Thursday, December 29, 2016

Selamat Hari Lahir Sayangku


Ya Allah hari ini ku ucapkan Selamat Ulang Tahun pada isteriku yang dikasihi. Mudah-mudahan kami dapt melindungi jalinan yang tulus suci ini berlandaskan keyakinan cinta yang kuat hingga satu diantara kami pulang ke hadapanmu. 
Ya Allah mudah-mudahan beliau semakin sayang kepadaku, serta keluargaku, serta sudah pasti padamu ya Allah.
Mudah-mudahan aku sentiasa menjadi orang pertama yang disandarkan saat beliau sedih mahupun suka.
Dengan penuh rasaku padamu ku ucapkan buat kali kedua Selamat Hari Lahir buatmu sayangku. Terima kasih kerana menjadi tulang rusukku sepanjang hayatku. 

Saturday, December 24, 2016

Pancutan Klimaks V83FC


Untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap bikan sahaja terpandang ke arah sponsor nya yang besar bagaikan mengalirnya air sungai Kuantan, tetapi bagaimana pihak pengurusan menguruskan sesebuah pasukan tersebut supaya menjadi sebuah pasukan yang disegani. Buah fikiran dan percambahan idea dari banyak kepala perlu disatukan menjadi satu keputusan supaya keputusan itu tidak mendatangkan masalah kepada pasukan. Brianstorming dan cadangan daripada individu lain juga diperlukan supaya perasaan 'kepunyaan' ada di dalam setiap insan yang seragam menyarungkan lencana di dada. 

Itulah yang dilakukan oleh V83. Sebuah pasukan bola sepak yang kecil tetapi mempunyai hati yang besar. Sebuah pasukan yang tidaklah hebat seperti pasukan lain tetapi mempunyai pengurusan yang melebihi pasukan negeri.  Tidak dapat disangkal lagi perjalanan yang mengikuti langkah yang teratur pastinya akan melangkah bergaya suatu hari nanti. Itulah hukum alam di mana dari 'zero to hero'. 

Aku juga sudah mula terjebak dengan pasukan ini kerana aku juga 83. Pada sebelumnya aku hanya dengar-dengar dan  mengintai laman sosial mereka. Bukan apa pendirian aku, jika ada individu yang betul-betul bersungguh untuk menaikkan martabat bola sepak negara aku perlu balas jasa beliau dengan komitmen kita. Sedangkan aku ini lara bab komitmen. Yelah banyak lagi komitmen yang perlu aku selesaikan terutama yang hakiki. Tetapi jika sudah jodoh itu tidak kemana orang tua-tua kata. Kini aku mengisi kekosongan posisi penjaga gol bagi pasukan ini. 

Oh lupa pulak aku, apa ke benda v83 ini? V83 adalah merupakan sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada mereka-mereka yang lahir pada tahun 1983. Di mana pada suatu masa dahulu mereka ini pernah menjadi musih antara satu sama lain. Musuh yang diperkatakan adalah mereka berlawan antara satu sama lain untuk memenangi kejohanan bola sepak sekolah-sekolah 15 tahun dahulu 10 tahun dahulu. Kini mereka di bawah satu bumbung bukan Pahang, jauh sekali Malaysia tetapi V83. 



Apa yang aku nak contengkan hari ini adalah kisah ceritera awayday kami yang pertama iaitu ke Kuala Lumpur bagi perlawanan persahabatan menentang RTM FC. Saat itu aku bagaikan seperti seorang pemain bola sepak yang berstatus negeri. Sang Pie berulangkali menyatakan "kita ni nombor dua bawah Pahang"  seawal pagi kami di bawa ke Kuala Lumpur dengan menaiki van siap dengan sticker di hadapan. Tidak cukup dengan itu dibekalkan dengan baju yang seragam bagi menampakkan bersatunya V83. 

