Sunday, November 30, 2014

Setiap Awayday Ada Ceritannya

"Abang bangun dah pukul 6.30," kejut sang isteri.
"Allahuakhbar!!," jerit aku setelah melihat jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. 

Melompat aku dari katil lalu ke bilik air. Di luar Sang Goku dan Wan dah menunggu.  Konfrim kena lagi aku kali ni. Hari tu dengan Ejat, lepas tu dengan Bunkmad pulak. Pada mulanya nak bawak sang biru tapi last minit aku ambik keputusan untuk bawak sang hitam sebab sudah lewat.

Tepat jam 7.00 pagi kami bertiga gerak ke rumah sorang lagi musibat ni. Ingatkan dah tunggu depan pintu rumah tapi rupanya aku telefon baru bangun emmm Juna Juna kau pun sama. Perjalanan kami berempat bermula bersama sebiji lagi kereta menuju ke Muadzam Shah kerana van tunggu di sana. Buruk jugak muka Tok Moh dengan musibat yang lain tunggu kitaorang hahahaha. 

Perjalanan ke Muadzam Shah pada pagi itu agak sibuk mungkin disebabkan hari Sabtu ramai orang kahwin. Di suku jalan kami pelik kerana 2, 3 biji kereta bagi lampu tinggi. Arghhh sudah ada roadblok ker? JPJ ker? Mendapatlah aku kalau ada roadblok. Rupa-rupanya lori trelar bawak baja terbalik di Jambatan Paloh Hinai. Dugaan pertama sudah settle sebab semua sudah bangun, dugaan kedua pulak yang timbul. Kami terpaksa pusing ikut Pulau Manis, masuk Pekan dan masuk jalan Paloh Hinai melalui Pekan. 

Dugaan ke-3.
Kami singgah makan dahulu sebelum sampai di Muadzam Shah. Kedai makan ni buat hal ke-3 pulak. Mintak nasi lemak dikatakan abis sekali tengok ada lagi kena lipat la pulak. Tak cukup dengan itu Sang Juna mintak telur separuh masak 1 set, dia datang sebiji jer kicap tak bagi bila diminta sepinggan kicap dia bagi. Tapi seperti biasa Tok Moh nak sarapan pun guna kabel hehehehe. 

Selesai sarapan perjalanan diteruskan. Alhamdulillah jalan yang kami ikut boleh dilalui tanpa halangan. Tepat jam 11.00 kami tiba di Muadzam Shah dan menyambung perjalanan ke destinasi yang dituju. Tetapi kalau kalian nak tahu van apa yang Sang Cupot sediakan? Hahaha tidak dapat aku bayangkan van yang akan kami bawa adalah van masjid perghhh dah macam nak pergi operasi jer. 

Perjalanan lancar cuma apabila sampai di Johor Bharu hujan mula turun selebat-lebatnya. Dugaan lagi. Tepat jam 6.30 petang kami sampai di Imegresen Singapura. Sambil beratur untuk pemeriksaan imegresen pelbagai cerita lawak yang keluar. Yang pasti cerita Sang Cupot mendapat ranking yang paling tinggi. 

"First time! First time!" sambil tersenyum sinis macam kerang busuk. Tak cukup dengan itu ada pulak yang menambah sampai nak calonkan Sang Cupot ni untuk Maharajalawak 2015 bersama-sama Tok Moh dan nama kumpulan mereka Cumoh. Orang lain relax je tapi bebudak ni macam dalam dunia mereka sendiri. Sedang kami bergelak ketawa di dalam imigresen Sang Juna dekat luar ada cerita tersendiri. Rupa-rupanya van yang kami bawa tidak dibenarkan bawa masuk kerana tiada surat pengesahan daripada majikan. Setelah menyelesaikan beberapa perkara akhirnya lepas juga kami untuk melangkah masuk bersama-sama van masjid Sang Cupot ni. Tapi ada juga halangan kecil sebelum tayar bermula untuk bergolek daripada Imigresen. Oleh kerana Tok Moh terlalu peramah beberapa keping gambar dan detail kami telah diambil oleh wakil daripada FAS kononnya seperti ingin membantu. Cepat-cepat aku suruh Sang Juna gerak dan jangan dilayan sangat. 

Perjalanan ke kotaraya Singapura ni sama seperti sebelum ini. Cuma yang kelainan adalah kali ini kami memandu sendiri. Tempat parking kami seperti yang dirancangkan iaitu di MRT Bugis. Ibarat pelancong asing abis semua orang kami tanya bagaimana nak menaiki MRT dan menuju ke stadium. Harga tiket pergi balik pun boleh tahan mahalnya $5.50 seorang. Akhirnya tepat jam 8.00 malam kami berjaya sampai ke stadium yang tidak dinafikan kecantikkannya. 




