Sunday, May 25, 2014

Ahli Jawatankuasa FAM 2014-2018

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala bekas presiden, Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup FAM.

Tengku Abdullah dipilih setelah memperoleh 27 daripada 39 undi, menewaskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam saingan satu lawan satu. 

Sebelum itu, Sultan Ahmad Shah mengumumkan baginda menarik diri daripada bertanding mempertahankan jawatan Presiden FAM selepas memegang jawatan itu selama 30 tahun sejak 1984. Pelantikan Sultan Pahang sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup FAM itu telah mendapat sokongan sebulat suara dari semua perwakilan.

Justeru itu diharap dengan pemilihan di Kongres FAM kali ke-50 ini mampu untuk mengubah arena bola sepak negara. Ciptalah pembaharuan hadirkanlah sinar baru di dalam FAM demi martabat bola sepak MALAYSIA.

Presiden

• Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Timbalan Presiden 

• Datuk Seri Afandi Hamzah (KAFA)

• Datuk Abdul Mokhtar Ahmad (FA Selangor)

Naib Presiden:

• Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (PAFA)

• Datuk Sudarsono Osman (FA Sarawak)

• Datuk Rozabil Abdul Rahman (FA Perlis)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif:

• Datuk Yusof Mahadi (Melaka)

• Abdul Aziz Yeop Jamaluddin (Perak)

• Datuk S. Sivasundram (penyandang-Selangor)

• Alijus@Mohd Ali Sipil (Sabah)

• Datuk Osman Salleh (penyandang-PDRM)

• Goh Ah Chai (Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia)

• Datuk Mohd Junid Mohd Noor (Pulau Pinang)

• Datuk Othman Aziz (Kedah)

• Brig. Jeneral Datuk Norhuda Ahmad (wanita)

• Normala Md Yusof (wanita)

Saturday, May 24, 2014

Misi 1992 Piala Thomas 2014

Hari ini adalah hari yang paling mengembirakan seluruh penduduk Malaysia amnya dan peminat-peminat sukan badminton khususnya. Ini adalah kerana skuad badminton negara di Kejohanan Piala Thomas yang sedang berlangsung di New Delhi India telah melangkah ke perlawanan akhir yang akan berlangsung pada hari Ahad ini. 

Skuad Piala Thomas negara yang dianggotai oleh pemain lama dan baru berjaya menundukkan pasukan Indonesia  dengan keputusan 3-0 sebentar tadi. Di atas kertas kekuatan mereka adalah seimbang, tidak mustahil lah perlawanan tadi mendebarkan. 

Walaubagaimanapun mereka akan bertemu dengan satu lagi kuasa besar yang baru menempah nama di dalam arena sukan badminton ini, iaitu Jepun. Pasukan matahari terbit itu mengejutkan juara 5 kali Piala Thomas iaitu China di perlawanan separuh akhir pada sebelah petang tadi. Memang mengejutkan di mana pasukan Jepun berjaya menundukkan China dengan keputusan penuh 3-0. 

Dahulu kita akan dapat meramal pasukan mana yang akan ke perlawanan akhir. Ramalan yang selalu diperkatakan adalah semestinya China, Indonesia, Denmark dan tidak ketinggalan Malaysia. Tetapi pada masa kini kuasa baru badminton dunia telah digegarkan dengan kuasa-kuasa baru seperti Korea dan sekarang Jepun malah Thailand dan juga India mampu melahirkan pemain-pemain yang berbakat besar. 

Jika tidak dipandang serius oleh Persatuan Badminton Malaysia tentang kebangkitan negara-negara lain ini nescaya suatu masa nanti mereka lebih hebat dan cemerlang di dalam sukan badminton ini. 

Justeru itu diharap dengan melangkahnya pasukan Thomas kebangsaan ke perlawanan akhir mampu mengembalikan zaman kegemilangan badminton Malaysia dengan menjulang Piala Thomas sepertimana yang telah mereka raikan pada tahun 1992. 

