Thursday, April 23, 2015

Posisi Aku

Hujan turun lebat di kota raya Kuala Lumpur malam ini. Sejuk sikit cuaca kalau tidak panas berdering hinggakan nak tidur rasa macam nak bogel jer. Tengah-tengah mengelamun ni aku tersenyum sendirian, memikirkan macam mana aku boleh berada di posisi penjaga gol. 


Sebenar-benarnya posisi aku adalah pertahanan kanan. Sejak sekolah rendah, masuk menengah hingga di SMKAP Muadzam Shah aku beraksi di posisi tersebut. Masa tu sapa-sapa nak lepas ikut bahagian aku memang susah lah. Kalau tak kena pangkah, kena bahan dengan aku. 

Sukan antara jabatan di Politeknik Kota Bharu adalah merupakan kali pertama aku bertukar posisi. Ini kerana masa tu tak ada sorang pun yang berani untuk bermain di posisi penjaga gol. Itulah kali pertama aku menjadi seorang penjaga gol dan perlawanan itulah kali pertama aku mendapat kecederaan disiku dan bahu aku. 


Sejak hari itu penjaga gol lah posisi aku hingga ke hari ini. Jadi penjaga gol ni best sebab tak payah nak berlari sangat, tetapi semasa latihan Ya Allah Tuhan saje yang tahu betapa seksinya. Agak-agak akulah kan kalau sang Abby serius training aku setiap hari aku muntah hijau. 

Selama aku di posisi penjaga gol ni banyak gak kenangan-kenangan yang aku tak dapat lupakan. Pertamanya siku dan bahu aku teralih sebab landing atas batu dan kena tendang dengan pihak lawan. Selain daripada tu, aku pernah menahan rembatan dari Indra Putra masa main futsal sama-sama suatu masa dahulu dan 2 tahun lepas aku menidakkan tendangan daripada Mat Noor Idrus Sukanun di Terengganu. 

Apa-apa pun minggu depan aku akan beraksi untuk pejabat aku di Sukanun yang diadakan di negeri di bawah bayu Sabah. Harap-harap aku mampu untuk beraksi dengan baik setelah mendapat khidmat coaching daripada Jurulatih Penjaga Gol FC Rosa. 


Wednesday, April 22, 2015

Musibat Menyerang Pulau Mutiara

Gambar ehsan bro Kamarulzaman

Hasil jaringan Hafiz Kamal dan Dickson Nwakame di Stadium Darul Makmur suku akhir Pertama Piala FA 2015, pasukan Pahang akan meneruskan perjuangan yang belum selesai di Stadium Bandaraya pada malam ini. Berbekalkan 2 jaringan tersebut Pahang berada di track yang benar bagi mengekalkan kejuaraan yang mereka menangi musim lepas.

Pemergian skuad yang digelar Tok Gajah tersebut tidak keseorangan kerana lebih kurang 18 biji bas penyokong Pahang mengiringi mereka untuk berjuang bersama-sama. 

Dengan tagline menghitamkan Bandaraya, musibat-musibat berbaju hitam menbelah Lebuhraya Pantai Timur dan Utara Selatan seawal pagi tadi. Kemungkinan. Kini mereka telah sampai ke Pulau Mutiara dan mungkin tengah merancang untuk menaiki Bukit Bendera ke Batu Feringgi atau pusing-pusing Pulau Pinang.

Pastinya tepat jam 8.00 malam kesemua mereka akan menyalin pakaian rasmi mereka untuk menghitamkan Stadium Bandaraya, memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan mereka untuk mengekalkan kejuaraan. 

Setiap awayday ada kisahnya tersendiri. Tidak dapat dinafikan apabila mereka pulang pelbagai cerita akan dikongsi bersama. Mereka pergi bukan sekadar pergi berjalan, tetapi mereka pergi dengan satu misi dan dengan satu pegangan iaitu mengekalkan kejuaraan demi lencana di dada. 

The Warunk The Best Choice


Suasana di bawah lampu neon yang tergantung di atas kepala. Ditemani pokok-pokok rhu yang mengelilingi suasana. Diselang selikan dengan tiupan sang bayu. Dihidangkan dengan santapan dan menu yang melazatkan. 

Semua yang diperkatakan di atas hanya terdapat di The Warunk. Perniagaan yang diusahakan oleh anak muda di Bandar Kuantan. Yang kembali menghidupkan suasana yang berlainan di lokasi yang sememangnya tersangat startegik. 