Kuala Lumpur tersergam indah kotaraya yang penuh dengan dugaan dan cabaran di dalam kamus hidup aku kini aku jejaki lagi bersama V83. Setiba di Kuala Kumpur destinasi pertama persinggahan kami adalah The Zone. Fuh korang percaya atau tidak kami diberi penginapan yang bertaraf pemain liga super gua cakap luuu. Tepat jam 3.30 petang kami bergerak ke Angkasapuri dengan memakai pulak kit warm up fuhhh gile memang gile kalau korang nak tahu kawan tak bawak baju lain pun melainkan baju yang telah dibekalkan. 


Tapi sayang seribu kali sayang apabila sampai di angkasapuri lokasi pertarungan yang akan dimulakan pada jam 5.00 petang hujan yang turun menambahkan lagi kemurungan di wajah-wajah para pemain dan pengurusan. Padang yang tidak diselenggara dengan baik menjadi medan pertempuran di antara dua pasukan tetapi apa kan daya perjuangan perlu diteruskan inilah yang dikatakan kekuatan fizikal dan mental.


Bola itu bulat menang kalah setiap pemain harus terima kerana telah memberi 150 peratus dari tahap sebenar. Kekalahan 0-1 ke atas RTM FC membuatkan para pemain V83 semakin bersemangat untuk memperbaiki diri. Pada sebelah malam pula kami di sajikan dengan nasi Arab di Al-Rawsha Restoran. Kelaparan yang ditahan daripada tengah hari kini hilang dengan serta merta. Kambing, ayam, ais kream dan sebagainya memenuhi setiap sudut di dalam perut ke semua yang hadir. 


Begitulah ceritera V83 berkunjung ke Kuala Lumpur bagi siri perlawanan persahabatan. Dan bagi sesiapa yang lahir pada tahun 1983 kalau inginkan baju 1983 bolehlah membuat pembelian menerusi laman rasmi sosial V83 iaitu hanya menaip V83 FC di Facebook dan tinggalkan pesanan di sana. 


Lupa nak memperkenalkan jurulatih yang sudi untuk memberi tunjuk ajar kepada kami iaitu Coach Farid. Dengar-dengar cerita V83 akan ke Indonesia pulak untuk siri perlawanan persahabatan menentang kelab di sana. Sesunguhnya untuk membalas budi baik semua yang sponsor V83 bukan sahaja dengan kemenangan tetapi dengan komitmen dari setiap pemain dan juga disiplin yang tinggi ditambah pula dengan semangat kekeluargaan di antara satu sama lain. Terima kasih Muaz sudi ajok aku join team ini dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua sponsor V83 terutama Asturi Truck & Crane Sehingga berjumpa lagi di ruangan contengan yang lain.


Saturday, December 17, 2016

PERR Pahang Luar Biasa


Mereka datang dari pelbagai kelab dan persatuan. Mereka hadir dengan satu matlamat. Mereka melangkah dengan satu suara. Demi lencana di dada. Pasukan Piala Emas Raja-Raja Pahang 2016 di bentuk oleh Ketua Jurulatih Kuantan FA iaitu, Zulhamizan Zakaria. Seorang jurulatih yang tidak asing lagi bagi arena bola sepak di Pahang suatu masa dahulu. Beliau dibantu dengan barisan kejurulatihan dan staf Kuantan FA dan dinaungi oleh Dato' Syed Mohsin sebagai pengurus pasukan. 

Di atas kertas dilihat sememangnya Pahang mampu layak ke pusingan kalah mati apabila diundi bersama Singapura, PDRM dan Penang di kumpulan A yang beraksi di Stadium Darul Makmur. Tetapi bola itu bulat, perlawanan awal ramai yang memperkatakan mengapa Pahang tidak melangkah mudah menewaskan pihak lawan. Pahang diperkuat dengan pemain senior seperti Fauzi Roslan merupakan pemain Liga Super Pahang dan Ilham pemain Kuantan FA Liga Premier. Hanya menang 1-0 menentang Penang. Kemudian membelasah Sungapura 5-0 sedangkan ianya mampu sehingga 10-0. Dan perlawanan terakhir peringkat kumpulan 2-0. 