Ayuh pemain-pemain Malaysia buktikan dan tunjukkan ke mata dunia bahawasanya MALAYSIA BOLEH. 


Friday, May 23, 2014

Sayang Untuk Tidur

Sang ibu dan sang anak sedang nyenyak tidur dan mungkin sedang dibuai mimpi. Sedangkan aku masih lagi terkebil-kebil mata yang segar sambil beberapa kali mengubah posisi di atas tilam yang empuk.

Sudah menjadi kebiasaan aku sedemikian rupa. Semenjak aku bujang lagi. Aku sendiri tak tahu kenapa aku susah untuk tidur di waktu malam. Seperti ada suatu perasaan di mana aku sayang untuk tidur. Puas aku mencari jawapan apa silapnya perangai aku ini. 

Nak dikatakan yang aku sudah puas tidur pada hari siang, tidak juga kerana pada waktu siang aku tidak tidur walau sekejap sekali pun. Pelbagai cara aku gunakan untuk aku terlelap dan memejamkan mata ku. Abis siaran di Astro aku tukar malah tidak juga pejam mataku ini. Abis semua game di dalam ipad aku main terapi tidak juga rasa untuk beradu. Adakah ianya suatu penyakit? Aku sendiri tidak dapat jawapan. 

Kasang-kadang walaupun aku keletihan bermain futsal atau membuat editing malah untuk aku pejamkan mata juga tidak boleh. Masalahnya, kalau aku tidak tidur maka pada keesokkan paginya aku pasti akan lambat untuk bangun Subuh dan pergi kerja. Dan yang pasti bila aku lambat pergi kerja maka pastinya kad kuning aku akan bertukar menjadi warna hijau dan juga merah. 

Aku sedar jika ianya berlarutan maka pastinya aku akan diambil tindakan tatatertib oleh majikan aku. Tapi apakan dayaku untuk aku tidur seperti mana sang isteri dan sang anak yang lena di dalam tidur mereka. 

"Aku mesti berubah", bisik hati kecilku. Apa jua keadaan aku mesti mulakan hidup baru di dalam aspek tidur malam. Tetapi bagaimanakah caranya? Adakah aku perlu korbankan masa jagaku dengan meletakkan limit seperti perlu tidur sebelum jam 12.00. Malah perlu memaksa aku untuk pejamkan mata dan terus zzzzzzzz


Wednesday, May 21, 2014

Kongres FAM

Bercakap tentang Kongres FAM apa kah yang dimaksudkan dengan perkataan yang pada saat ini menjadi bualan di bibir setiap pelusuk peminat sukan bola sepak Malaysia.

Kongres FAM adalah persidangan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memilih jawatankuasa tertinggi eksekutif FAM.

Kini 3 nama besar menjadi perhatian seluruh Malaysia atau mungkin seluruh negara. Sebanyak 17 posisi akan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dibuka bagi pencalonan bermula 24 Februari 2014 yang lalu. Peluang dibuka kepada ahli gabungan FAM bagi merebut jawatan yang dipertandingkan dan sudah tentu jawatan presiden bakal menjadi tumpuan pada kongres kali ini. 

Sultan Ahmad Shah yang telah memegang jawatan tersebut selama 30 tahun bermula tahun 1984 akan dicabar oleh anakanda baginda sendiri iaitu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah penyandang Timbalan Presiden yang kini memegang jawatan Presiden Hoki Malaysia, dan Tengku Ismail Sultan Ibrahim Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor. 

Kongres tahun ini diharap mampu memberi satu permandangan luar biasa sepertimana yang diharapkan oleh peminat-peminat sukan bola sepak tanahair. Presiden Sultan Ahmad Shah, wajar memberikan laluan kepada individu yang lain yang berkebolehan bagi memastikan bola sepak negara dapat melangkah terus ke hadapan. 

