Sunday, June 14, 2020

Gadis Bertudung Singkat


Setiap hari semasa waktu rehat tempat aku menjamu selera tidak lain dan tidak bukan di bawah pokok beringin yang sentiasa ditemani oleh meja dan kerusi batu ihsan dari Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Diraja. Gelak ketawa flasback cerita tompok merah di kain Faizah menjadi bualan waktu rehat tersebut.

"Amir cuba aok tengok budok tu" tanya Sham dengan dialek pekat Kuala Lipis.
"Yang mana? Aok ingat dengan muncungkan mulut busuk aok tu keh tahu budok mana se..."
"Laa mulut aku pulak aok maki, tu yang tinggi-tinggi tudung singkat tu dekat pokok bunga  kertas tu" Sham menambah muncung bibirnya sekali ganda.
"Weh lawo weh" ujar aku hinggakan nasi lemak ayam goreng kegemaran aku tak masuk ke mulut tetapi jatuh ke tanah.
"Tinggi, muka putih merah-merah, bibir berlekuk tengah ditambah dengan hidung yang mancung" tambah aku lagi.
"Woiii yang aok pegang batang hidung aok kenapa, takkan berhingus tengok budok tu" tepuk Bulat yang dari tadi pelahap abiskan nasi lemak aku sebelum kesemuanya jatuh ke tanah menjadi santapan si tompok kucing makcik kantin. 

Kringggg..!!! Tamat sesi persekolahan hari ini. Tapi aku seperti biasa tidak terus balik sebab petang nanti ada latihan bola baling. Tinggal sebulan jer lagi untuk Kejohanan Bola Baling peringkat Daerah Lipis. Kali ini aku taknak kecewa lagi. Aku mesti pastikan sekolah aku jadi juara. Jadi untuk mengisi masa yang terluang tu aku, Sham termasuk Bulat walaupun dia bukan dalam pasukan tetapi disebabkan kita orang ni kawan rapat jadi dia lepak sekali boleh jugak dia siapkan kerja sekolah sambil mengulangkaji pelajaran. 

Kelas 5 Bakawali merupakan kelas yang paling strategik untuk bebudak lelaki usha awek-awek balik sekolah atau keluar rehat mahupun pergi ke tandas sebab terletak di koridor jalan utama. Kelibat awek tudung singkat yang aku nampak rehat tadi memalingkan kepala aku secara automatik ke arah pintu kelas. Sempat sepasang mata bertentangan dan seukir senyuman dilemparkan.

"Hoi.. ko senyum benda buang tabiat ke? Ko dah malukan aku tadi ko senyum-senyum pulak" jerkah Faizah.
"Amboi manisnya bahasa berhoi hoi, patut la tak dapat petanda bila nak keluar, tah basuh ke tidok benda alah tu" balas aku kegeraman. 
Berderai gelak ketawa geng nakal penutup sesi persekolahan hari tersebut. 

Adeh kacau stim sungguh la baru nak main mata dengan budak tadi dah ada roadblock tengah jalan. Roadblock tompok bendera Jepun pulak tu. Orang tua-tua kata kalau dah jodoh tak kemanakan. Petang tu kelibat budak perempuan tadi aku nampak lagi, tapi kali ni di gelanggang bola jaring bersebelahan dengan padang bola baling tempat aku jalan latihan. 

"Tepat pilihan budak ni main bola jaring, cukup tinggi dan nampak bakat dia walaupun baru tengah ikat tali kasut" bisik aku dengan hati kecilku. 
"Amir budak tu la, budak tuuu" si muncung beraksi. 

Sham ni memang ada bakat bab muncungkan mulut dia. Agak-agaknya la kan kalau dia ni cemolot dengan bini dia nanti sesak nafas bini dia nanti, tersenyum sinis aku. 

"Ye ye aku nampok, aku tak buta lagi nak nak memang wajah dia dah terpahat kat sanubari aku ni" 
"Hai Amir aok nak try jugok ker? Kang tak pasal-pasal aku kena jadi peneman aok bergayut kat pondok telefon" Sham mengungkit kisah silam aku. 