Melangkah ke perlawanan kalah mati rentak mereka mula berubah.  Ungkapan "King of Comeback" sememangnya sinonim dengan Pahang Darul Makmur di mana tatkala menentang Negeri Sembilan di suku akhir dan seterusnya Kuala Lumpur di Separuh Akhir. Mereka tewas di gelanggang sendiri tetapi bangkit di arena lawan dengan penuh bergaya. Secara pandangan kasar pemain-pemain yang dipilih oleh Coach Zul adalah merupakan pemain-pemain muda yang boleh diibaratkan seperti mempunyai 2 jantung. Dan rata-rata para pemain adalah pemain muda yang dipilih dari Liga Kuantan, Shahzan Muda, Piala Presiden, Pahang Liga Super dan juga Kuantan FA. 


Tanggal 13 Disember 2016 para pemain muda ini melangkah bergaya memasuki Stadium Darul Makmur bagi perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2016 menentang PDRM. Dua pasukan daripada kumpulan yang sama diperingkat kumpulan kembali bersua bagi merebut piala yang berprestij bagi kejohanan yang diadakan setiap tahun ini. 


90 minit perlawanan para penyokong yang membanjiri Stadium Darul Makmur sekitar 5000 orang dihidangkan dengan mutu permainan yang sangat tinggi okeh anak muda Pahang. Penggunaan "simple football" dengan hantaran-hantara pendek dan sekali sekala melambung ke penyerang membuatkan air hujan yang jatuh ke badan tidak dipeduli dan dihiraukan. 


Kojie atau Fauzi Roslan muncul sebagai wira kepada skud Pahang dengan 4 jaringan membantu Pahang menjadi juara Piala Emas Raja-raja 2016. Pemain yang berasal dari Pekan, Pahang itu akan berhijrah ke Melaka United bagi musim baru meninggalkan kampung halaman bumi kelahiran beliau demi sesuap nasi untuk keluarga tercinta. 


Sokongan padu daripada penyokong juga memeriahkan lagi suasana tidak lupa kepada ahli keluarga yang hadir. Cuba kita berfikir dengan secara logik apabila di atas padang anak-anak jati yang menyarungkan lencana di dada beraksi, pastinya ahli keluarga mereka akan hadir memberi sokongan. Sebelum ini mungkin kita tidak mengenali siapa Hariz Fazrin, siapa Ilham, siapa shahrul Nizam, Siapa Baqiuddin dan siapa Nabila Khan. Mereka ini lah yang tekah mewarnai pasukan muda ini untuk menjuarai dan menjulang piala yang diidamkan oleh pasukan lain. 


Sesungguhnya kemenangan mereka bukan sekadar separuh daripada para pemain mempunyai jantung dua tetapi sikap untuk membuktikan mereka adalah yang terbaik dan inilah bakti pertama mereka untuk Pahang tercinta. Kemenangan 6-2 diperlawanan akhir menewaskan PDRM seperti tidak logik tetapi itulah realitinya berkat kesungguhnya, disiplin dan restu keluarga. 


Tahniah dan terima kepada semua pemain, tahniah dan terima kasih kepada semua kejurulatihan, tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan dan tahniah serta terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyokong. 

Friday, December 16, 2016

Hebatnya Restu Ibubapa


Hadis Sahih Bukhari menjelaskan, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, maksudnya : 'Siapakah yang wajib kita hotmati dan kasihani selepas Allah SWT dan Nabi'? Jawab Nabi, Ibu kamu. Selepas itu? Ibu kamu. Selepas itu? Ibu kamu. Dan kali keempat lelaki itu betanya 'selepas itu'? Jawab Nabi, ayah kamu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa"


Sehebat mana kita setinggi mana darjat kita pokok pangkalnya restu daripada ayah ibu perlu diutamakan perlu dipohon supaya apa sahaja yang kita lakukan mendapat keberkatan daripada mereka dan juga dari pencipta kita Allah SWT. 