Persoalannya di sini siapakah yang layak untuk mengisi kerusi keramat tersebut? Atau adakah baginda Tuanku akan berterusan menerajui sebagai presiden FAM. Kini tinggal 3 hari sahaja lagi dan segalanya akan terjawab. Masing-masing ada kekurangan dan kelebihaan tersendiri. Ada yang masih membisu menghitung hari yang akan berlangsung. Ada yang tiada khabar berita. Malah ada yang telah lantang bersuara hinggakan ke dalam satu rancangan televisyen baru-baru ini.

Adakah kesemua calon yang dipertandingkan benar-benar untuk meningkatkan aura Bola Sepak Malaysia? Atau hanya sekadar kepentingan diri masing-masing. Dikalangan peminat-peminat bola sepak masing-masing ada pendapat mereka sendiri tentang kongres kali ini. Ada yang kelihatan seperti memihak kepada pengurusan yang baru dan tidak ketinggalan juga ada yang inginkan sebaliknya. 

Walauapapun kita nantikan sahaja keputusan selepas 24 hari bulan ini. Tetapi bagi pendapat peribadi kawan insan kecil yang baru merangkak mengenal dunia bola sepak ini lebih berat  kepada pilihan Tengku Mahkota Pahang iaitu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Biar pun baru-baru ini ada juga desas desus untuk memburukkan reputasi baginda. Pemilihan peribadi kawan bukan kerana baginda adalah Tengku Mahkota Pahang tetapi lebih kepada apa yang telah baginda lakukan kepada pasukan Pahang suatu masa dahulu (2000-2004) dan juga kepada Persatuan Hoki Malaysia. 

Mengapa kawan tidak memilih Tengku Mahkota Johor? Seorang yang muda penuh dengan misi dan visi. Bagi kawan bukan misi dan visi sahaja yang perlu diketengahkan malah bangak perkara lain lagi. Bagaimanapula dengan ayahanda Tuanku Sultan Pahang? Sudah sampai masanya baginda Tuanku berehat pula dan menumpukan sepenuh masa kepada rakyat jelatanya di Negeri Pahang ini. Kadang-kadang terasa sakit juga hati ini bila cemuhan dan kutukan yang dilemparkan kepada baginda Tuanku. 

30 tahun diperintahan beliau dilihat tidak banyak pembaharuan yang dilaksanakan. Malah yang paling ketara skuad bola sepak kebangsaan Negara langsung tiada peningkatan. Kita masih di takuk yang lama. Kita diibaratkan seperti telah lama dapat lesen kereta terapi tidak boleh memandu lagi sedangkan negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam, Filipina, Korea, Jepun dan sebagainya baru memperolehi lesen tetapi dah mampu untuk memandu Ferari di bandar Kuantan. 

Justeru itu harapan besar dari seluruh penduduk Malaysia inginkan suatu perubahan yang baru demi bola sepak Malaysia. 

Saturday, May 17, 2014

Mengejar Kilat dan Petir

Bunyian di langit bergedung gedang. Sinaran cahaya daripada langit memancar ke bumi. Terasa takut dan bimbang. Tetapi aku capai juga kamera di dalam dry box dan tripod untuk mencari bahan baru.

Tidak perlu untuk membuat panggilan kepada rakan-rakan seangkatan kerana masing-masing dah paham sangat kehendak hati di antara satu sama lain. 

Trutt ... "Jumpa di Gelora, macam best jer kilat di langit"

Sepotong sms daripada rakan seangkatan night hunter. 

"Beres on the way", balas aku ringkas.

Lalu ku bergegas ke Taman Gelora di tempat yang telah dijanjikan. Setiba di sana kelihatan insan lain telah pacak teipod masing-masing di port yang mereka rasa cun untuk di rakamkan. Aku tidak ketinggalan untuk turut serta. Posisi kali ini mengadap ke tasik di sebelah padang bola sepak. Setelah mengenal pasti setting yang sepatutnya digunakan dan setelah memastikan keadaan telah bersiap sedia akh menantikan dentuman yang menakjubkan dan pancaran kilat yang paling best. 