Akhirnya kami bersama-sama menggila di dalam curva Ultras Malaya hingga ke tiupan wisel yang terakhir dan meraikan kemenangan pasukan kesayangan Malaysia. Kami bertolak pulang keluar daripada Kota Singa tepat jam 11.45 malam dan sampai ke destinasi di Kuantan tanah air Malaysiaku tercinta.



Terima kasih musibat semua ..... Terima kasih pemain Harimau Malaya ..... Terima kasih pihak pengurusan ...... Terima kasih ..... Kita jumpa 7 Disember 2014 di Stadium Shah Alam dan 11 Disember 2014 di Hanoi Vietnam. 






Saturday, November 29, 2014

Pelukan sang anak

Sang anak yang masih kecil menggoyang-goyangkan badan sang ibu yang terlantar tidak bergerak. Diciumnya dibahagian muka, tidak juga bergerak. Di angkatnya tangan sang ibu, pun sama tidak jugak bergerak. Digoyang-goyangkan kepala sang ibu, tetap sang ibu tidak bergerak. 

Orang ramai yang hadir dan melihat kejadian itu cuba untuk meleraikan sang anak dengan sang ibu tetapi tidak berjaya kerana pegangan sang anak cukup kuat. Dipeluk di dalam dakapan tangan kecil sang anak sambil memandang ke sekelilingnya orang-orang yang berkerumun melihat kejadian itu. 

Atas dasar keperimanusian orang-orang yang ada disekeliling membantu mengangkat sang ibu yang tidak lagi bernyawa untuk dikebumikan. Digalinya lubang sebagai tempat terakhir kepada yang telah pergi. Pabila lubang telah siap digali dimasukkan sang ibu ke dalamnya. Sang anak turut masuk walaupun cuba dihalang oleh orang yang datang tetapi tidak berjaya. 

Di dalam lubang sang anak tetap cuba mengerakkan sang ibu dan memeluknya. Tetapi apakan daya sang anak yang masih kecil mungkin tidak memahami yang sang ibu telah pergi buat selama-lamanya. Sekali lagi orang ramai cuba meleraikan pelukan sang anak tetapi tidak berjaya. Pelbagai cara digunakan tetap tidak dapat melepaskan pelukan kasih sayang antara seorang anak dan ibu. 

Hinggalah saat untuk ditimbuskan dengan tanah barulah sang anak mengurangkan pelukan dan sepantas kilat orang ramai yang membantu memegang sang anak lalu dibawa naik ke atas. Upacara kebumian diteruskan dengan menimbuskan tanah dan menabur bunga-bunga di pusara sang ibu. Sang anak meronta supaya dilepaskan supaya dapat bersama dang ibu di bawah sana. Hinggalah ada orang yang ikhlas membuatkan susu di dalam botol lalu diberikan kepada sang anak. Barulah sang anak kembali tenang sambil menghisap susu yang diberi. 

Begitulah kasih seekor anak monyet terhadap ibunya. Haiwan yang tidak mempunyai akal fikiran mampu untuk menyayangi ibunya. Bagaimana pula kisah manusia yang mendera ibu mereka sendiri? Bagaimana pula kisah manusia yang meninggalkan ibu mereka di tepi jalan atau di rumah orang tua-tua? Bagaimana pula kisah manusia yang membunuh ibu sendiri? Tepuk dada tanya iman di dada. 

Mengalir air mata Afi Darwisy pabila ibu menunjukkan youtube kisah sang monyet yang kematian ibunya. 
"Kesian dia ibu," perlahan dan tersekat-sekat suara sang kecil.
Alhamdulillah mudah-mudahan Afi Darwisy paham isi kandungan tayangan daripada youtube tersebut. Dan pabila besar nanti ingatlah jasa ayah dan ibu sesungguhnya syurga di bawah telapak kaki ibu. 


Tuesday, November 25, 2014

Ibu!! Afi Nak Nasi

Hari ini hari ke-4 Afi Darwisy selesai menjalani pembedahan tonsil. Alhamdulillah nampaknya sang kecil telah semakin stabil. Walaubagaimanapun sang kecil tetap kena berpantang selama 6 minggu sepertimana yang telah dimaklumkan oleh doktor. 

Nak dijadikan cerita mulai hari ini aku mengeluarkan undang-undang di dalam rumahku iaitu tiada siapa yang boleh makan di dalam rumah. Kenapa aku tak bagi sesiapa makan di dalam rumah? Jawapannya aku tak sanggup melihat sang kecil menelan air liur dan melihat aku makan sedangkan dia terpaksa makan bubur dan ais kream sahaja. 