Kita hebat beraksi di padang hijau. Kita hebat menanduk, kita hebat mengelecek, kita hebat mempertahankan pintu gol kita daripada ditembusi kita hebat menjaringkan gol dan kita hebat menjulang piala yang menjadi rebutan pasukan yang bertanding. Tetapi pernah atau tidak, kita hebat di dalam memohon restu dari seorang ibu dan seorang bapa. Tatkala ini airmata seorang ibu melihat anak-anak mereka berjaya mengalir membasahi pipi kedut mereka. Mereka bangga anak yang dikandungkan 9 bulan 10 hari memperoleh kejayaan dan lebih membanggakan mereka kejayaan itu dimulai dengan restu dari mereka yang tidak pernah mengeluh tatkala membesarkan anak-anak kesayangan mereka. Jangan biarkan ianya menanggis kerana kegagalan, tapi biarkan ianya menangis kerana kejayaan. 



Wednesday, December 14, 2016

Generasi Kuala Lipis


Kuala Lipis kembali melahirkan bakat-bakat yang luar biasa di dalam arena bola sepak Malaysia. Sebelum ini hanya nama Azamuddin Akil sahaja yang meniti di bibir daerah yang jauh ke Barat Daya tetapi kini nama seperti Hariz Fazrin, Baqiuddin, Iskandar Zulkarnain dan lain-lain lagi mungkin akan menjadi bualan peminat-peminat bola sepak di Malaysia. Kesemua bakat-bakat ini berada di pelbagai posisi dan rata-ratanya berumur 20-an. Justeru itu perjalanan karier mereka masih jauh. Di dalam melahirkan seorang pemain yang berbakat bukan sekadar menghantar berlatih ke luar negara atau beraksi bersama kelab-kelab terkemuka. Cukup sekadar dilapangan yang kecil tetapi impaknya cukup besar. Bagi mereka tatkala jersi yang seragam di sarungkan ke badan mereka dan sedara tidam langsung lencana tersergam indah tepat di dada, bola dikaki ibarat seperti di pegang di bawa berlari. Tidak gentar dengan cuaca alam ciptaan yang maha esa mereka beraksi dengan penuh komitmen. Tidak kecut bersaing bersama pihak lawan yang lebih besar dan berpengalaman tetapi ketenangan di dalam pemikiran mampu mengatasinya. Di harap kecemerlangan ini tidak tersampuk di tengah jalan. Bersiap sedia untuk berbakti mengorak langkah menyusun rentak tari di padang yang menghijau. 

Thursday, November 24, 2016

Floritzshoppe Penyeri 21 November


21 November 2009 merupakan tarikh aku disatukan dengan wanita pilihan aku. Wanita yang akan menjaga aku sehingga ke akhirnya wanita yang akan menjaga dan mendidik anak-anak aku sehingga menjadi anak yang soleh dan solehah. Hari ini Isnin baru ini pejam celik pejam celik 8 tahun kami mengharungi kehidupan berumah tangga. Bergaduh, perselisihan paham dan sebagainya adalah asam garam di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. "sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri" lirik lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham P Ramlee semasa hidupnya. Tetapi itu semua mematangkan aku untuk menjadi ketua di dalam keluarga aku. 


Sememangnya wanita yang menjaga, memasak, membasuh, mengemas dan sebagainya di dalam kehidupan aku ini tidak menyukai bunga, tetapi ulang tahun perkahwinan kami kali ini aku buang tabiat untuk menghadiahkan beliau sejambak bunga yang digubah khas oleh Floritzshoppe. Sememangnya wanita tersebut tidaklah terlalu gembira yelah dah memang tak suka bunga aku bagi juga bunga. Tetapi akhirnya terukir senyuman dari wanita tersebut. Di celahan bunga ros pink dan dhedaunan yang di import dari Holand ada sesuatu yang tersembunyi. 

Bagi aku bukanlah hadiah yang menjadi ukuran tetapi cukup sekadar kita mengingati tarikh keramat sah menjadi seorang suami kepada seorang wanita dan ayah kepada anak-anak yang dilahirkan. Lalu apabila tarikh itu diingati ungkapkanlah kata-kata cinta di telinga atau dihadapan atau melalui whatsapp sebagai hadiah yang paling berharga kepada wanita yang tersayang. 