Setiap tahun aku akan terpilih untuk mewakili daerah dalam sukan bola baling. Nak cakap aku ni hebat sangat tidak la jugak tapi mungkin disebabkan ketinggian aku dan kemampuan aku menjaringkan gol sebelum badan aku jatuh ke rumput membuatkan nama aku sering disenaraikan mewakili daerah. Yang pasti kali ini aku nak nama sekolah aku jadi juara. Letih la setiap tahun asyik kalah dengan SMK King Arthur di perlawanan akhir. Tapi memang diaorang hebat, main bola baling dah macam main bola keranjang. Ada sekali tu tengah buat benteng, boleh pulak pemain kiri kanan dia melintas depan gol pasukan aku untuk mengelirukan penjaga gol aku. Tapi kali ini aku dah tahu macam mana nak patahkan strategi diaorang. Tunggu dan lihat je nanti. 

Tinggal seminggu jer lagi kejohanan akan bermula. SPM pulak tak lama jugak. Jadi kena pandai-pandai la bahagi masa untuk akedamik dan sukan. Untuk jadi seorang pelajar yang cemerlang bukan sahaja di atas kertas peperiksaan tetapi kena hebat juga di dalam kokurikulum barulah betul diberi gelaran pelajar cemerlang. 

"Amir petang ni kita balik dengan bas lah boleh tak?" Bulat mula buat muka kesian dia. 
"Aok ni Bulat mengalahkan kitaorang yang kena lari 20 pusingan padang pulak nak manja naik bas" aku mengejek sambil kembongkan pipi menandakan bulat. 
"Ah ah Bulat, aok kata aok nak simpan duit nak beli set patung Blech" tambah si Sham. 
"Memang la tapi hari ni keh rasa letih sangat nak bawak badan keh ni balik rumah" 
"Tak de tak de, kita balik jalan kaki, sekurang-kurangnya ada jugak senaman untuk aok, parok sangat dah keh tengok badan aok ni". 

Sebenarnya kalau nak dikira dengan ukuran kilometer boleh tahan jauh jugak kome ni nak balik rumah. Tapi kalau ikut sifir rutin harian, naik turun bukit 2 kali dah nampak bumbung rumah. Kome bertiga ni sebenarnya duduk setaman. Rumah aku dengan Bulat selang 4 biji cuma Sham jer la lebih letih sikit sebab selang 3 lorong. 

Sebenarnya hari tu pilihan aku untuk menidakkan pelawaan si Bulat naik bas memang tepat. Gadis tudung singkat yang aku perhatikan selama ini turut sama berjalan kaki untuk pulang ke rumah. 

"Amir!! Amir!!" 
"Yeee Yeee keh nampak, keh tak buta lagi" potong aku sebelum sempat si Sham memuncungkan mulut dia. 

Saraf otak aku berhubung diantara satu sama lain sama laju tatkala aku merancang strategi untuk menang di perlawanan persahabatan bola baling dengan sekolah sebelah tadi. Kaki aku semakin laju mengejar si tudung singkat bersama kawan dia meninggalkan Bulat dan Sham. Kalau tadi saraf otak aku berhubung dengan laju sekarang jantung aku pulak jadi laju. 

Goooolllllll jaringan emas aku berjaya menjulang nama sekolah aku menjadi juara Kejohanan Bola Baling peringkat Daerah tahun 2009. Sujud syukur aku di atas padang setelah berhempas pulas mengalahkan SMK Padang Sultan. Berpuluh ucapan tahniah dari teman sekolah yang datang memberi sokongan dan pastinya ucapan tahniah daripada seseorang yang paling aku tunggukan. Kelibat si gadis berbaju biru bertudung putih bersilang ke leher menampakkan tulisan Adidas di hadapan baju datang mendekati aku. 

Perkenalan semasa pulang dari perlawanan persahabatan ari tu menjadi titik permulaan aku mengenali gadis yang awalnya aku panggil gadis tudung singkat. Rupanya rumah dia tak jauh pun dari rumah aku dan dekat sangat dengan rumah si mulut muncung Sham. Patut la hari tu Sham ada bagi tahu dia dapat jiran baru. Anak pegawai polis yang baru berpindah dari Melaka. Semenjak hari tu juga aku rajin ke rumah Sham kononnya lepak-lepak tapi sebenarnya hajat di hati mencari gadis pujaan hati. 