Menu-menu yang terpilih menjadi hidangan kepada para pelanggan. Nasi Lemak Pandan, Set Nasi Asam Pedas (Ikan Pari, Ikan Kembong, Keropok Lekor, Mango Cheese Kek, Banana Split dan Barbican menjadi menu-menu utama kedai yang kawan nak kongsikan ni.

Pastinya kalau kawan ke sana Nasi Lemak Pandan dan Nasi Asam Pedas Ikan Kembung berserta Air Barbican akan menjadi santapan kawan. Hinggakan kuah asam pedas kawan hirup bagaikan perlu hanya dilap sahaja apabila basuh. 






Suasana yang romantik dan sedikit hispter cuba diketengahkan oleh anak-anak muda ini. Ohhh lokasi! Mudah untuk di ekses iaitu di Taman Gelora berdekatan dengan Kubur Kristian. 

Dengan harga yang berpatutan para pengunjung mampu untuk mengisi perut mereka sekenyang-kenyangnya. 

Kini The Warunk melangkah setapak lagi sebagai memenuhi konsep anak-anak muda ini. Stage yang disediakan akan menjadi port untuk insan-insan seni menghiburkan para pelanggan sambil-sambil mereka menikmati juadah yang terhidang. 


Di buka bermula jam 6.00 petang hinggalah 1.00 pagi dari hari Selasa hingga Ahad. Di mana hari Isnin adalah hari cuti The Warunk. 

Syabas kepada team The Warunk. Teruskan usaha kalian. 


Tuesday, April 21, 2015

Hari Pertama Di Kota Metropolitan


Yearghhhh hari ni kerja aku hanya smash ... Smash dan terus smash. Pantang dapat bola tinggi pasti akan aku matikan. Walaupun aku masih keletihan dan tidak cukup tidur aku tetap turun ke gelanggang untuk beraksi bersama rakan-rakan lain sambil-sambil menunggu Abang Berahim sampai dari Kuala Ganu. 

Kringgggg ..... Panggilan daripada Abang Berahim yang dikatanya telah sampai di Terminal Sentral Kuantan. Setelah bawa ke Jaman Tory untuk santapan kami pulang ke rumah untuk aku mandi-mandi segarkan badan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. 

Sebelum aku bertolak aku meneropong dahulu wajah sang isteri yang nyenyak tidur. Dan tidak lupa juga memeluk dan mencium sang anak. Tepat jam 2.30 pagi kami memulakan perjalanan dengan sang hitam menuju ke Kuala Lumpur untuk latihan pusat bagi persediaan ke Sukanun di Sabah.

Walaupun perjalanan ditemani oleh Abang Berahim tapi mata aku tetap tidak boleh terus menemani perjalanan aku. Setiba sahaja di Tol Karak aku mengambil keputusan untuk berhenti. Saat itu mata aku sudah seperti ada habuk. Jam di dashboard sang hitam menunjukkan tepat jam 4.00 pagi. Ku capai telefon bimbit lalu ku kunci alarm jam 5.00 pagi. 

Kononnya nak bangun jam 5 tapi jam 6 juga aku bergegas ke tandas dan menunaikan kewajipan pertama di hari Selasa. Sang hitam dihidupkan lalu aku bersama abang Berahim menyambung perjalanan. Tepat jam 8.00 pagi aku tiba di ibu pejabat LPPKN dan bersiap sedia untuk turun ke padang. 

Kepenatan yang dirasai hanya Allah sahaja yang tahu. Penat bermain badminton, penat memandu sang hitam, penat tidak cukup tidur sudah cukup menunjukkan keadaan tidak keruan aku di atas padang. 

Selesai latihan kononnya nak qadaq tidur juga turut tidak kesampaian apabila bilik sebelah mula membunyikan trumpet, gitar dan drum. Hingga lah ke saat ini badan aku terasa letih yang tersangat letih. Nak demam pun ada nasib baik ada ubat tahan sakit ku telan sebiji. 

Di kaca televisyen Terengganu sedang mengatasi Perak dengan agreget 3-1. Suka sangan lah Abang Berahim kite hehehhe

Sunday, April 19, 2015

Stadium Darul Makmur Krik Krik


Pejam celik pejam celik sudah 4 tahun pasukan yang mendapat gelaran Tok Gajah ini beraksi hebat di atas padang. Kehebatan mereka telah menjadi saksi kepada penyokong-penyokong Pahang kembali memberi sokongan dan turun ke stadium sehati sejiwa demi lencana di dada. Tidak kira mereka menentang pasukan apa pastinya Stadium Darul Makmur akan dipenuhi. Tidak lupa juga apabila pasukan kesayangan mereka ini bertandang ke luar pastinya teres-teres dan tempat duduk stadium akan diwarnai  dengan jersi kuning dan juga tshirt hitam.