Sunday, November 6, 2016

Musibat Hitam


Dahulu aku tidak pernah untuk mengenali mereka. Walaupun ada dikalangan mereka adalah kenalan-kenalan aku dan ada juga junior aku. Ketika itu aku hanya meluangkan masa terluang aku sambil-sambil berjalan. Masa itu juga aku tidak pernah membeli tiket untuk menyaksikan pasukan bola sepak Pahang beraksi. Setahu aku makcik aku adalah salah seorang penjual tiket dikaunter tiket dan sekali sekala dapatlah tiket-tiket free yang diberi oleh pemain-pemain ketika itu. Dahulu aku pasti membawa bekal kuaci untuk menyaksikan perlawanan. Dahulu aku pasti akan datang keseorangan dan lepak keseorangan. 

Saat itu suara-suara nyaring memaki hamun jelas kedengaran. Aku rasa 22 pemain dan 3 orang sang berbaju hitam pasti dengar bulat-bulat apa yang dimaki hamun oleh penyokong yang datang. Maki hamun itu bukan sahaja daripada mulut mereka, malah ada juga dari mulut aku sendiri. Walaupun masa itu lebih kurang 4-5 orang yang beraksi adalah kenalan aku. Selumber jer aku maki peduli apa aku. Tamat perlawanan bersepah kulit kuaci dan tiada satu pun kuaci tertinggal, semuanya habis dimamah sambil memaki. Dan apabila tamat perlawanan balik ke rumah seperti tiada apa yang berlaku. Menang pun relax jer aku, kalau kalah pun aku tetap relax. Senang cerita tiada apa-apa pun menarik ketika itu hanya sekadar mengisi masa lapang aku. 


Waktu berganti waktu, hari berganti hari, detik berganti detik. Segalanya telah berubah. Fenomena penyokong hari ini telah menjadi fenomena yang sangat berbeza. Cuma yang sama adalah maki hamun kepada mereka yang sedang beraksi. Kalau dulu gaji pemain tidak seperti sekarang, jadinya kalau penyokong tak ramai tidaklah terasa kalau duit tidak mencukupi. Tapi sekarang dah lain.... Gaji masing-masing besar beribu-ribu dan berpuluh ribu. Malah ada ratus ribu. Kadang-kadang tak terfikir dek akal fikiran gaji yang diterima tetapi persembahannya suam-suam kuku. 


Sekarang fenomena penyokong totaly berubah. Wujudnya ultras, wujudnya holigan, wujudnya casual dan kumpulan-kumpulan penyokong yang lain. pertumbuhan pelbagai penyokong hari ini bagaikan cendawan yang hidup mekar. Tetapi apa-apa pun titik permulaannya adalah di Jungle Food Court di mana ketika itu ada siaran langsung Malaysia VS Singapore kalau tidak silap atau dengan Indonesia. Aku cool di antara penyokong-penyokong yang melaungkan Malaysia Boleh dan nyanyian-nyayian lagu-lagu semangat. Apabila gol sahaja bergegar rasanya Jungle Food Court. Masa itu lah aku berbual dengan salah seorang yang ada malam itu.

Akhirnya aku adalah sebahagian daripada mereka. Mengenakan kasut, seluar dan berbaju hitam aku melangkah ke teres yang dikatakan sebagai rumah mereka. Aku melompat. Aku menyanyi. Aku menjerit. Aku mengayakan sepertimana mereka gayakan dan aku pulang dengan keletihan. Menanti hari baru untuk bersama mereka seperti biasa aku berada dikalangan mereka. Peluh jangan ditanya meleleh sama seperti mereka yang sedang beraksi di tengah padang. Menanti hari-hari berikutnya aku semakin tidak sabar. Tidak sabar untuk mengila bersama mereka. Semasa kalah? Tak terasa kekalahan tersebut kerana hadir ke teres adalah untuk menyokong dengan kegembiraan. Mungkin perasaan kalah itu di atasi dengan ikatan kekeluargaan si bebudak hitam ini. Dan mungkin juga disebabkan untuk menghilangkan kekecewaan supaya diperlawanan yang lain aku akan kembali meneruskan sokongan. Bila menang? Kalau dah sebut perkataan keramat kemenangan tu maknanya lagi tak sedarkan diri lebih-lebih lagi apabila pemain datang memberi tepukan kepada musibat hitam ni. Saat tu? Saat itu aku rasakan tepukan mereka terlalu ikhlas kerana membantu mereka untuk meraih kemenangan. 