"Erkk awak balik jalan kaki?" sapa aku setelah dapat mengejar dari belakang. 
"Eh abang Amir, ingat siapa tadi" jawab Sarah dengan sekuntum senyuman. 
Aik dia tahu nama akulah, bisik hati aku. 
"Macam mana awak tahu nama kawan" tanya aku sambil menyisip rambut yang sudah mula panjang. 
"Ala dengar kawan-kawan abang panggil masa latihan kat padang" 
Alamak rupanya dia usha aku jugaklah, tercipta satu senyuman yang paling lama khas buat Sarah. 
"Maaf kalau kawan tak tahu nama…" 
"Sarah, nama saya Sarah" belum sempat aku bertanya dengan lebih lanjut dia dah bagi tahu namanya. 
"Ohh Sarah, cantik nama tu secantik orangnya" 
"Ada-ada je la abang ni" semakin laju langkah kakinya berjalan pulang. 

Saat yang paling berharga ni takkan aku nak lepaskan. Aku mengekori menyusun langkah penuh tertib sedikit laju bersaing kelajuan Sarah. Sekali sekala aku toleh ke belakang melihat Sham dan Bulat yang bagaikan memahami aku untuk aku jalan dahulu. 

"Kenapa Sarah balik jalan kaki hari ni?" tanya aku menyambung perbuatan. 
"Oh hari ni ayah tak dapat ambik sebab dia ada kerja, lagi pun tak jauh pun rumah Sarah kalau ikut jalan pintas, 2X turun bukit naik bukit jer" sambil menundingkan jarinya ke arah bukit yang tinggi mendaki ke rumah aku. 
"Eh Sarah duduk di Taman Lipis ker? Tanya aku dengan penuh semangat. 
"Aah ah. Ala dekat jer dengan rumah kawan abang tu, depan rumah dia jer" jawab Sarah sambil memuncungkan mulutnya ke arah Sham di belakang. 

Saat itu hati aku sangat gembira tak tergambar kegembiraan aku. Kalau selama ini waktu rehat dan semasa latihan di padang jer aku dapat mengintai kerana Sarah merupakan pelajar tingkatan 4 sebab itu laluan Sarah setiap jam 10.30 pagi dan waktu balik sekolah akan melalui koridor kelas aku, rupanya selepas ini setiap hari aku boleh mengintai. 

"Awak, tahniah tak sia-sia kerja keras awak selama ini" manis tuturkata diserikan dengan senyuman manis menampakkan lesung pipit di pipi kiri. 
"Terima kasih sebab datang bagi sokongan Sarah" balas aku sambil menghulurkan pingat kejuaraan kepadanya. 

Masa tu nak jer aku melompat peluk si gadis jelita yang selama ini selalu memberi semangat kepada aku tapi dibatasi dengan keimanan di jiwa. Semangat yang diberikan selama ini bukan sekadar ungkapan dari bibir lekuk di tengah sahaja, malah di hebat kan lagi dengan hadiah dan kadang-kadang kad ucapan hasil daripada tangan halus yang di reka sendiri. Sebab itu aku rasa Sarah adalah gadis istimewa yang luar biasa. 

"Woii Amir! Cepat la deme ajak bergambar ni, karang-karang la kalau nak bermanja pun" jerit si Sham. 

Ahhh potong la Sham ni tak muncung pulak bibir dia kali ni. Lamunan aku terhenti apabila mendapat panggilan telefon. Kelihatan nama sayang terpapar di paparan telefon bimbit. 

"Abang dah makan tengahari?" merdu suara dari muncung telefon bimbitku
"Belum kejap-kejap lagi abang turun makan, sayang dah makan ker? Tanya aku kembali. 
"Makan dah tadi mee sup, abang tu jangan lupa makan, sibuk macam mana sekali pun jangan skip makan ok" doktor peribadi aku memulakan hujahnya. 

Laman Facebook yang terpampang approve friend bernama Sarah Sulaiman aku renungkan kembali. Nak accept ke tidak nak accept ke tidak. Berkali-kali aku tanyakan pada diri aku sendiri. Gambar profile Sarah bersama 3 orang anaknya berbaju kurung biru bertudung lilit ke leher menampakkan kalung rantai berbatu permata merah membuatkan aku mengelamun lama throwback jauh ke belakang. Yang lepas biarkan lepas menjadi kenangan di dalam kehidupan. Tanda pangkah di bahagian atas komputer aku tekan dan mencapai telefon bimbit untuk turun ke bawah mengisi perut di waktu tengahari. 