Guruh tidak berbunyi tetapi pancaran silau daripada langit jelas kelihatan, tanpa melengahkan masa sepantas kilat aku menekan shutter release untuk capture moment tersebut. Alhamdulillah, rezeki di hari ini aku perolehi. Kelihatan kilat yang terpancar sebentar tadi berjaya aku capture dengan lanskap malam di Taman Gelora yang indah.

Tetapi seperti biasa hanya sekeping itu sahaja yang berjaya diperolehi. Aku masih tunggu dan terus menunggu kalau-kalai rezeki lain akan muncul tetapi gagal. 

Itu lah aktiviti aku bersama geng-geng Night Hunter suatu ketika dahulu. Pantang terdengar bunyi kilat sabung menyabung terus bergegas ke port-port yang menarik mengikut di mana kilat itu jatuh dan kami akan rakamkan. Sememangnya kerja ini adalah kerja gila. Mana tidaknya kalau nasib tidak menyebelahi kami habis rentung di sambar petir. 

Bukan senang untuk mendapatkan koleksi-koleksi terbaru untuk aku memenuhi album di dalam Facebook aku. Tetapi itu dahulu, kini masing-masing dah slow langsung tidak mencari kilat malah apatah lahi untuk berlow light. 

Itulah aktiviti aku suatu masa dahulu. Kini tidak lagi kalau terasa aku nak kejar aku akan start kereta dan terus cargas memasang tripod. 


Tuesday, May 13, 2014

KIK oh KIK

Bila bercakap tentang KIK atau nama penuhnya Kumpulan Inovatif dan Kreatif pastinya ada yang mengeluh, ada yang tarik muka, ada yang melarikan diri dan sebagainya.

Tetapi sebenarnya KIK itu sangat menyeronokkan. Kenapa kawan kata seronok? Pertama kita dapat pergi bertanding. Kedua, kita dapat mencipta atau berkongsi idea kita dengan semua. Ketiga, kita dapat menonjolkan bakat dan kreativiti kita dan yang keempat, kita dapat membuktikan pada semua orang bahawasanya kita mampu untuk mengubah sesuatu yang bermasalah kepada sesuatu yang lebih baik.

Memang tidak dapat dinafikan bahawasanya banyak perkara yang perlu kita pelajari dan ketahui. Di antaranya  adalah seperti penggunaan tools di dalam KIK, kaedah penggiraan, penggunaan graf atau carta dan penggunaan ayat-ayat yang lebih profesional. 

Tetapi itu semua akan dapat di atasi kalau kita bersama-sama bekerja sama, tolong menolong, berani mencuba sesuatu yang baru, think out of the box dan sebagainya. Walaubagaimanapun tunjang utama untuk menjayakan Kumpulan KIK tersebut adalah komitmen dan tanggungjawab yang dipikul oleh semua ahli kumpulan.

Di dalam KIK kerja berpasukan amat penting. Ianya tidak boleh dilaksanakan seorang diri. Ini kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan dan dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, sesebuah kumpulan KIK tersebut  pastinya memerlukan individu yang menerangkan projek yang cuba dilaksanakan. Kumpulan tersebut juga memerlukan individu yang akan mengawal slide sebagai pemudah cara kepada penonton untuk memahami dan menerima projek yang cuba dijalankan. 

Kawan tidak lari dari menjadi ahli di dalam kumpulan KIK pejabat kawan. Rasanya ini adalah kali yang ke-5 kawan berada di dalam pasukan KIK ini. Daripada zerro tentang apa itu Tulang Ishikawa, kawan sudah tahu. Zerro tentang pencarian masalah dan huraiannya kawan sudah mampu membezakan mana yang perlu dan yang tidak perlu. Selain itu, mampu untuk mencipta graf dan carta berdasarkan maklumt yang dicari dan seterusnya membangunkan projek yang dicadangkan.

