Friday, December 27, 2019

Bab 1 : Radio



Telah menjadi kebiasaan di dalam kamus hidup ku volume radio di dalam kamar hanya terpaku di nombor satu. Samar-samar lagu Jesnita daripada Kumpulan Exist berkumandang di corong radio hitamku. Teringin untuk aku kuatkan radio tersebut untuk menikmati setiap ungkapan lirik lagu Jesnita di kala terbayangkan wajah manis Afiza.

"Jesnita kali pertama terpandang wajah...", aku melayani perasaan di malam Jumaat.

"Haikal!!!! Tutup radio tu!! Belajar! Jangan nak dengar radio jer!!", jerit Mak Ngah Peah pangkat ibu saudara kakak ayah aku yang berlingkar di hadapan televisyen di ruang tamu.

Cepat-cepat aku tutup radio dan buat-buat mengulangkaji buku sejarah sedangkan di bawahnya tidak lain dan tidak bukan buku skrap yang telah aku buat sendiri untuk ku conteng cerita aku. Tidak dinafikan pengaruh komik Blues Untuk Aku betul-betul memainkan peranan utama apabila aku ingin berkarya dengan contengan cerita mahupun lakaran kartun ala-ala blues. 

Seminggu 7 hari kesemuanya dan seminggu itu jugalah jadual kehidupan aku bagaikan buah catur yang di susun rentak langkahnya. Pabila malam menyingkap tirai waktunya, tatkala kesemua kewajipan telah ku laksanakan, maka peneman setiaku hanyalah sang hitam yang  mendendangkan lagu-lagu yang diputarkan sayup-sayup kedengaran. Malam ini cerita-cerita cinta dari DJ yang bertugas. Diselangi dengan putaran lagu-lagu jiwang karat yang tangkap leleh mengimbau wajah-wajah keayuan gadis kelas sebelah. Siapa lagi kalau bukan Afiza. Biar pun aku tahu ianya cuma angan-angan tetapi aku puas dapat membayangkan matanya yang sepet, pipinya yang ditemani lesung pipit, hidungnya yang mancung mungkin kerana kacukan Pakistan, bibirnya yang berkilat segar mekar tatkala senyuman terukir dan dagunya yang runcing terdapat sedikit parut nakal mungkin terjatuh basikal.

Isyarat mata dan mulut kuarahkan kepadanya menandakan ada sesuatu di bawah meja. Tidak sempat ku nantikan senyuman mahupun jelir lidah, anak rambut di tepi telingaku terasa pedih di tarik oleh Cikgu Zaleha. Itulah kelebihan yang ada pada cikgu yang kecil molek tubuh badannya. Skill menarik sideburn memang kepakaran semenjak azali. Terangkat bahu bila jari kecilnya hinggap di lokasi yang menjadi kegemaran cikgu sejarah ala-ala Spa Q ni.

"Awak buat apa kat kelas orang lain ni?", senyuman sinis Cikgu Zaleha membuatkan aku terketar-ketar menjawabnya.
"Saya nak pinjam penyapu cikgu... Sakit cikgu sakit.. Adehh Adehh", semakin tinggi hikmat tarikan sideburn beliau maka semakin tinggilah badanku melonjak menahan kesakitan.

"Sejak bila pulak awak pandai menyapu ni Haikal? Setahu cikgu awak lah yang paling pemalas menyapu"

Fuhhh alhamdulillah akhirnya seksaan aku berakhir jua. Agaknya sudah tidak sampai nak menarik sideburn aku maka dilepaskannya.

"Cikgu, cuba cikgu tengok di belakang cikgu ada apa"? Kerakter aku bertukar menjadi seorang yang sangat berkeyakinan. 
"Ada apa? Siapa?" Cikgu Zaleha menoleh ke belakang. 

Sepantas kuda aku berlari masuk ke kelas aku sambil menyapu-yapu sideburn aku yang masih perit terasa bahangnya. 

"Haikalllllll!!!!! Sini kamu, oooo kamu kenakan cikgu ye" jari telunjuk Cikgu Zaleha dibengkok-bengkok memanggil ku. 
"Ala cikgu ni gurau-gurau takkan tak boleh. Nanti kalau saya dah habis belajar mesti cikgu rindu saya" ujar aku tersengih-sengih. 