Baru kejap tadi sedang aku menjamu selera berlaukan ikan bawal masak pedas yang juga kegemaran sang kecil, dia melihat saja aku makan. Tapi jelas kelihatan dari air muka sang kecil dan dari tekaknya yang menelan air liur. 

"Ibu!! Afi nak nasi," keluar suara dari mulutnya.
"Afi sakit, Afi makan nasi bubur ye," pujuk sang ibu.
"Tak nak!! Afi nak nasi," jerit sang kecil perlahan.

Saat itu sayu jer hati aku. Dan mulai saat itulah aku bagi tahu sang isteri mulai esok tidak perlu masak dan makan di rumah. Akhirnya sang ibu datang dengan membawa nasi yang sedikit lembik dan dituangnya kicap sebagai perisa. Dengan penuh selera makan lah sang kecil nasi lembik berkuahkan kicap. Betullah kata orang kalau ada salah sorang dalam rumah yang berpantang pastinya satu rumah kena berpantang. 

.... Tabahlah wahai anakku 
.......... Ayah dan ibu tahu kamu kuat .....




Ayuh Malaysia AFF Suzuki 2014

Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2014 atau lebih dikenali sebagai Kejohanan Piala AFF 2014. Kejohanan ini telah menjangkau usia 10 tahun dan kali ini Vietnam dan Singapura adalah tuan rumah bersama. Kali ini skuad negara yang diketuai oleh Jurulatih Dollah Salleh berada di kumpulan B bersama Thailand, Singapore dan Myanmar. 

Untuk perlawanan pertama pasukan negara berjaya mencuri 1 mata setelah seri tanpa jaringan dengan Myanmar. Walaupun Malaysia bermain 10 orang lebih kurang 60 minit perlawanan tetapi Myanmar tidak mengambil peluang tersebut. Walaubagaimanapun ada sedikit peningkatan dari segi permainan yang dipamerkan oleh anak buah Dollah Salleh. 

Pada hari Rabu ini pasukan negara akan berhadapan pula dengan Thailand yang telah menang perlawanan pertama menentang Singapura dengan jaringan 2-1. Seterusnya pada hari Sabtu nanti perlawanan terakhir peringkat kumpulan adalah bertemu dengan pasukan tuan rumah iaitu Singapura. 

Kejohana kali ini mendapat kritikan ramai sebenarnya dari segi penganjuran. Di antaranya ada sesetengah penyokong yang dihalanag untuk memasuki stadium malahan melepasi border. Selain daripada itu penyokong Malaysia tidak dibenarkan membawa bendera sebagai lambang kemegahan ketika menyanyikan lagu Negaraku, lagu kebangsaan kita sedangkan pasukan lain dibenarkan. Pemilihan tempat duduk juga mendapat kritikan kenapa penyokong Malaysia perlu duduk di Grandstand yang harganya lebih mahal sedangkan ada tempat duduk lain. Tidak cukup dengan itu kawalan keselamatan yang cukup ketat ke atas penyokong Malaysia sedangkan penyokong lawan berlengang kangkung memasuki stadium. 

Kena perlu ada 'double standard' diantara Malaysia dengan pasukan lain? Adakah kerana ianya adalah serangan psikologi ke atas pasukan negara? Tiada siapa yang dapat jawapannya hanya Persatuan Bola Sepak Singapore sahaja yang boleh menguraikan segala persoalan itu. 

Walaubagaimanapun itu semua tidak akan menjejaskan perangcangan pasukan kebanggaan kita dan tidak akan mematahkan semangat penyokong-penyokong Malaysia malah ianya adalah seperti suntikan semangat untuk terus menyokong sehingga titisan darah yang terakhir. 

Ayuh Malaysia tunjukkan taring mu ...
Kami akan sentiasa berada dibelakangmu .... 
Secara jujurnya aku berkeyakinan dengan skuad AFF 2014 ini sekurangnya bermain di pentas akhir. 


Sunday, November 23, 2014

Terima kasih semua ....

Setiba dirumah Afi Darwisy hanya mampu untuk tidur sahaja, mungkin disebabkan mamai dengan saki baki ubat bius yang masih ada. Disuruh makan ais kream dia tak mau, disuruh makan ubat dia tak mau, disuruh minum air pun dia tak mau. Mungkin rasa sakit dibahagian bedah sudah mula dirasai. Nak tak nak aku terpaksa memaksa sang kecik makan juga ais kream sedikit dan ubat. Walaupun meronta dan menanggis aku buang perasaan kesian demi kesihatan sang kecil. 