Tapi kini semuanya telah berubah. Walaupun pasukan Pahang masih berada di dalam kedudukan untuk mengekalkan kejuaraan mahupun mencari kejuaraan suasana di stadium semakin sepi. Dahulunya untuk mencecah 20 ribu penonton adalah suatu kebiasaan tetapi hari ini untuk mengira sekurang-kurangnya 5 ribu yang hadir pun sudah susah. Di manakah silapnya? Adakah permainan Pahang hari  ini semakin membosankan? Adakah kerana aksi di pentas Asia yang merundum menjadi faktor utama? Atau keghairahan penyokong semakin luntur? Atau prasarana stadium yang old school?

Kadang-kadang penyokong lawan hadir ke Stadium Darul Makmur bukan semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka tetapi ingin merasi sendiri atmosfera yang dihidangkan oleh peyokong-penyokong Pahang yang dikatakan sporting, hebat dan ramai. Ada seorang penyokong dari utara tanah air berkongsi cerita bahawasanya mereka cuba untuk mengajak penyokong-penyokong lain hadir ke Stadium Darul Makmur untuk melihat sendiri suasana di dalam stadium  supaya boleh dilaksanakan pula di stadium mereka. Tetapi sayang kapasiti stadium yang mampu dipenuhi dengan 36 ribu penonton hanya 7 ribu lebih sahaja. Penyokong pasukan dari utara tanah air itu tersangat terkilan dengan apa yang telah mereka saksikan. 


Tahukah kalian bahawasanya pemain-pemain di atas padang dan di bangku simpanan sangat-sangat memerlukan kalian. Apabila melihat stadium penuh atau ramai penyokong semangat mereka terus membara. Apatah lagi dengan suasana bising sokongan daripada penyokong bertambah keghairahan para pemain untuk mencari kemenangan demi lencana di dada. 

Apa yang aku katakan ada kenyataannya di mana aku sendiri berbual di kalangan pemain tentang sokongan para penyokong. Pemain penyerang Pahang yang mempunyai betis sebesar balak pernah berkongsi dengan aku, kalau penyokong bersorak dengan lagu-lagu amuk Tok Gajah beremang bulu-bulu beliau. Sama juga dengan ketua pasukan  Pahang, apabila terdengar chant 3K pastinya suatu aura dan tenaga tambahan meresap ke dalam diri beliau. Begitu juga dengan pemain import yang susah untuk dijatuhkan oleh pihak lawan, beliau pernah membandingkan penyokong Pahang seperti Dourmant malah lebih hebat. 

Lihatlah bahawa besarnya impak penyokong kepada pemain-pemain di atas padang. 

Masih belum terlambat untuk para penyokong mengembalikan semula suasana kemeriahan di dalam stadium, perjalanan pasukan Pahang masih panjang. Ayuh kita turun sehati sejiwa demi lencana di dada. 


Saturday, April 18, 2015

Jangan di pandang sebelah mata



Aku bukan budak kecil yang tidak tahu membezakan mana yang buruk dan mana yang baik. Aku bukan juga seorang  pekerja yang dungu untuk tidak pandai membezakan majlis yang santai dengan majlis yang dikelilingi VVIP. 

Aku bukan hari ini berada di dalam lingkungan suasana sesuatu program yang diadakan, malah pelbagai dan bermacam majlis telah aku hadiri. Majlis yang melibatkan kanak-kanak, majlis yang dihadiri orang ramai malah majlis yang mempunyai status dikalangan diraja. 

Masuk pandang kambing mengembek. Masuk kandang harimau mengaum. Lain padang lain belalangnya. Lain negeri, lain adat resamnya. Kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran dan minda yang cerdas pandai-pandailah membawa diri di dalam lingkungan kita berada. 

Takkan kita nak duduk di bawah tempurung. Hanya duduk diam sedangkan suasananya tersangat meriah dengan gelak ketawa. Takkan kita nak duduk tanpa melakukan apa-apa sedangkan rakan-rakan lain berlumba-lumba untuk menceriakan suasana.