Sememangnya aku merupakan seorang pelajar yang paling nakal di sekolah dan yang paling aktif. Semua aktiviti dan semua persatuan aku sertai tapi yang paling aku akan ingat sampai bila-bila adalah Persatuan Geng Geledah.

Keesokkan harinya buku-buku yang ada di bawah meja aku ada peneman baru. Aku ambik peneman baru buku ku itu dengan perasaan yang sungguh luar biasa. Malangnya hari tersebut masa bagaikan terlalu lambat untuk berputar. Setiap detik jam di tangan ku perhatian. Setiap saat jam di dinding ku jeling tajam.

Kringggg!!!! Kringgg!!!

Larian aku bagaikan acara 100 meter di lapangan padang sekolah. Tidak pernah berlaku aku menunggu ibu saudara ku hari ini kerana kebiasaannya muka ketat Mak Ngah Peah sering menjadi pandangan pertama aku apabila balik sekolah.

"Hahh!! Kenapa tak makan lagi nasi tu? Dah pukul berapa ni nak pergi KAFA pulak" suara Mak Ngah Peah memecah keheningan tengah hari yang panas.

"Sayaaaa... Tak selera makan la Mak Ngah, kepala macam pening jer ni" wajah paling menipu  aku cuba lakonkan.

"Dah tu tak pergi KAFA la tu?" soalan yang memang aku nantikan untuk hari ini.

"Saya rehat kat rumah la Mak Ngah, tak larat rasanya, kerja sekolah banyak pulak nak siapkan, malam nanti nak ulangkaji pulak" kalau tadi wajah penipuan kini wajah kesayuan beraksi.

"Oklah makan ubat tu kang, jangan main telefon pulak tak pergi KAFA tu kang", sambil bersiap untuk kembali ke pejabat.

Lampu brek Proton Saga Putih hilang dari padangan mataku. Peneman buku aku di sekolah tadi aku keluarkan dari beg. Aku masukkan ke tempatnya dan aku tekan butang 'play'.

"Sesungguhnya Haikal telah buat Fiza malu, tidak pernah terfikir cara Haikal gunakan ini untuk menyampaikan isi hati Haikal kepada Fiza.... Puas jugak Fiza mencari jalan macam mana nak mainkan kaset yang Haikal bagi ini, maklum lah rumah Fiza tiada radio. Tetapi cukup luar biasa, sememangnya Haikal adalah seorang lelaki yang berani dan kreatif tak salah lah kalau cikgu-cikgu sayang Haikal.... Ini pun Fiza pegi rumah sedara Fiza sebab Elin Sepupu Fiza tu dia ada 'Walkman' yang boleh rakam tu... 

Haikal.... Sebenarnya Fiza memang suka Haikal, cuma Fiza segan.. Fiza malu... Ye la kita ni siapa lah bukannya pelajar yang pakai baju biru seperti Haikal, bukannya atlet harapan seperti Haikal... Kalau betul Haikal sukakan Fiza... Haikal kena buktikan sesuatu... "

" arghhhh senyap pulak radio ni... Takkan habis dah... Tergantung ni", aku pusingkan kembali kaset tersebut mana tahu kalau-kalau tersangkut atau terlepas. 

"Belakang ke depan... Depan ke belakang... Sekali sekala bersilat jugak lah dengan radio hitam ni tepuk sana sini nak dengar penghabisan. Sah memang dia sengaja tak nak habiskan rakaman arghhhh", bentak hati kecil aku ketidakpuasan hati. 

Setiap masa aku dengar dan aku ulang, dengar dan aku ulang hinggalah keesokan paginya di sekolah senyuman manis dari Fiza menambah keyakinan dan semangat aku untuk terus menjadi pelajar yang cemerlang di sekolah. Terima kasih Fiza dan pastinya aku akan pastikan permintaan kamu akan aku tunaikan dan buktikan. Di hari tersebut pastinya sebentuk cincin akan ku sarungkan di jari manis mu. 


Monday, December 23, 2019

Gaji Sesuap Nasi


Tiada sesiapa yang bekerja kerana lilahitaala di zaman menjelang 2020 ini. Zaman yang kini di gembar gembur kan dengan kereta terbang dan kecanggihan teknologi bagaikan tidak seiring dengan pemikiran tentang pekerjaan yang tidak bergaji. Sememangnya perkataan yang mempunyai empat huruf ini adalah perkataan biasa tetapi besar maknanya kepada yang mengerjakannya.