Apabila malam menjelang kesan bius semakin hilang. Orang dewasa pun akan merasai kesakitan jika kesan bius telah habis inikan pula sang kecil. Perasaan kesian aku semakin membuak-buak. Tanpa aku sedari air mata aku mengalir perlahan. Rengekkan sang kecil betul-betul membuatkan aku pilu dan sedih. Tetapi ada sedikit perubahan di mana sang kecil sudah mula menerima ubat untuk ditelan dan ais kream beserta air. 
Waktu tidur sang kecil sekejap-sekejap akan tersedar dan menanggis kecil kerana kesakitan yang dirasai. Selama ini aku tidak pernah tidur-tidur ayam. Kalau sudah namanya tidur pasti tidak sedar apa-apa. Tapi kali ini setiap kali terdengar rengekan sang kecil pasti aku akan terjaga. 


Hari kedua.
Pagi Ahad aku bangun sambil mengerakkan sang kecil. Alhamdulillah mudah untuk gerak dari tidurnya. Aku mengajak sang kecil mandi, diturutinya. Selesai mandi aku mengajak sang kecil untuk makan ubat dan ais kream, alhamdulillah juga dituruti. Tetapi ada rahsianya. Aku berjanji untuk bawa sang kecil mandi di Gambang Water Park jika dia sudah sembuh sempenuhnya. Maksud sembuh sepenuhnya adalah seperti sang kecil sudah boleh makan benda-benda yang keras dan tidak lagi berasa sakit. 

Sehingga kini keadaan sang kecil semakin stabil. Kadang-kadang terasa kesian jugak tadi apabila sang kecil meminta nasi untuk dimakan. 
"Afi kena makan bubur jer macam adik sofia (kawan di rumah pengasuh)," pujuk sang ibu.
Afi Darwisy hanya mampu untuk mengangguk perlahan. Selepas ini pasti aku akan sorok-sorok untuk makan. 

Esok aku akan ke Temerloh untuk outstation diharapkan sang kecil akan semakin sihat. Sang ibu akan menemani sang kecil kerana cuti panjang yang dimohon oleh sang isteri diluluskan. Terima kasih sayang. 

Diharap selepas pembedahan ini, tidur malam sang kecil tidak lagi terganggu. Begitu juga dengan kesihatannya. 
Terima kasih doktor, 
Terima kasih jururawat,
Terima kasih sang isteri,
Terima kasih keluargaku,
Terima kasih jiran tetangga,
Terima kasih kawan-kawan yang mendoakan kesihatan sang kecil,
Terima kasih semua,
Terima kasih.


Afi Kuat Ayah : Pembedahan Tonsil

"Afi! Afi Darwisy!," dengan perlahan aku mengerakkan sang kecil.
10 saat kemudian barulah sang kecik kembali berdengkur dalam tidurnya tapi kali ini tersekat-sekat. Aku menjadi panik termasuklah sang isteri. Dan kami ambik keputusan untuk bawa Afi Darwisy berjumpa doktor keesokkan paginya. 

Sebenarnya sudah lama Dr. Fauziah Klinik Sulaiman Bukit Setongkol suruh kami rujuk ke hospital besar dan menyarankan untuk melalukan pembedahan buang tonsil tetapi aku tidak sanggup kerana usia Afi Darwisy kecil lagi ketika itu iaitu 3 tahun. Tapi lama  kelamaan waktu tidur sang kecik ini sering terganggu kerana dengkuran dan yang terbaru dia putus nafas. 

Kami menguatkan semangat untuk membawa sang kecik berjumpa dengan doktor pakar bagi tujuan pembedahan membuang tonsil. Prosedur untuk melakukan pembedahan tidaklah susah. Sebelum kita pergi ke Unit Otorinolaringologi aku perlu ambik surat rujukan daripada mana-mana klinik untuk mendapat pengesahan. Seperti biasa aku ambik surat rujukan tersebut di Klinik Sulaiman Bukit Setongkol klinik panel keluargaku. Hari itu rezeki aku sungguh baik. Kami dapar berjumpa Doktor Fauziah dengan mudah kerana pesakit yang menunggu tidak ramai. Apabila selesai aku terus ke HTAA. Seperti tadi setiba di HTAA bagaikan telah tersedia tempat letak kereta untuk kami. Dan di Klinik Otorinolaringologi pun tidak ramai orang maka mudahlah segala urusan. 

Rupa-rupanya doktor yang memeriksa Afi Darwisy adalah pelanggan Dhedaun Picture tahun lepas, maka lagi sekali aku mengucapkan Alhamdulillah. Pemeriksaan kecil dilakukan seperti memeriksa berat, tinggi, keadaan tonsil dan sebagainya. Setelah dipersetujui maka Afi Darwisy kompom akan dibedah pada 22 Disember 2014. 