Aksi dan sokongan bebudak ni bukan sahaja di laman sendiri, malah mereka akan turut ke luar cucuk angin belakang pemain. Aku ingat lagi berbas-bas dan berbiji-biji kenderaan berangkat ke destinasi perlawanan di luar. Semasa itu baru aku terasa duit keluar dari poket macam mana. Kalau naik bas kena bayar sewa bas purata RM 70 seorang sekali tiket untuk satu perlawanan. Tak pergi rugi, perasaan aku ketika itu. Dan yang pasti setiap awayday ada kisahnya tersendiri. Terlalu banyak kenangan berawayday. 

Kenangan aku untuk berawayday adalah tiada duit untuk membayar bas. Masa itu kalau tak silap aku aku korek tabung si Afi Darwisy untuk dapatkan satu jumlah termasuk duit alas perut. Kalau tau di isteri aku mau membebel dia dibuatnya. Dan kenangan aku ketika di laman sendiri kena jek kat dada masa menghalang penyokong lain untuk lalu di pagar yang telah berkunci. Mana taknya kawasan di gate 13 sudah terlalu padat tapi ada juga penyokong yang hendak masuk untuk duduk di kawasan gate 13 dan juga di musibat hitam. Tak pasal-pasal aku terduduk kena sekali kat dada. 


Itu cerita semasa perlawanan-perlawanan biasa. Belum korek bab pegi perlawanan akhir, lagi pelbagai cerita yang boleh dikongsi. Tapi bukan itu yang aku nak kongsikan dalam posting yang ini. Tapi itu semua tinggal kenangan. Hari ini tiada lagi kedengaran gempak gempita dari bebudak hitam dan penyokong Pahang. Kalau dahulu RM12 sebagai purata tiket di darab dengan 30 ribu penyokong atau 20 ribu penyokong pastinya akaun persatuan cantik dan tiada masalah untuk membayar petugas yang bertugas. 

Menjadi persoalan peribadi dalam diri aku sebenarnya persatuan terima atau tidak kehadiran penyokong ke stadium? Kenapa ada ayat-ayat yang tidak sedap didengar mengatakan "kami tidak kisah ada penyokong atau tidak". "Kalau mereka datang dan menyusahkan banyak pihak lebih baik tidak datang ke stadium". 

Itu kisah selama aku setiap masa bersama musibat hitam mewarnai teres-teres di semua stadium di Malaysia. Adakah kisah cinta musibat hitam ini akan terus menerus  menghiasi persada sukan bola sepak di tanah air ini atau ianya sepi dan sunyi di sapu bayu malam. Sebenarnya panjang lagi tapi simpan sikit lah bila-bila free nanti.

Saturday, November 5, 2016

Terima kasih sang pemberi

Lama sungguh la kisah ni duduk terperap kat note handphone aku. Ingatkan aku dah post tapi rupanya tidak. 

Terima kasih kepada insan yang sudi memberi hadiah kepada aku set Adidas yang disarungkan di kakiku ini. Tidak pernah aku sarungkan kasut 1st gred di kedua-dua belah kakiku untuk beraksi di padang. Pemberian ini amat besar ertinya dan amat tinggi penghargaannya kepada aku. Tidak dapat aku balas jasa baik sang pemberi hadiah ini kepada ku. 

Sememangnya kasut bola ini adalah kasut idaman aku dan seperti tahu jer Puma dan Adidas F50 aku dah usang. Seminggu sebelum pemberian hadiah ni aku dah tanya-tanya harga di Al-Ikhsan mana lah tahu kalau-kalau dapat potongan harga tapi telan air liur aku lalu aku bagi tahu 3 bulan lagi aku datang semula. 