Tahun ini buat pertama kali nya kami akan mencipta sesuatu, lain daripada tahun-tahun sebelum ini. Dan di harapkan kali ini kami memperoleh kejayaan seperti mana Tahun 2011 yang lalu. Kepada semua ahli kumpulan timbalah pengalaman dan ilmu ini Insya Allah dengan usaha dan kerjasama daripada kalian LPPKN Negeri Pahang akan memperoleh kejayaan. 



Monday, May 12, 2014

Kemeriahan di stadium

Mereka datang dengan sejuta harapan merentasi laluan lebuhraya Pantai Timur demi Selangor. Sebanyak 24 buah bas dan tidak lupa konvoi kereta yang berkibar bendera kebangaan mereka iaitu Selangor. 

Tidak kurang juga daripada pihak lawan yang akan mereka tentang iaitu Pahang. Walaupun bermain di halaman sendiri tetapi Geografi Negeri Pahang Darul Makmur yang luas membuatkan setiap daerah juga menghantar beberapa buah bas ke stadium keramat mereka iaitu Darul Makmur. 

Kemeriahan perlawanan mula terasa apabila di dalam stadium di mana kepadatan penonton mengisi setiap kawasan dan ruang duduk. Inilah yang kita inginkan daripada para penyokong dari kedua-dua belah pihak. Semangat kesukanan dan semangat tali persaudaraan menjadi faktor utama di dalam kerancakkan Liga Malaysia ini. 

Kalah menang adat pertandingan. Provikasi di antara pemain biarlah sang pemegang wisel yang menyelesaikannya. Provokasi daripada penonton kita telan dan anggap seperti lumrah nafsu seorang peminat bola sepak. 

Jika keadaan ini diteruskan oleh semua penyokong Insya Allah kemeriahan yang kita inginkan akan dapat kita rasai seperti mana yang kawan rasai di dalam perlawanan Pahang menentang Selangor. 



Wednesday, May 7, 2014

3 + 1 = 4 Pemain Import

Pada 7 September 2013 yang lalu Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM memutuskan untuk merombak kouta pemain import dengan membenarkan penggunaan khidmat empat pemain import. Salah seorang pemain import tersebut mestilah berasal daripada pemain Asia dan sedang bermain dengan pasukan kebangsaan masing-masing atau bermain di liga terbaik negara mereka (3+1).

Walaubagaimanapun menurut, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan, iaitu Datuk Seri Afandi Hamzah, hanya tiga orang pemain import sahaja yang dibenarkan untuk turun beraksi dalam suatu masa dan seorang lagi yang dibangku simpanan itu cuma boleh dimasukkan sekiranya berlaku penggantian pemain dalam sesuatu perlawanan. 

Untuk mempermudahkan kefahaman segelintir insan yang mungkin tidak faham berkenaan peraturan baru ini, sifirnya mudah. 3+1 iaitu, 3 yang dimaksudkan pemain import dari mana sahaja dan 1 itu pemain import dari Asia. Kesimpulannya 3+1 yang diperkatakan adalah sama dengan 4 pemain import. Tidak kira Asia ker Eropah ker Afrika ker mereka berempat ini adalah pemain import. 

Justeru itu, tidak timbul masalah sekiranya pemain import dari Asia itu di bangku simpanan ker atau tidak beraksi. Atau ketiga-tiga pemain import yang sedang beraksi di atas padang tersebut adalah daripada Eropah. Perjanjiannya yang pasti hanya perlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain import di atas padang. 



Sunday, May 4, 2014

Impian Ke Peringkat Akhir Musnah

Pertemuan buat kali ke-2 di antara Malaysia dan Canada memihak kepada negara yang menduduki tangga ke-16 dunia di dalam carta kedudukan hoki dunia iaitu Canada. 

Malaysia bermula dengan baik pada peringkat awal perlawanan dengan jaringan pertama pasukan Malaysia pada minit ke-2 hasil daripada jaringan Faizal Saari melalui pukulan sudut penalti. Seterusnya pada minit ke-14 giliran Ismail Abu mencipta nama sebagai penjaring melalui jaringan padang. 