Zaman kini semuanya perlukan duit. Masuk tandas dah semakin mahal sekarang. Makan nasi berlaukan sambal belacan pun ada harga add on RM0.50 untuk sambal belacan. Moralnya kesemua perkara perlukan duit pada hari ini. Dan bagaimana ingin mendapatkan duit? Ialah dengan bekerja. Ada yang bekerja 8 jam sehari, ada yang kerja 12 jam sehari malah ada yang bekerja 24 jam demi sesuap nasi untuk diri sendiri, demi sehelai pakaian untuk menutup aurat di badan, demi pendidikan anak-anak yang menjadi harapan dan tiang negara.

Ada juga yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Pagi segak bergaya dengan tali yang mencerut leher. Pabila malam bertukar dengan apron di badan menarik teh tarik buat pelanggan di tepi jalan. Kesemuanya hanyalah untuk satu perkataan iaitu duit. Kita tidak mahu bertuhankan duit tetapi kita perlukan duit untuk meniti hari-hari di bumi yang di pijak di langit yang dijunjung.

Lebih mengharukan bila status gaji itu tidak diketahui. Setiap hari menuju ke kaunter ATM untuk menilik nasib adakah masuk atau tidak. Kenapa tidak guna perbankan online? Bagaimana mahu menlayari di laman sesawang cimb click, maybank2u dan sebagainya jika bil telefon pun sudah mencecah 3 bulan tidak berbayar jangan kan nak check gaji masuk ke tidak, nak kumpul koleksi Pokemon pun tidak kesampaian.

Di kala ini juga aku terfikir kan sesuatu yang sering aku guna di dalam kata-kata ku. "Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya", bisik hati kecilku. Tetapi hakikat sebenarnya aku tidak mampu meniti hari demi hari yang mendatang. Ku pejamkan mata mencari penyelesaian, kelam, gelap tidak bercahaya. Tetapi ku cuba untuk memahami dan mendalami petikan dari Allah S.W.T. itu. Aku gagahi bahawasanya ianya masih di dalam kemampuan diri ku ini walaupun senyuman ku ukir, meratapi di dalam hati. 

Monday, September 23, 2019

Jom Buka Akaun Shutterstock... Semakin Mudah


Entri sebelum ini kawan dah menceritakan berkenaan bagaimana ingin membuka akaun Shutterstock. Rupa-rupanya Shutterstock dah tak seperti dahulu. Kini ianya semakin mudah dan teramat mudah. Sayang kalau aokmer sekalian tak mulakan buat tambah pendapatan.

Dulu kawan mulakan dengan 3 langkah utama, iaitu :
  1. BUAT AKAUN KITA SENDIRI 
  2. DAFTAR ID / BUAT PASSPORT
  3. SUDMIT 10 KEPING GAMBAR

Itu dahulu tapi sekarang daripada 3 itu hanya tinggal 2 sahaja itu pun terlalu mudah sebenarnya. Pastinya kita kena ada akaun kita sendiri iaitu akaun Shutterstock dan seperti biasa kita kena daftar ID kita tetapi yang menakjubkan adalah kali ini tidak perlu sudmit passport dah. Jadinya kalau sebelum ni aokmer rasa macam malas nak membayar RM200 untuk buat passport ini kali lah tidak perlu lagi.

Seterusnya kalau dulu kita kena sudmit 10 keping gambar, sekarang aokmer hanya perlu sudmit sekeping gambar jer untuk memulakan perniagaan di dalam taliban yang luar biasa ini. Senang atau susah?
Memandangkan sekarang semuanya boleh dilakukan menggunakan smart phone yang canggih munggis ni jadinya kawan share bagaimana ingin buka akaun Shutterstock hanya menggunakan smart phone kita.

1. Pastinya aokmer kenalah install aplikasi Shutterstock Contributor di Play Store atau Apple Store smart phone aokmer.
 
http://submit.shutterstock.com/?ref=3641519

2. Pengembaraan membuat akaun bermula dengan mengisi segala bukti akaun Shutterstock kita.

3. Selesai mengisi setiap apa yang diminta kalian akan dapat satu arahan untuk memverifikasikan akaun aokmer menerusi email yang telah diisi dengan lengkap sebentar tadi.