Sehingga sekarang aku masih tidak percaya sepasang kasut yang harganya nak mencecah 4 digit berada di kedua-dua belah kaki ku. Aku bukanlah seorang pemain profesional dan aku juga bukan seorang pemain bola yang bagus. Terasa malu dan segan sebenarnya untuk menyarungkan kasut ini. 

Mungkin inilah yang dikatakan 'Quranic Law of Attraction' iaitu Kuasa Tarikan di mana kita memohon kepada Allah 


Wednesday, October 12, 2016

Redha Sendiri


Alhamdulillah aku masih memiliki kewarasan. Aku masih mempunyai nafas yang mampu untuk mengucapkan alhamdulillah. Aku masih ada insan-insan istimewa disekeliling ku. Jika langkah ini terhenti di sini kerana kesilapan aku yang nyata maafkan aku tetapi jika rezeki aku masih berpanjangan ku mohon restui aku. Mungkin ini dosa-dosa ku, aku redha dan aku akan memaafkan mereka-mereka yang mungkin tidak selesa dengan kehadiranku. Rezeki Allah itu luas hanya kita yang perlu berusaha. 


Thursday, October 6, 2016

Hari Keluarga Tekun Nasional Pahang 2016

Baru baru ni Tekun Nasional Negeri Pahamg mengadakan Hari Keluarga di A Famosa Melaka. Kononnya nak bertolak dari Kuantan jam 7.00 pagi tapi disebabkan  semalam kami sekeluarga tidur lewat sebab overnite kononnya di Teluk Cempedak sampi lewat pagi maka tak dapat la nak turut serta berkonvoi ke Melaka. 

Jam 10.00 pagi lebih kurang baru kami bertolak dari Kuantan menuju ke A Famosa Melaka. Tiba di sana kami ingat kami jer yang lambat rupanya ramai lagi yang lambat. Aktiviti pertama ialah sukan  kategori dewasa. Aku mengisi kekosongan kumpulan ke-4, manakala sang isteri menjadi urusetia dan juri kepada pertandingan mewarna kanak-kanak. Afi Darwisy pula dah tak sabar-sabar untuk bermain air.

Kalau ikutkan hati aku sememangnya aku nak main semua kawasan permainan air di A Famosa Waterpark tetapi Afi Darwisy tak nak kerana gayat. Kecewa juga lah sebab tak dapat nak merasai kehebatn A Famosa Waterpark. Hakikat sebenarnya boleh jer aku join orang lain untuk merasai kesemua bahagian permainan tetapi aku nak isteri dan anak aku merasai bersama-sama. 


Kami berada di waterpark tersebut sehingga jam yang terakhir iaitu jam 6.00 petang. Sayanglahkan datang jauh-jauh tapi balik awal. Boleh tahan letih menjelajah keseluruhan taman tema air A Famosa tersebut. 

Kami ditempatkan di Villa A Famosa Resort di mana tidak puas bermain air di taman tema air tadi aku sambung pula di kolam Villa. Pada sebelah malam pula kami menghadiri makan malam dan penyampaian hadiah. Kali ini ada tema yang perlu kami ikuti iaitu Western Theme. Puas aku dua hari mencari kelengkapan tema Western ni. Tema Western ni sebenarnya mudah jer. Hanya mengenakan kameja petak, kain 'bandana', topi koboi, kasut dan seluar jean. Puas la aku mencari pistol koboi untuk Afi Darwisy.  Cari pulak jaket dan kameja petak-petak. Terima kasih kepada Arejak sebab bagi pinjam aksesori bertemakan koboi ni dan memberi idea. 


Pada malam tersebut di mulakan dengan makan malam dan disusuli dengan penyampian hadiah. Alhamdulillah aku mendapat tempt kedua bagi kategori lelaki untuk pakaian tercantik. Hari keluarga Tekun Nasional berakhir pada malam itu tepat jam 13.00 tengah malam.