Permainan yang ditunjukan oleh pasukan hoki Malaysia amat memberangsangkan walaupun Canada cuba untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-21 hasil jaringan daripada Scott Tupper. 

Aksi yang mantap pada separuh masa pertama yang disajikan oleh pemain-pemain hoki Malaysia tidak berterusan pada babak ke-2. Pada separuh masa ke-2 Malaysia lebih banyak bertahan daripada melancarkan serangan, sama seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini. Akhirnya pada minit ke-60 Canada memperolehi pukulan sudut penalti dan disudahkan dengan jayanya oleh Scott Tupper sekali lagi. 

Keputusan 2-2 berlarutan sehingga tamat perlawanan dan terpaksa menentukan pemenang bagi separuh akhir pertama dengan pukulan Shoot Out. Kali ini nasib pasukan Malaysia tidak seperti menentang New Zealand tempoh hari dimana Malaysia kecundang dengan jaringan 4-5. 

Kekalahan di peringkat separuh akhir tersebut membuatkan anak buah Dharma Raj Abdullah berputih mata untuk beraksi di peringkat akhir. Walaubagaimanapun anak buah Dharma Raj Abdullah akan beraksi bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pada petang esok. 



Friday, May 2, 2014

Pertemuan Di Separuh Akhir

3 Mei 2014, Sabtu Malaysia melangkah ke peringkat Separuh Akhir setelah melakukan kejutan dengan mengatasi New Zealand di peringkat suku akhir pada hari Khamis yang lalu. 

Di peringkat separuh akhir kali ini anak-anak buah Dharma Raj sekali lagi akan bertemu pasukan Kanada, di mana pada peringkat kumpulan Malaysia yang diketuai oleh Azlan Misron sebagai ketua pasukan memenangi dengan jaringan 4-3. 

Pastinya cabaran di separuh akhir pada malam esok menjanjikan perlawanan yang cukup sengit di antara kedua-dua pasukan bagi menempah tiket ke perlawanan akhir yang akan bertemu perlawanan di antara Korea dan Ireland. 

Justeru itu, ayuh peminat-peminat sukan hoki dan penyokong-penyokong Malaysia kita penuhi Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan, Pahang demi Malaysia. 



Thursday, May 1, 2014

Malaysia buat kejutan

1 Mei 2014 bersamaan dengan cuti Hari Pekerja adalah tarikh keramat bagi pasukan hoki kebangsaan di Kejohanan Hoki Cabaran 1 2014 di Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan, Pahang. 

Malaysia turun menentang New Zealand bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini. 

Pasukan Malaysia bermula garang di separuh masa pertama dengan mendahului New Zealand dengan jaringan 4-2. Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Azlan Misron, Fitri Shaari dan dua gol daripada Shahril Saabah. 

Tetapi pada separuh masa kedua bermula New Zealand menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menyama kan kedudukan 4-4 di saat-saat terakhir permainan. 

Perlawanan terpaksa ditentukan dengan pukulan 'shoot out' setelah kedudukan terikat 4-4 sehingga tamat perlawanan. Sekali lagi Malaysia ketinggalan 0-2. Walaubagaimanapun S. Kumar membuktikan beliau adalah penjaga gol terbaik dengan menyelamatkan pukulan daripada New Zealand. Dan akhirnya Fitri Shaari mensahkan tempat ke separuh akhir dengan jaringan terakhir beliau dengan kedudukan Malaysia menggatasi New Zealand 3-2 . 

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Presiden Persatuan Hoki Malaysia turut mencemar duli bersama-sama pemain meraikan kemenangan yang amat berharga. 



Gadis Bertudung Singkat

Setiap hari semasa waktu rehat tempat aku menjamu selera tidak lain dan tidak bukan di bawah pokok beringin yang sentiasa ditemani oleh...