Sebab itulah orang tua-tua pesan, jangan jadi bodoh sombong. Jangan jadi kera sumbang. Jangan diikut lalang yang tua. 

Jangan dicari salah orang. Sedangkan salah sendiri tidak diperbaiki. Jangan fikir kita hebat sebab ramai lagi insan yang hebat. Jangan tunjuk kita pandai sebab ramai lagi orang yang bijak. 

Elok-elok hati yang gundah gulana dapat menerima suasana yang ceria, tiba-tiba hilang begitu sahaja bagaikan ditiup sang bayu. 

Jangan hanya di pandang perkara yang remeh untuk diperbesarkan kerana masih banyak perkara yang utama perlu diselesaikan. Hidup di dunia ini hanya sementara. Ditambah pula dengan pasang surutnya. Diselangi dengan pahit manis maungnya. Kadang-kadang kita di atas kadang-kadang kita di bawah. 


Thursday, April 16, 2015

Sang Sperma Yang Malang


Komik di atas cukup untuk menceritakan segala-galanya. 

Kesedihan seorang anak yang tidak berdosa hasil percintaan yang kononnya suci tetapi sebenarnya kotor seperti kotornya sperma yang dipancutkan ke dalam mahkota seorang perempuan yang cantik. 






Wednesday, April 15, 2015

Aku Cemburu


Benar kata orang. Jauh perjalanan luas permandangan. Lebih-lebih lagi kepada sang kaki-kaki kamera. Pastinya kaki-kaki kamera inginkan gambar-gambar yang orang lain tak dapat atau pun seribu satu cerita di tempat-tempat yang akan dikunjungi. 

Kadang-kadang perasaan cemburu kepada kaki-kaki kamera yang hardcore ni membuatkan aku moral down. Mana tak nya, kalau kaki-kaki kamera ni aku tak kenal taklah kisahkan sangat. Tapi muka diaorang ni lah aku jumpa selalu. Muka diaorang ni lah yang melepak selalu. Dan muka diaorang ni lah yang aku hubungi selalu.

Jangan kata nak pergi trip atau jalan-jalan. Nak abiskan satu roll filem di Bandar Kuantan pun belum tentu. Suatu hari tu aku cuba juga dengan membekalkan Olympus OM-1 yang baru diisi dengan Kodak 200. Hanya 2 keping gambar sahaja yang aku tekan. Kenapa jadi sedemikian rupa? Adakah aku malas? Mungkin tidak. Adakah aku sudah jemu? Lagi lah bukan. Tapi yang pasti adalah masa aku. Emmm mungkin betul. Masa!! Time !! Sesungguhnya aku kalau bercakap tentang masa aku memang tidak cukup. Puas alu bahagikan masa tapi masih tidak cukup. Hinggakan aku hanya tidur 1 jam sahaja sehari. 

Diumur aku yang 30-an ni dengan jumlah tidur sejam sehari dan 30 jam sebulan nampak gayanya hari tua ku tudak perlu tunggu usia 60-an. Ehhh lebih-lebih plak pasal masa sedangkan tajuk aku pagi ni Aku Cemburu.

Yup betul memang aku cemburu. Melihat rakan-rakan mampu untuk pergi ke sana ke sini, dengan keluarga, dengan rakan-rakan mahupun seorang diri. Yang pasti di dalam kamera mereka tidak kira kamera digital, filem malah handphone sendiri pastinya ada gambar sebagai cerita perjalanan mereka. Bilakah aku berpeluang seperti itu? Bilakah aku mampu untuk menjilidkan buku seperti aku menjilidkan buku "About Life - Afi Darwisy"? 

Yang ada dalam koleksi aku hanyalah Train Ride 1.0 dan Air Terjun Pelangi Kuala Sentul, itu sahaja. Sedangkan orang lain ada gambar Jogja, Bangkok, Hong Kong, Taman Negara dan pelbagai lagi. 

Aku cemburu !!!! Aku cemburu !!! 

Tuesday, April 14, 2015

Ku Tunggu Tak Bangun Bangun


Brrrrrurrrr sejuk jugak air kolah masjid ni. Rizo menyudahkan rukun-rukun wajib mengambil air sembahyang. Apabila selesai selipar Adidas yang sudah sedikit usang diletakkan berhampiran pasu bunga di tangga masjid. Walaupun jemaah lain kesemuanya sudah berada dalam saf tapi Rizo sempat lagi menoleh ke pasu bunga tempat dia meletakkan seliparnya. Mungkin selipar itu ada sentimental valuenya tersendiri. 