 

4. Apabila email telah disahkan aokmer akan meneruskan perjalanan memburu pendapatan online dengan mengisi setiap butir alamat, nombor telefon dan sebagainya lalu 'klik hantar'. Ayat luar biasa daripada Shutterstock adalah seperti gambar di bawah.

 

Apa lagi yang di tunggu? Aokmer tidak lagi perlu takut-takut kena denda kalau tidak lulus 7 daripada 10 keping gambar yang di hantar. Kerana sekarang hanya sekeping gambar sahaja untuk aokmer memulakan perniagaan baru yang pastinya halal. Aokmer juga tidak perlu nak beratur untuk buat buku passport dan mengeluarkan RM200 sebagai bayaran , lebih baik wang tersebut beli keperluan untuk menambah koleksi di dalam galeri stockphoto.


Segalanya atas aokmer sendiri kalau aokmer nak mulakan sesuatu yang baru di dalam kehidupan ayuh kita melangkah penuh bermotivasi dengan hanya berbekalkan smart phone anda mampu mengubah impian menjadi realiti. Jom kita berniaga di alam fana.

"Sharing is Caring, Caring is Loving"

Tuesday, September 10, 2019

Balang Maruku Di Stadium



Menjadi rutin aktiviti setiap malam minggu Aiman akan ke stadium untuk mengisi masa terluang menyaksikan perlawanan bola. Pastinya pasukan yang disokong olehnya adalah Pahang Darul Makmur. Tidak kira skuad Tok Gajah akan menentang siapa pastinya Aiman akan bersendirian ke stadium dengan berbekalkan sebalang makanan ringan. Jika hari itu terdapat maruku di dapur rumahnya atau kuih raya tahun lepas Aiman akan bawa sebagai bahan kudapan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Tidak pernah ada yang menegur atau pelik dengan tindakan Aiman. Penyokong lain bersorak kegembiraan mahupun menghemburkan makian Aiman tetap setia menguyah setiap isi makanan yang dibawa. Pastinya wisel penamat ditiupkan menandakan perlawanan telah tamat dan isi kandungan balang yang dibawanya akan habis licin tanpa tinggal seulas. Malah kadang-kadang serbuk makanan juga akan habis licin bagaikan balang yang baru tanpa diisi dengan makanan.

Hari ini perlawanan akhir Piala Malaysia diantara Pahang menentang Kelantan pada 3 November 2013 menjadi perlawanan tumpuan Aiman. Berbekalkan tiket yang berjaya diperolehinya Aiman bersama teman berkongsi kenderaan menuju ke Stadium Shah Alam iaitu venue bagi perlawanan akhir tersebut. Balang makanan yang menjadi teman setianya tidak ketinggalan mengharungi perjalanan Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Shah Alam. Kali ini pilihan Aiman adalah maruku pedas yang dibelinya sekampit besar di pasaraya Cowboy.

Jam 3 petang pintu gate mula dibuka bersusunlah penyokong kedua-dua pasukan beratur untuk memasuki stadium. Ketika inilah Aiman baru sedari bahawa sebarang bentuk botol tidak dibenarkan untuk dibawa memasuki stadium. Demi sebalang maruku sebagai peneman menonton perlawanan akhir Aiman keluar daripada barisan walaupun tinggal lebih kurang 10 orang sahaja lagi dihadapannya untuk mencari sesuatu bagi mengantikan balang marukunya. Lantas Aiman menuju ke gerai jualan yang berlambak di perkarangan stadium untuk meminta plastik bagi mengisi maruku yang telah di beli.


Bergema Stadium Shah Alam dengan sorakkan kedua-dua penyokong. Ada yang membawa bendera, ada yang membawa kertas bertulis 'gomo kelate gomo' dan tidak ketinggalan bagi penyokong Pahang. Perlawanan masih lambat lagi untuk dimulakan tetapi kehangatan sorakkan daripada para penyokong telah bermula semenjak pintu pagar stadium dibuka. Aiman seperti biasa slumber dan tenang di tempat duduk bersebelahan penyokong tegar Pahang 'Elephant Army' sambil mengeluarkan plastik marukunya untuk memulakan kunyahan menantikan perlawanan bermula.

Kruk krakk krrukk kraakk bunyi maruku di gigit di mamah dek gigi putih Aiman. Sehinggalah saat yang mengubah rutin Aiman tatkala di dalam stadium. Ketika semua penyokong berdiri, bersorak bernyanyi bersama Elephant Army Aiman semakin rancak menguyah maruku, menganggukkan kepala dan menghentak kaki mengikut irama lagu yang dinyanyikan oleh geng Elephant Army.