Tuesday, May 26, 2020

Aidilfitri Luar Biasa

Setiap tahun pastinya setiap insan akan melompat-lompat untuk menyambut perayaan yang boleh dikatakan terbesar di dalam kalendar. Tidak lain dan tidak bukan adalah sambutan hari raya Aidilfitri. Rumah akan dihias cantik dengan kain langsir dari Jakel, pasu bunga dari SSF, perabut dari Hap Long Furniture, karpet dari KA Shariff dan pelbagai lagi. Tidak cukup dengan itu pelbagai kuih muih akan di siapkan sehingga tertinggal solat Terawih. Tak lupa juga baju raya yang di beli di ekspo atau di butik-butik pilihan. Ehh ada lagi.... habis semua member-member yang kerja bank di telefon untuk pasang kabel tukar duit raya. Belum ditambah dengan tempahan lemang, sate, dodol dan ketupat bagi mereka yang tak pandai nak buat sendiri.

Suasana itu adalah sinonim dengan perayaan hari raya setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Tetapi tidak bagi tahun 2020. Segala-galanya berubah dengan sekelip mata sahaja. Masa ini masing-masing secara tidak langsung menuruti suruhan di dalam Islam yakni, bersederhana di hari perayaan. Langsir tukar yang 4 tahun lepas, itu pun kalau tukar la. Pasu bunga pulak di lap sahaja dengan kain buruk baju masa saiz badan M dulu. Perabut lama masih setia menjadi penyeri. Karpet yang telah di vakum, disidai di pagar rumah, jemur seharian. Balang kuih, alhamdulillah penuh dengan kuih raya yang boleh dimakan di hadapan tv ala-ala 'pop corn' di pawagam. Baju raya masih padan yang tahun lepas tak pun dua tahun lepas. Last sekali duit raya, tak terfikir untuk tukar. Makanan yang dikatakan tak pandai buat sendiri tu? Masih setia ditempah tapi lemang sebarang, ketupat segengam dan dodol dilupakan.

Segalanya adalah disebabkan wabak Covid-19 yang menyerang dunia. Selama 60 hari di kurung atas Perintah Kawalan Pergerakan. Di sambung pula dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat. Sehinggakan kemeriahan Aidilfitri kali ini seperti tidak bernyawa suasananya. Mana tidaknya, jika sebut hari raya tidak kira raya Aidilfitri ke AidIladha ker, Gong Xi Fa Cai ker, Deepavali ker, kalau dah nama perayaan mesti akan balik kampung bagi mereka yang tidak bertugas. Dan di hari perayaan pastinya kunjung mengunjung ke rumah keluarga, sanak saudara dan rakan taulan untuk bergosip bila nak kahwin? Anak belajar mana sekarang? Cantiknya baju raya, gelang tangan, beli di mana? Menjadi keutamaan sebelum ini, tetapi tidak kali ini. 

Tahun 2020, tiada istilah balik beraya kerana tidak boleh merentas negeri, nasib baik rentas daerah dibenarkan. Itu pun masih samar-samar boleh atau tidak. Kali ini juga tidak digalakkan untuk kunjung mengunjung seperti sediakala hanya aplikasi digital media menjadi penghubung persaudaraan. Sebelum ini sebulan Syawal diraikan, hari ini hanya sehari dibenarkan itu pun tidak melebihi 20 orang satu rumah dan perlu mengekalkan jarak sosial dan pematuhan 'Standard Operation Prosedur' (SOP). Serba salah jugak bila orang hulur tangan nak bersalam. 

Walaupun berbuih pihak berkuasa memaklumkan segala SOP tetapi masih ada yang berdegil. Akhirnya SOP yang pada mulanya dibenarkan ditarik balik. Ada juga kanak-kanak berduyun-duyun datang beraya. Aku halau sambil.... , 
"Mak ayah korang dah tak sayang korang ker? Nak korang mati sebab wabak Covid-19?" 
Belum masuk topik yang dewasa pun datang tayang kereta bersusun depan laman rumah. Akhirnya... Kena kompaun tak pasal-pasal. 