Walaubagaimanapun sekali lagi nasib menyebelahi kami sekeluarga. Aku mendapat panggilan daripada doktor di unit tersebut bahawasanya tarikh pembedahan Afi Darwisy akan dipercepatkan iaitu pada 22 November 2014. Aku terus bersetuju kerana makin cepat lagi bagus. Manakal tarikh temujanji adalah 20 November 2014.

Temujanji Afi Darwisy adalah jam 8.30 pagi. Setiba aku di Unit 
Otorinolaringologi sudah ramai orang yang menunggu. Nasib baik Afi Darwisy ada temujanji. Doktor yang memeriksa Afi Darwisy adalah Doktor Adam. Setelah memastikan sang kecil tidak demam dan kondisi kesihatan beliau sihat maka sang ibu menurunkan tandatangan bagi mengesahkan pembedahan. Seterusnya sample darah Afi Darwisy perlu diambil. Alhamdulillah sang kecil tak menanggis ketika jarum suntikan memasuki di pelipat sikunya, kata sang kecil "Afi kuat".

Pada jam 2.00 petang pula kami perlu hadiri ke Unit Bius untuk sesi taklimat dan pengesahan penjaga. Waktu ni aku sedikit berdebar apabila mendengar taklimat daripada Doktor Reza. Saat itu aku membuat keputusan bahawasanya untuk dibedah tidaklah risau tetapi semasa bius bertama dan apabila bius telah abis, saat itulah kerisauan mula bermain di dalam diri. Nak tak nak aku turunkan tandatangan bagi mengesahkan untuk dibius. Afi Darwisy tidak perlu untuk admit di wad kerana jarak antara rumah dengan hospital tidak jauh. Tapi kami perlu ada di pusat jagaan harian tepat jam 7.00 pagi Sabtu hari pembedahan sang kecil. 

"Abang! Bangunlah abang, bukan gerak nak pegi kerja ni," kedengaran suara sang isteri sedikit bengang sebab aku tak bangun-bangun dari tidurku.
Aku melangkah longlai ke bilik air, mana tidaknya tak cukup tidur. Kami sampai tepat pada masanya di Pusat Jagaan Harian. Giliran Afi Darwisy adalah nombor dua kerana ada sorang kanak-kanak berumur 2 tahun akan dibedah terlebih dahulu. Giliran pembedahan adalah mengikut umur pesakit kata doktor. 




Katil nombor 10 menjadi katil untuk sang kecil. Pada mulanya sang kecil tidak mahu tukar pakaian tapi setelah dipujuk akhirnya Afi Darwisy mengalah. 

"Afi Darwisy!," panggilan untuk sang kecil untuk dibawa ke dewan pembedahan. Saat ini debaran jantung aku semakin laju. Afi Darwisy tak nak duduk di atas katil yang disediakan jadinya terpaksalah aku dukung dari Pusat Rawatan Harian ke Dewan Bedah Utama HTAA. Afi Darwisy dalam perjalanan hanya mendiamkan diri termasuklah aku. Setiba di Dewan Bedah Utama pelukan sang kecil semakin kuat. Sang ibu diarahkan untuk menukar pakaian yang dikhaskan untuk meneman sang kecil di dalam dewan bedah buat sementara waktu hingga kesan bius yang diletakkan dimulut sang kecil berkesan. Sememangnya aku kalah dalam situasi sebegini dan sememangnya aku sedar wanita lebih tabah dan kuat. 

Sang kecik meronta tidak mahu dibius. 5 orang jururawat terpaksa memegang sang kecil hinggakan ada yang terkena sepakan ala-ala penjejak badai dari sang kecil. Jam 9.30 pagi sang ibu keluar dari Dewan Bedah, ini bermakna sang kecil dah selamat dibius dan hanya menggunakan bantuan pernafasan dengan mesin yang disalurkan di dalam mulutnya. 

Kata doktor masa perbedahan hanya 1 jam tapi jam ditangan sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi, masih belum ada tanda-tanda pintu keluar Dewan Bedah Utama akan dibuka. Tepat jam 11.45 pagi, "Ibu Afi Darwisy," suara manis dari jururawat memanggil. Sang ibu bergegas masuk ditinggalkan beg dan barangnya di bangku. Cepat-cepat aku mengambil barang dan mengikut dari belakang tapi tidak kesampaian kerana pintu telah ditutup. Kedengaran sayup-sayup suara Afi Darwisy menanggis berteriak. Aku terkejut dan berdoa. 




Setengah jam kemudian lebih kurang pukul 12.15 tengah hari 2 orang jururawat dari Pusat Rawatan Harian keluar dari lif dan mengambil katil. Ok Afi Darwisy akan dipindahkan ke wad harian, detik hati kecil ku. Benar dugaan aku kerana Afi Darwisy sudah dibenarkan keluar dari dewan bedah selepas dia stabil dan mulai sedar. 