"Woiii!!!! Bangun la sorak, makan pulak dia" tegur Khai sambil menepuk bahu Aiman.
"Laaaa perlawanan bukan mula lagi, relax la" jawab Aiman slumber.


Saat itu kesemua penyokong Pahang berdiri sambil menyanyikan lagu dari Elephant Army. Saat itu juga banyak mata memandang ke Aiman yang sedak asyik menguyah maruku. Sekali lagi Khai menepuk bahu Aiman menyuruh bangun bersama dan sekali lagi Aiman buat tak layan dan tak ambil peduli. Sehinggalah....

"Dik bangun la dik Elephant Army nak buat Poznan tu" seorang bradar linkungan berumur 40-an menjerit ke arah Aiman.

Aiman hanya tersenyum sambil memberi isyarat sedang makan. Ketika itu juga Aiman tertanya-tanya apa ke benda Poznan tu? Oleh kerana sifat semulajadi Aiman adalah tidak kisah maka di biarkan teguran daripada bradar yang berjambang tadi.

"Budak bangun budak bila lagi kita nak sumbangkan keringat kita pada Pahang jom bangun", kali ini Aiman tersentak. Suara yang menegurnya sebentar tadi adalah daripada seorang pakcik tua yang sebaya dengan ayahnya. Ketika itulah Aiman berasa sangat malu. Dipandangnya ke kanan dilihatnya anak-anak kecil turut melompat memberi sokongan. Dipandangnya ke kiri kelihatan bradar tadi bersama keluarganya turut bersama-sama memberi sokongan. Dipandangnya ke belakang, pakcik tua bersemangat melompat bersama. Apa tah lagi yang jelas kelihatan dari hadapan kesemuanya melompat bergembira memberi sokongan yang tidak terhingga.

Aiman memandang kearah kedua-dua belah tangannya kelihatan debu-debu maruku yang dimakannya. Perasaan malu mula mengamit diri. Gema sorakkan semakin mengegarkan Stadium Shah Alam. Kaki yang di pijak terasa getarannya. Kesemua penyokong Pahang berpaling ke belakang sambil memeluk di antara satu sama lain. Kali ini Aiman tidak ketinggalan, maruku yang dibawa kembali mengisi kekosongan beg sandangnya dan akhirnya pelukkan bersama penyokong lain merealisasikan Poznan paling mengemparkan di mana kesemua penyokong yang telah mengisi segenap ruang tempat duduk Stadium Shah Alam bersama-sama melompat, berpelukkan, menghala ke belakang dengan diketuai oleh Elephant Army sambil melaungkan 'Demi Tok Gajah oooooo'.


Satu suasana yang lain daripada yang lain 90 minit perlawanan pada hari itu. Keringat yang membasahi badan Aiman diertikan sama seperti keringat 11 pahlawan yang sedang bertarung di atas padang nan hijau. Cukup menghairahkan cukup luar biasa. Piala di julang kegembiraan diraikan. Kaki melangkah keluar dengan penuh kebanggaan. Aiman menyeluk beg sandangnya lalu dibawa keluar plastik maruku yang masih banyak baki. Pertama kali di dalam hidup Aiman apabila keluar daripada stadium bekalannya masih berbakti tidak habis.
Sambil tersenyum sinis Aiman berbisik di dalam hati kecilnya.

"Tak mengapalah wahai Maruku pastinya kau akan habis sepanjang perjalanan pulang ke bumi bertuah Pahang Juara Piala Malaysia tahun ini."

Monday, September 2, 2019

Leftenan Adnan Realiti Sebuah Kemerdekaan



Jika ditanya tarikh 14 Februari pasti anak-anak muda akan mengaitkannya dengan sambutan Valentine’s Day atau Hari Kekasih. Biasanya, anak-anak muda ini ter­utama yang mempunyai teman lelaki atau wanita akan tertunggu-tunggu kedatangan hari tersebut semata-mata mahu meraikannya bersama sedangkan di dalam Islam di larang sama sekali untuk diraikan kerana ianya cenderung ke arah kemaksiatan.