Keesokkan paginya aku join team bola Tekun mengadakan perlawanan persahabatan bersama zon Selatan. Aku ingat beraksi di Stadium Hang Tuah tetapi aku kena lipat rupanya padang penjara jer. Tepat jam 1.00 petang kami check out dan bertolak ker Bandar Melaka pula untuk menyambung percutian. Kali ini kami check in di Hotel Balik Pulau. Tujuan aku check in di hotel tersebut adalah kerana ianya berdekatan dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati dengan hanya berjalan kaki. Paham-paham jer lah kan trafik di Melaka kalau masa cuti macam mana confrim sesak. 

Percutian kali ini kami gunakan sebaik-baik mungkin. Sebaik-baik mungkin yang aku maksud kan adalah had tidur kami kurangkan hehehe. Malam itu kami tidur jam 4 dan bangun jam 6.30 pagi dan terus meneruskan perjalanan menerokai Bandar Hilir dengan berjalan kaki. Letih memang letih tapi aku puas dapat bersama dengan keluarga tercinta. 


Kami bertolak pulang dari Melaka pada jam 3.00 petang dan sampai di Kuantan jam 8.00 malam. Bagi aku percutian kali ini adalah percutian yang paling best dan bermakna. Terima kasih isteriku terima kasih anak ku.

Wednesday, October 5, 2016

Santapan di The Warunk

Kebiasaannya kalau bercakap tentang Asam Pedas mesti kepala hotak membayangkan Asam Pedas Kota Laksamana, Melaka. Kalau bercakap tentang sup tulang pulak melayang ke Kampung Baru Majidee, Johor Bharu. Jauh jugak nak ke kedua-dua lokasi tu. Tapi bagi orang Kuantan korang tak perlu nak bersusah payah atau pening kepala kalau tekak korang menyanyikan lagu Asam Pedas remix Sup Tulang sebab kini di Kuantan dah ada tempatnya.


Barisan kedai berhampiran kubur Kristian di Taman Gelora The Warunk dimiliki oleh sepasang suami isteri Mus dan Ila. Menggunakan konsep santai dan hipster The Warunk mula menapak dengan beberapa menu sehingga lah pada hari ini pemilik The Warunk ini sebulat suara untuk menjadikan set Asam Pedas dan Set Sup Tulang menu utama santapan para pengunjung. Walaubagaimanapun masakan panas tetap ada sebagai pilihan para pengunjung. 


Sememangnya The Warunk adalah tempat aku, keluarga aku dan member-member aku melepak. Suasana yang nyaman dan santai membuatkan aku tidak pernah bosan untuk melangkah kaki ke The Warunk dan yang paling utama adalah kerana aku pengemar Asam Pedas. 



Pemilik The Warunk ini juga seorang fotografer jadinya ada satu sudut dijadikan kawasan untuk para pengunjung untuk berselfie, welfie, dan merakamkan kenangan terindah. 


Kalau dari segi harga, di The Warunk harganya amat berpatutan dengan menu yang dihidangkan. Ibaratnya apabila kita telah pesan makanan yang menjadi idaman tekak kita selesai sahaja makan sehingga ulas nasi yang terakhir tidak kekok untuk mengeluarkan wang dari dompet padat kita. 


The Warunk dibuka bermula jam 6.00 petang sehingga jam 1.00 pagi setiap hari kecuali hari Rabu. 



Oh seperkara lagi, di The Warunk juga kalau korang nak buat tempahan jangan malu jangan segan jangan susah hati hubungi The Warunk dan boleh mintak sedikit pandangan untuk tema yang ingin diketengahkan bagi tempahan korang. Contoh geng-geng fotografer di Kuantan sudah banyakkali mengadakan aktiviti di The Warunk ni. Di antara tema yang telah dilaksanakan seperti Salam Syawal dan Merdeka 1957. 



The Warunk juga kini diserikan dengan Karipap Raja daripada Khanifa Anas and Family. Di mana karipap yang bersaiz besar dan berintikan ayam dan daging yang padat beserta ranum apabila dikunyah. Pastinya Karipap Raja ini akan menjadi pencuci mulut kepada para pengunjung yang dapat untuk menikmati suasana dan juadah di The Warunk.





Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...