Hakikatnya wabak merebak atau tidak perayaan ini tetap boleh disambut dengan penuh kegembiraan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Kita masih boleh kemas rumah untuk kebersihan tempat tinggal, masih boleh buat kuih raya untuk santapan sendiri, masih boleh mengayakan pakaian lama dan selfie bersama-sama sambil buat mulut itik dengan tangan tanduk kerbau, masih boleh bermaaf-maafan menerusi aplikasi zoom tak pun webex dan macam-macam lagi, malah masih boleh bagi duit raya dengan cukup mudah dengan hanya pemindahan menerusi aplikasi 'online banking' lagi mudah tak payah susah-susah cari sampul raya. 

Sememangnya Aidilfitri 2020 bersamaan 1441 hijrah kali ini akan menjadi lipatan sejarah kehidupan. Diharap wabak pendemik Covid-19 ini dapat dihapuskan dari terus bermaharajalela. Kita jaga kita. Kita jaga jarak sosial kita. Kita patuhi setiap arahan yang dikeluarkan. Cukuplah tahun ini kita berkorban segalanya dan kita doakan semuanya kembali normal seperti sediakala. 

Friday, May 22, 2020

Covid-19 peneman tahun 2020


Sepatutnya 18 Mac 2020 yang lalu aku telah mula mengarang sesuatu yang cukup luar biasa berlaku di Malaysia bahkan di seantero dunia. Tetapi aku buat relax sebab tanggal 21 Mac 2020 jatuh hari Sabtu iaitu hari cuti, maka teringin di lubuk hati kecil ku untuk melakukan aktiviti yang sedikit berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Tetapi itulah, manusia hanya merancang tetapi segalanya dengan keizinannya, Allah yang maha kuasa. Segalanya terbantut di pertengahan harapan apabila wabak pandemik, Novel Coronavirus (Covid-19) yang sangat jahat sedang melanda dunia. 

Fasa demi fasa mula di umumkan oleh kerajaan bagi Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 

18 Mac -  31 Mac 2020  fasa 1

01 Apr - 14 Apr 2020 fasa 2

15 Apr - 28 Apr 2020 fasa 3

29 Apr - 12 Mei 2020 fasa 4 

Setiap hari aku scroll Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengetahui info tepat dan terkini. Nak tengok info lain aku takut sebab saat-saat sebegini ramai nak jadi hero sebagai penyampai utama. 

Suasana yang cukup-cukup berbeza kali ini apabila dilarang keluar daripada rumah. Di atas jalan sunyi tanpa kenderaan. Di kota raya atau bandar lengang mengurangkan pencemaran udara dan bunyi. Kedai-kedai tertutup rapat. Urusniaga semua terbantut mengakibatkan ekonomi terjejas. Anak-anak tidak bersekolah, terlantar asyik bermain permainan digital. Orang dewasa sehingga tengahari baru kenal erti untuk mandi. Semuanya akan menjadi bualan dan bersemadi di dalam lipatan sejarah kehidupan. 

Rentetan ini berterusan sehingga melangkah ke Bulan Ramadhan dan esok lusa sahaja akan menyambut Aidilfitri yang mulia. Walaupun wabak ini semakin menunjukkan skala positif tetapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat menjadi SOP terkini bagi membendung wabak ini terus berleluasa mengugat kesejahteraan negara. 

114 kematian yang direkodkan sehingga penulisan ini ditaip bacaan Al-Fatihah dan ucapan takziah ku ungkapkan. Semoga ahli keluarga bersabar dan tabah menghadapinya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Semoga wabak ini segera dapat dibendung supaya kehidupan akan kembali normal. Ohhhh terlupa pulak kepada geng 'frontline' yang bertugas tidak mengira waktu, berhempas pulas menangani wabak ini. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada mereka, jasa dan bakti yang telah mereka curahkan tidak terbalas. Thank you again. 

Sebelum berhenti menaip aku nak bagi tahu korang supaya like page Afif Abdul Halim daripada The Malaysian Insight sebab gambar yang aku guna ini adalah hasil daripada beliau. Semua gambar-gambar yang padu sepanjang wabak ini bermaharajalela diabadikan di Page Facebook beliau. Terima kasih bradar kerana merakamkan setiap detik suasana wabak Covid-19 ini. Anda insan luar biasa. 

Gadis Bertudung Singkat

Setiap hari semasa waktu rehat tempat aku menjamu selera tidak lain dan tidak bukan di bawah pokok beringin yang sentiasa ditemani oleh...