Berbalik kepada tanggal 14 Feb­ruari, mungkin ramai antara kita tidak tahu terdapat satu peristiwa besar yang ada kaitannya dengan sejarah negara ini. Pada tanggal tersebut gugurnya seorang pahlawan dari Rejimen Askar Melayu iaitu Leftenan Adnan Saidi di Bukit Candu, Si­ngapura ketika mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh pihak Jepun. Beliau gugur pada usia 27 tahun sebagai wira bangsa.


Berdasarkan pembacaan, tontonan YouTube dan kajian ringkas anak kelahiran Kampung Sungai Ramal, Kajang ini sudah bercita-cita menjadi seorang tentera sejak kecil lagi. Di mana ketika kecil beliau sering bermain perang-perang bersama adik dan rakan-rakannya. Kenangan ini di abadikan di dalam filem Leftenan Adnan, di mana beliau menyerang Tok Mudim di kampung beliau. Sifat kepimpinan dan keberanian Leftenan Adnan telah terserlah ketika beliau masih kecil lagi.

Atas minat yang mendalam, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu pada usia 18 tahun (sekitar 1933) walaupun sebelum itu bertugas sebagai guru pelatih dan telah mengajar selama setahun setengah. Setahun selepas menyertai tentera, beliau terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada 1936 Adnan dinaikkan ke pangkat sarjan dan pernah diberi penghormatan untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat atas pertabalan Raja George VI di London pada 1937Selepas dinaikkan pangkat Sar­jan Mejar, Adnan telah dihantar ke Si­ngapura untuk menjalani kursus latihan pegawai bagi membolehkannya memakai pangkat Lef­tenan Muda dan seterusnya Lef­tenan.





Sejarah kehebatan Leftenan Ad­nan bermula ketika era pepe­rangan Perang Dunia Kedua iaitu semasa penjajahan Jepun di beberapa buah negara termasuk Tanah Melayu dan Singapura.

Menurut catatan sejarah pada 13 Februari 1942, pasukan tentera Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Renya Mutaguchi telah menyerang Permatang Pasir Panjang yang berada di pesisiran Si­ngapura. Lokasi tersebut menerima serangan bertalu-talu daripada pihak Jepun sama ada daripada udara mahupun darat.


Sungguhpun begitu, Leftenan Adnan bersama pasukannya (Kom­peni C) yang ditempatkan di ka­wasan berkenaan telah membe­rikan tentangan cukup sengit sehingga pasukan Jepun terpaksa berundur. Walaupun pasukan Je­pun mempunyai anggota lebih ramai, pasukan itu gagal menembusi pertahanan Askar Melayu yang diketuai Leftenan Adnan. Pada tengah malam 14 Februari 1942, Leftenan Adnan dan Kompeni C kemudian telah mendapat arahan daripada pihak atasan untuk bergerak ke tapak pertahanan baharu iaitu di Bukit Candu. Jumlah anggota telah ditambah dan menjadi 42 orang kesemuanya termasuk Koperal Yaakob.

Untuk makluman, Bukit Candu adalah lokasi pertahanan strategik dan pada masa sama merupakan sempadan pertahanan terakhir bagi Singapura. Sehubungan itu tanggungjawab untuk mempertahankan lokasi itu tidak boleh diserahkan kepada calang-calang pegawai tentera tetapi perlu di­serahkan kepada seorang pegawai yang benar-benar bijak, tajam pemikiran, lasak dan berwibawa.

Atas faktor-faktor berkenaan, Lef­tenan Adnan telah dipilih un­tuk memikul tanggungjawab ter­sebut. Yang pasti, disebabkan ke­dudukan Bukit Candu sebagai ku­bu pertahanan yang strategik buat Singapura, sudah tentu lokasi itu menjadi tumpuan seterus­nya oleh pihak musuh.

Pada petang 14 Februari 1942, pihak Jepun telah cuba melakukan serangan berhelah di Bukit Candu apabila tentera mereka menyamar sebagai kontinjen tentera Sikh daripada pasukan tentera British-India. Bagaimanapun Leftenan Adnan sedar ada sesuatu yang tidak kena dalam pasukan tersebut apabila melihat tentera Sikh ber­kenaan bergerak dalam kumpulan berempat dan bukan bertiga se­perti amalan biasa tentera British. Ketajaman mata dan tingginya ilmu ketenteraan beliau juga dapat membezakan senjata yang digunakan oleh pihak musuh adalah tipu helah mereka. Menyedari tipu daya tersebut, Leftenan Adnan dan semua anggotanya segera melepaskan tembakan hingga menyebabkan 20 orang askar musuh terkorban.