"Afi Darwisy!" Aku memanggil sambil buat tanda peace. 
Sang kecil membuka mata dalam keadaan mamai dan kembali menutup mata.





 Aku diberi slip ubat untuk diambil di Lobi Makmur HTAA. Boleh tahan banyak ubat sang kecil ni. Setiba aku di wad kelihatan Afi Darwisy dah muka sedar sepenuhnya tetapi kesan bius masih ada kalau tak menangis tidak henti lah dia. Afi Darwisy akan dibenarkan pulang kalau dia sudah kencing, sudah boleh minum dan makan ais krim. Jadinya aku berusaha untuk Afi Darwisy pas semua arahan tersebut. 

"Afi jom gi kencing dari pagi Afi tak kencing", ajak aku dengan penuh kasih sayang.
Pada mulanya sang kecil mengelengkan kepala, tetapi setelah diajak 2-3 kali alhamdulillah akhirnya sang kecil akur. Ais kream pun telah abis dimakan bersulamkan dengan air sejuk. Setelah selesai doktor pembedahan dan bius melawat akhirnya Afi Darwisy dibenarkan untuk balik ke rumah. Terima kasih kepada mama Afi Darwisy (pengasuh) sekeluarga, Kak Sue, Sang Goku dan atuk nenek dari Jengka yang datang melawat sang kecil di wad. 



Tapi semuanya tidak selesai lagi kerana aku akan berhadapan dengan situasi dimana kesan bius akan mula hilang beberapa jam lagi. 

..... Bersambung ....

Friday, November 21, 2014

U-turn Di Arena Bola Sepak Malaysia

Istilah U-Turn zaman sekarang tersangat famous. Istilah U-Turn ni akan hangat diperkatakan bila akhir-akhir tahun seperti  sekarang ni. Semenjak bila perkataan U-Turn ini menjadi famous? Kalau sebelum ni perkataan ni hanya terdapat semasa kita nak ambik peperiksaan memandu. 

Pasukan yang baru mempertahankan Piala Malaysia iaitu Pahang juga tak lari dengan istilah U-Turn. Boleh dikatakan 6 pemain Pahang buat U-Turn kali ni. Fauzi Roslan, Hafiz Kamal, Razman Roslan, R. Gopinathan, Dickson Nwakaeme dan Azidan. 

Bermula dengan Azidan yang dikatakan untuk ke Perak tetapi kembali menyarung jersi Pahang. Diikuti dengan kapten yang sangat disayangi ramai Razman Roslan yang hangat dikatakan untuk kembali ke pasukan lamanya iaitu Selangor. 
"Saya rasa sebab utama saya kembali kekal dengan Pahang adalah kerana ikatan kekeluargaan antara semua terutama penyokong Pahang".
Alasan yang telah membuatkan air mata aku nyaris jatuh ke pipi. 



Dickson Nwakaeme yang dipanggil 'orang besi' oleh semua peminat bola sepak Malaysia juga tidak lari daripada istilah U-Turn. Hajat beliau untuk mencari angin baru dengan Liga Perancis membuat pusingan U-Turn untuk kembali ke Pasukan yang dipanggil Tok Gajah. Bukan kerana beliau tidak dapat menambat hati pengurusan di sana tetapi  gaji yang ditawarkan oleh pengurusan Pahang lebih tinggi dan menakjubkan. 


Kalau pemain ini tamak haloba dan tidak memikirkan masa depannya dalam keriar bola sepak, pendapatan sebanyak RM200 ribu menjadi tawaran yang paling bernilai di dalam kancah bola sepak Malaysia. Tak lain dan tidak bukan pemain sayap kiri pasukan Tok Gajah dan juga kebangsaan, R. Gopinathan. Pihak JDT 1 telah menawarkan satu jumlah yang sangat tinggi untuk pemain lincah ini. Tetapi berbekalkan semangat cintakan tanah air beliau menolak tawaran 200 ribu daripada JDT 1. U-Turn yang dibuat membuatkan beliau akan kembali menguasai sayap kiri Pasukan Pahang tahun akan datang. 


Lain pula cerita daripada pemain tengah Pahang yang juga pemain kebangsaan yang akan beraksi untuk Kejohanan AFF di Singapore minggu hadapan. Nama Hafiz Kamal sudah sinonim sebagai seorang arkitek bagi Pahang. Pemain yang menggunakan kaki kirinya sebagai peledak dan menghantar bola kepada penyerang menjadi buruan kepada Pasukan PDRM musim hadapan. Kontrak beliau bersama Pahang diteruskan dan membuatkan PDRM berputih mata untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Pahang ini. 


