunjuk tetapi sebagai manusia yang serba kekurangan akan tidak merasai kehadiran petunjuk yang telah tertulis di dalam kamus kehidupn kita. 


Tidak ku duga ibuku akan pergi secepat ini. Tidak ku duga aku akan bergelar anak yatim yang sudah ketiadaan ibu yang melahirkan aku. Tidak ku duga hadirnya ibuku di hari perkahwinan sepupu ku di Kuantan akhir tahun lepas adalah pertemuan beliau yang terakhir bersama adik beradik, sanak saudara serta rakan taulan. Begitu juga pertemuan aku semasa aku bertugas di perlawanan Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman tempoh hari. Walaupun banyak dugaan dan halangan pada sebelumnya akhirnya aku tiba juga di rumah kelahiran ku untuk aku melepaskan rindu belaian seorang ibu dan senda guraunya. Walaupun pertemuan itu hanyalah sementara tetapi cukup sekadar aku melihat ibuku tersenyum melihat anak sulungnya hadir menjenguk beliau. 


Tepat jam 11.00 malam panggilan telefon yang tertera nama adikku terpampang di telefon bimbitku. Perasaan gundah gulana mula terbit.


"Mak dah tak ada", ujar beliau

 

Aku menjadi terpegun, lidah kelu untuk berkata. Hakikat sebenarnya aku langsung tidak boleh terima apa yang terkeluar daripada mulut adikku sebentar tadi. Kaki aku mengeletar. Aku bergegas menekan padel minyak. 


"Sayang..!! Kemas cepat..!! Kejut Afi Darwisy ... kita balik Kedah mak dah tak ada", ujar aku sepintas lalu.


Perjalanan menuju ke Utara tanah air bermula jam 1.15 pagi. Di dalam keadaan aku yang tidak keruan dek kerana kerja dan isu-isu yang terjadi aku gagahi jua. Aku cuba untuk memecut laju sehingga aku termampu sekurang-kurangnya aku boleh sampai di pertengahan jalan sebelum badan aku lemau dan mata aku layu.


Kekuatan mental dan fizikal aku hanya dapat bertahan di RnR Rawang sahaja. Selepas itu badan dan mata aku langsung tidak mampu untuk benda aksi. Setiap perhentian aku berhenti. Sehinggalah di persinggahan terakhir iaitu di RnR Semanggol. Aku mandi aku tarik nafas dan aku kembali memecut laju. AES ke speed trap ker aku tolak ke tepi dahulu kerana aku mesti sampai sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan. 


Tepat jam 10.00 pagi kawasan surau terdapat masih ramai sahabat handai arwah. Aku tinggalkan kereta begitu sahaja. Orang pertama yang datang kepada ku adalah adik perempuan ku. Muka kelihatan tenang tetapi apabila memeluk ku berderai laju air matanya. Insan kedua yang aku peluk dan cium adalah ayahku. Aku nampak beliau kuat. Seperti mana adik-adik aku maklumkan kepada ku ayah aku kuat. Tetapi tatkala aku melangkah berhampiran dengan beliau berjurai air matanya jatuh kepipi.


Jenazah telah siap sedia untuk disembahyangkan. Aku memberi peluang kepada adik lelaki ku untuk mengimamkan solat jenazah sebagai penghargaan selama aku tiada di sisi keluargaku beliaulah yang menjaga kesemuanya cukup makan minum, cukup perlindungan cukup segalanya. Jenazah diangkat menuju ke perkuburan langkah aku sememangnya lemah tetapi aku gagahi demi tanggungjawab ku yang terakhir terhadap ibuku.


Liang lahad telah tersedia. Jenazah diturunkan dan aku membantu menyediakan kediaman yang hakiki buat ibu ku. Tatkala tanah menimbusi liang lahad tatkala itu air mataku bagaikan ingin jatuh laju tapi aku gagahi. Salam terakhir buatku untuk ibu ku aku sampaikan dengan langkah menuju pulang. Kini bersemadilah ibu ku Jamilah binti Awang sehingga ianya akan dibangkitkan kembali suatu masa nanti. Tiada lagi baktiku kepada ibuku hanya dengan iringan doa. Sesungguhnya doa-doa anak soleh dan solehah adalah penyelamat beliau di sana. 


.... 20 Januari 1962 hingga 21 Februari 2017 .... 


#sangsperma #bicaradarihati  #sangspermadotcom #photography #photo #lifestyle #psikologi #motivasi #muhasabahdiri #selamattinggal


Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...