Dua jam kemudian pasukan Jepun te­lah melancarkan serangan besar-besaran dengan bilangan tentera yang begitu ramai. Meskipun jumlah anggotanya jauh lebih kecil berbanding tentera Jepun, Leftenan Adnan dan pasukannya tetap bertempur de­ngan ga­gah berani sehingga terkorban. Terkorban sebagai pahlawan negara. Sungguhpun Leftenan Ad­nan dan anak-anak buahnya terkorban, mereka berjaya membunuh 800 tentera musuh.

Dalam pada itu, Koperal Ya­a­kob yang terselamat dalam sera­ngan itu telah menyaksikan kematian ngeri Leftenan Adnan. Akibat rasa dendam disebabkan keberanian pahlawan Melayu itu, pihak Jepun telah bertindak kejam terhadap jenazah Leftenan Adnan. Jenazahnya telah digantung di pokok ceri dan kemudian ditikam bertalu-talu dengan menggunakan pisau benet. Leher Allahyarham juga telah dikelar. Tentera Jepun berang dengan kehebatan Leftenan Adnan dan pasukannya yang berjaya membunuh ramai rakan mereka. Beginilah secebis kisah keberanian seorang pegawai tentera Melayu yang sanggup berjuang hingga titisan darahnya. Demi mempertahankan tanah airnya, Leftenan Adnan akhirnya terkorban di usia muda.

Kepada generasi muda pula, jadikanlah kisah keberanian Leftenan Adnan ini sebagai inspirasi kita untuk terus mempertahankan negara daripada diceroboh oleh mana-mana pihak. Tahniah kepada jawatankuasa hari kemerdekaan di Kuantan Pahang kerana membawa pentomin kisah Leftenan Adnan sebagai tontonan masa kini. Semoga roh Lef­tenan Adnan ditempatkan ber­sama golongan syuhada, beriman dan solihin. Al-Fatihah.



Berbanggalah Menjadi Anak Merdeka


31 Ogos 1957 menandakan hari Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British, membentuk apa yang kita kenali hari ini sebagai Malaysia. Sempena itu, 31 Ogos di iktiraf sebagai hari cuti umum kebangsaan untuk memperingati dan meraikan kebebasan dan kemerdekaan.

Hari Merdeka tidak lengkap tanpa tujuh laungan “Merdeka!”. Tradisi ini telah dimulakan oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman pada tanggal 1957 di Stadium Merdeka.
Berbanggalah kita menjadi rakyat merdeka. Sematlah erti kemerdekaan di dalam sanubari kita. Selamat hari kemerdekaan





Wednesday, August 28, 2019

Jaga-jaga Dengan Mulut



Jaga-jagalah mulut yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang mungkin menyakitkan hati insan lain apatah lagi jika ianya mampu membibitkan unsur-unsur fitnah. Allah swt menciptakan mulut hanya satu, tetapi telinga ada dua. Kenapa? Supaya kita lebih mendengar daripada bercakap. Lebih menghayati daripada lebih mencaci. Lebih memahami daripada lebih mengkeji. Apa guna adanya mulut kalau hanya digunakan untuk berbicara perkara buruk? Mulut yang digunakan untuk berbicara perkara baik adalah cara terbaik bagi kegunaan mulut.

Tanpa kita sedari, mulut mungkin menjadi tempat melakukan dosa jika kita tersalah guna. Dosa yang dilakukan akan melibatkan orang lain iaitu fitnah, mengadu-domba, mengumpat, mereka-reka cerita, mengaibkan orang lain, menipu, mengkeji, dan lain-lain yang berpunca dari mulut. Malah tanpa kita sedari juga mulut mungkin menjadi tempat terputusnya kasih sayang sesama insan. Walaupun ianya hanya sekadar gurauan, jika tersentuh di hati kecil manusia maka tercetuslah kekecewaan dan terasalah hati.

Ada sebuah kisah dimana niat untuk bergurau telah di salah tafsirkan sehinggakan tercetus ketidakpuasan hati dan terdetik kemarahan di jiwa. Hanya kerana sepatah perkataan ikatan kasih dan sayang terlerai bagaikan jatuhnya kelopak mawar merah ke tanah.