Manakala pemain yang terakhir membuat U-Turn adalah Fauzi Roslan a.k.a. Koji. Isu beliau bersama pasukan Felda United boleh dikatakan telah selesai dimana penyerang berjersi 19 yang dikenali sebagai 'kawan budak Pekan' telah membuat keputusan untuk kekal bersama Pahang bagi musim akan datang.

Demikianlah istilah U-Turn yang kini diguna pakai di dalam kancah bola sepak Malaysia. Walauapapun istilah U-Turn sememangnya menjadi perbualan ramai di kala ini. 

 

Wednesday, November 19, 2014

Mentari Kembali Bersinar

2 hari jajahan Kuantan bumi juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 di basahi dengan hujan yang berpanjangan. Hujan yang membuatkan semua orang terutamanya yang tinggal di kawasan rendah menjadi resah gelisah. Kenangan dan pengalaman 2013 betul-betul dirasai keperitannya. 

2 hari langit yang indah dengan warna kebiruan dan dihiasi tompokan putih sang awan kelam dan gelap. Cuaca yang sejuk membuatkan pakaian diampaian tidak kering dan stok ikan dipasaraya menjadi kurang. 

Tapi hari ini segalanya berubah. Seawal pagi langit kembali kebiruan walaupun sang awan putih masih banyak mewarnai langit tinggi. Apabila melangkah ke tengah hari sang mentari kembali menyinari mengeringkan lopak-lopak air di tanah yang menjuarai Piala FA 2014. 

Manakala apabila petang mengambil alih daripada tengah hari sang mentari yang mula terbenam menyinari sungguh cantik. Merah yang keluar ditambahi dengan warna oren yang mencukupkan rasa keindahan petang hari. 


Alhamdulillah keresahan penduduk Kuantan mula hilang kerana satu hari tiada titisan air yang jatuh dari langit. Maka keringlah pakaian di ampaian. Hilanglah bau hapak di dalam kereta. Surutlah air-air longkang yang sebelum ini memenuhi dan mendebarkan penduduk setempat. 

....... Kadang-kadang tatkala tiada hujan kesian sang tanah kerana kemarau tapi kadang-kadang tatkala tiada panas kesian sang tanah kerana tengkujuh......


Kau Bernama Intan

Aku terhencut-hencut keluar dari gelanggang futsal. Setiap permulan kulit badan ku bermandi dengan peluh. 
"Nah! Degilkan I kata tak payah main, nak main jugak", Intan menghulurkan 100 plus sambil membebel kepadaku.

Inilah hobi aku diwaktu malam. Berfutsal walaupun lututku masih bengkak kerana kecederaan lama berulang kembali. Dan tak lupa juga aku memperkenalkan Intan satu-satunya insan yang aku cintai. Pertemuan kami di gelanggang futsal semasa kejohanan IMetro tahun lalu membawa kepada bibit-bibit cinta sehingga sekarang. 

"U lepas ni hantar I balik terus ye", Intan kembali bersuara sambil menutup air yang aku teguk tadi.
"Laaa tak nak gi pekena sup dulu ker?", tanya aku sedikit tak puas hati. 
"Tak lah kot, badan rasa macam tak sihat pulak", jelas Intan.
"Kalau macam tu tak pelah abis main ni karang I hantar lah U", lalu aku kembali ke gelanggang. 

Pagi hari aku menjadi tidak keruan. Dari jam 8.00 pagi tadi sehingga sekarang jam 11.30 pagi panggilan aku tidak dijawap oleh Intan. 
"Kemana pulak perginya minah ni?" Gerta aku sendirian.
"Semalam kata tak sihat, hari ni tak sihat lagi ker?" Satu persatu persoalan bermain difikiran aku. 

Kunci Honda Civic di atas meja aku capai  dan bergegas keluar untuk menuju ke rumah Intan. Sepanjang perjalanan aku masih tabah untuk dail nombor telefon Intan tapi seperti pagi tadi dan sebelum ini, tiada jawapan dan balasan. Hati aku jadi tidak selesa dan resah. Bermacam-macam bermain difikiran aku. Intan sakit?, Intan pengsan?, Intan hilang? Semua tinggal tanda soal tiada jawapan. 

Stereng Momo kepunyaan Honda Civic hitam aku kilas sebelah tangan memasuki lorong ke rumah Intan. Pagar biru menjadi perhatian aku. 

"Aik kereta tak ada", aku mula panik.
Sekali lagi aku mencapai I Phone 5S yang dihadiahkan oleh Intan selepas I Phone 4S aku tenggelam di dasar lubang tandas awam akibat kecuaian aku. Seperti biasa panggilan aku tidak dijawab. Saat itu hanya satu jalan yang perlu aku ambil untuk mengetahui kemana Intan pergi. Creeet crett tayar Michelin Honda Civic aku berbunyi. Tanpa menghiraukan bonggol dihadapan aku redah jua tanpa memperlahankan had laju keretaku. 
"Come on Intan pick up your phone please" kesabaran aku sudah tidak dapat dibendung. 