Saf pertama dan kedua telah penuh. Nasib baiklah mamat separa rendang yang baru sampai menemani Rizo di saf ketiga. Mamat yang dikatakan oleh Rizo itu adalah Hafizam. Sememangnya Hafizam ini sedikit rendah kalau nak dibandingkan dengan Rizo yang mempunyai ketinggian lebih kurang 6 kaki. 

Bergegas Rizo dan Hafizam ke saf ketiga dan terus meneruskan rukun solat dengan mengangkat takbiratul irham dan dengan segera rukuk. 

Sami'allaahulimanhamidah. 
Rabaanaawalakalhamdu.

Allahhu akbar.

"Eh!!! Kenapa lama sangat ni?," tiba-tiba soalan tersebut terdetik di hati Rizo.
"Lama sungguh ni, tak bangun-bangun", sekali lagi hati Rizo menanya.

Dalam keadaan tertanya-tanya itu, Rizo menoleh ke kiri dilihat Hafizam turut menoleh kepadanya. Cepat-cepat Rizo meletakkan dahinya di atas permaidani masjid semula. Sekali sekala sempat Rizo menoleh ke hadapan melihat jemaah yang lain tetapi masih lagi dalam keadaan sujud. Sekali lagi Rizo menoleh ke kiri dilihat Hafizam turut seperti gelisah. 

"Diaorang bi sembahyang apa tak bangun-bangun dari sujud ni", kegelisah. Rizo menjadi-jadi. 

Allahhu ..... Akbar!! 

"Aik dah duduk Tahiyyat Akhir ke"?, bisik Rizal seorang diri. 
"Argghhh tak pe lah", Rizo meneruskan solatnya. 

Assalamualaikum warahmatullah
Assalamualaikum warahmatullah

"Alamak habis dah ker Solat Isyak"? Sempat lagi Rizo menjeling Hasnizam disebelah.

Riaksi Hasnizam hanya cukup mengangkat keningnya yang tebal. 

Masya Allah. Rupa-rupanya tadi semua jemaah tersebut melaksanakan Solat Hajat. Patutlah Rizo tunggu tak bangun-bangun. Apabila melihat jam ditangan rupanya sudah menunjukkan jam 9.45 malam. Tersenyum sendiri Rizo dengan kejadian sebentar tadi. Nasib baiklah saf belakang hanya Rizo dan Hasnizam sahaja kalau ada makmum lain, malu besar Rizo. 

"Padah sungguhlah bila lama tak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada manusia inilah jadinya," bebel Rizo 

Tersenyum Rizo sambil menghembuskan asap rokok Dunhill yang dibeli sambil mengenyitkan mata kepada gadis penjual. 




Kalau ... Kalau boleh ... Kalau lah kan

Kalau lah kan. Kalau boleh lah kan. Kalau lah. 

Emmm dua tiga hari ni itulah perkataan yang sering bermain difikiran aku. Perkataan yang sering menimbulkan satu perasaan yang sangat gundah gulana. Satu perkataan yang sering membuatkan aku termenung seketika. Perkataan yang selalu membuatkan aku hampir jatuh air mata. 

Kalaulah aku diberi peluang untuk memusingkan kembali putaran jam di dinding kepada 10 tahun yang lalu atau 15 tahun yang lalu atau 20 tahun yang lalu. 

Kalau boleh lah aku diberi peluang untuk membina semula apa yang telah aku rancangkan di dalam kehidupan aku sebelum ini.

Kalaulah kan aku dapat kembalikan saat-saat aku membuat setiap keputusan di dalam realiti kehidupan. 

Tapi yang pasti itu semua mustahil. Pastinya ianya tidak akan berlaku sama sekali wakaupun Doremon itu wujud. 

Hari ini aku mesti kembalikan semula semangat aku, keputusan aku, pilihan aku, hala tuju aku. Bukan masanya lagi untuk aku toleh kebelakang lagi hari ini. Aku mesti mencetuskan aura peperangan di dalam lubuk hatiku dan diriku. 

Masa yang berlalu tidak akan berputar kembali. Saat yang telah pergi tidak akan bertemu lagi. Ini kehidupan aku. Ini keputusan aku. Ini realiti duniawi aku. Maka aku harus tempuhi ia dengan tabah. 

Itu janji aku untuk aku realisasikan kalau. 


Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...