Imam al-Ghazali ada me­nyatakan lidah itu sangat kecil dan ringan, tapi mampu mengangkat seseorang ke darjat paling tinggi dan menjatuhkan seseorang ke darjat paling rendah. Betapa dahsyatnya bencana yang dikaitkan dengan lidah ini sehingga Rasulullah SAW begitu menitikberatkan peranan lidah dengan berpesan supaya memelihara ta­ngan dan lidah daripada me­nyakiti orang lain.

Bahkan al-Quran turut memberi peringatan kepen­tingan menjaga lisan. Antaranya surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu sebahagian kamu me­ngumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan da­ging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”

Sunday, August 4, 2019

Nafsu Kian Bergolak



Tambah tolak bahagi darab dah 8 bulan aku tidak menendang bola di padang mahupun di lapangan futsal. Kejadian di Padang KBS telah membuatkan aku gantung kasut buat seketika. Bercakap tentang seketika bila aku mampu kembali. Bila berborak dengan yang sinun disuruhnya operate. Bila berborak dengan yang sini di suruhnya berurut. Last-last aku tak buat apa-apa hanya fisio sendirian. Hingga kan kini solat aku terpaksa menggunakan kerusi. Hingga kan kini aku tak dapat nak membantu pasukan aku di Sukanun 2019. Hingga kan kini berat aku perut aku badan aku semakin bertambah kilogramnya.

Dari hari ke hari aku merenung di padang nan hijau. Dari hari ke hari aku menyaksikan sahabat rakan dan taulan yang lain beraksi gembira. Sehinggakan aku terpaksa mute dan left group-group wasap bola. Sedangkan setiap hari aku pijak rumput lembu bersama skuad kesayangan rakyat Pahang. Sapakan tidak terguris hati kecil ini bila kan aku akan kembali.

Penulisan kali ini bukan sekadar coretan tetapi ingin menukar mimpi menjadi realiti. Aku tidak lagi boleh menanti dan menunggu lutut kiri gagah memahat peha dan kaki ku. Penyelesaian perlu dicari demi minat dan cintaku kepada bola sepak. Mungkin terasa sedikit poyo kali ini. Tetapi keadaan perlu di ubah dari hanya menanti.
Apakah langkah yang patut aku mulakan dahulu?

Thursday, August 1, 2019

Aku Semakin Terancam


Dari dulu sampai sekarang kalau susuk badan ku semakin bertambah aku takkan beli baru. Sendat pun sendat lah, aku pakai jugak. Paling tidak pun seksi la sikit bila orang tengok jangan sampai ehemmm bangun sudah payah nak cover kalau dah bangun. Kali ini aku rasa berat badan aku semakin hari semakin bertambah. Mana tidaknya makan saje bersukannya tidak mana tak naik berat badan.

Kalau si isteri di rumah membuat persiapan dirinya dengan apron berkilat dan susunan barangan yang akan di masak aku akan bersiap sedia untuk menghabiskan seperiuk beras yang telah di basuh dan di masak. Itu belum lagi aku tengok masakan apa yang di masak kalau dah tahu apa menunya awal doa aku baca.
Dalam masa yang sama mulut aku sering membebel berat dah bertambah, perut semakin ke depan, badan jadi lemau ehhh macam-macam lagi lah. Apa tah lagi pemilihan seluar yang akan ku pakai untuk bekerja. Sebab sekali lagi aku katakan aku tidak akan beli yang baru jika bentuk badan aku dah berubah. Kononnya menjadi motivasi kepada aku untuk kembali mendapatkan susuk tubuhku yang asal. 


Tetapi hakikatnya tidak ada sedikit pun usaha yang aku laksanakan. Baru mula nak mengayuh basikal dapat lah 3 ke 4 hari lepas tu kembali menjelang-menjeling mata ku hanya memandang sang basikal tersadai di dinding rumah. Baru mula 30 minit buat sit up dan menggunakan keseluruhan peralatan mini gym di rumah tetap sama jelingan manja ke arah peralatan yang di beli.

Aku sendiri tak pasti adakah aku selesa dengan berat badan yang semakin meningkat atau aku terseksa dengan perubahan yang terjadi. Jadi aku cari satu lagi penyelesaian iaitu dengan menconteng di sangsperma ni yang dah lama bersawang. Mana lah tahu ada yang sudi nak bagi tips ke atau yang memberi semangat untuk aku.

Sehingga berjumpa lagi.

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...