Setiba di perkarangan rumah yang dikelilingi dengan pokok rambutan yang merah buahnya kelihatan ramai yang berpakaian baju melayu dan berkopiah. Tidak ketinggalan yang wanita berbaju kurung dan bertudung. Hati aku semakin laju berdenyut. Fikiran aku tidak lain dan tidak bukan hanya satu iaitu kematian. 

Enjin Honda Civic Hitam yang sedikit kotor dek tanah merah Kampung Pasir tidak sempat ku matikan dan aku biarkan  pintu terngaga luas. 
"Intan! Intan!" Jerit aku bagaikan orang gila.
"Hei! Hei! Roy kamu kenapa ni?" Mak Leha ibu kepada Intan menjerit dengan tangan dipinggang. 
"Erk... Mak... Eh! Makcik ... Intan mana Intan?", tanya aku sambil kepala aku kekiri dan kekanan. 
"Masya Allah Roy ... Roy... Intan dalam bilik tu tengah bersiap, yang kamu ni bila nak bersiap?", tanya Mak Leha. 

Aku kebingungan. Secara spontan aku ke dinding rumah yang baru dicat dengan warna kuning cair. 19 November 2010 yang dibulatkan dengan pen merah membuatkan mata aku terbeliak besar. Masya Allah aku nikah hari ni!! 

"Abang!! Kenapa abang tak siap lagi ni?" Intan kelihatan sangat cantik dengan baju songket putih. 
"Erkk Intan abang lupa hari ni kita bernikah", aku kaget sendirian. 
"Apa abang ni? Nak kahwin dengan intan  ke tak ni?" Nada Intan dah berubah.

Tanpa menjawab soalan Intan aku bergegas pergi, tangga yang menjadi tempat aku duduk ketika datang merisik bulan lepas aku lompat je. Nasib baik Kampung Pasir ni sebelah jer dengan Kampung Jambu iaitu kampung aku. Rupanya di kampung ku kecoh sebab aku tak sampai-sampai lagi sedangkan petang karang aku akan dinikahkan dengan gadis pujaan hatiku. 

"Ayahhh!!!" Lamunan aku terhenti. 
Nurul Darwisyah berlari terkedek-kedek ke arah aku. 
"Nurul dah balik ye ibu mana?" Tanya aku sambil mengusap rambut panjang sang anak anugerah yang dihadiahkan kepada aku dan Intan. Intan tersenyum melihat telatah Nurul bersama aku. Aku membalas senyuman manis sang isteri tercinta. Ya Allah terima kasih kerana kau kurniakan seorang isteri yang cantik dan solehah bersama seorang anak perempuan yang comel dan putih bagaikan bidadari.




Monday, November 17, 2014

I see I shoot

Semalam aku tewas lagi dengan masakan dari sang isteri tercinta. Mana taknya sebelum tu ketam masak lemak. Semalam pari bakar perghhh maunya tak meleleh air liur bila bau masakan yang sungguh enak tu. Biar pun jam dah menunjukkan pukul 2.00 pagi tapi nafau makan aku kalau sang isteri masak memang tak dapat dibendung. Sedang aku menikmati hidangan awal pagi tiba-tiba sang kecil yang pada mulanya nyenyak tidur menegur aku. 
"Ayahhh!!", panggil sang kecil.
"Ye sayang... Afi Darwisy nak susu ker?" Tanya aku sambil pari bakar memasuki ruang mulutku.
Sang kecik hanya mengelengkan kepalanya lalu keluar dari bilik dan seperti mencari sesuatu. Aku dapat agak apa yang sedang dicarinya itu. Pastinya kamera yang aku telah hadiahkan kepadanya. 

"Ayah tadi Afi ambik banyak gambar", sambil meletakkan dagunya di meja makan.
"Ye ke ni? Ayah makan dulu nanti ayah tengok ye", ujar aku sambil menambah nasi sepinggan lagi.

Pada belah pagi tadi aku tergerak hati untuk memberi sang kecik ini kamera Canon 40D aku. Kamera itu adalah kamera pertama sekali aku guna di dalam arena fotografi perkahwinan. Aku ni jenis tak suka jual barangan peribadi aku. Aku lebih suka simpan sebagai kenangan. Berbekalkan lens 50mm 1.8 aku pasangkan pada Canon 40D tersebut dan mengajar sang kecik cara-cara untuk menggunakannya. Bagaikan seorang jurugambar profesional sang kecik beraksi. Pelbagai gaya yang dia tunjukkan. Aku berpesan kepada sang kecik.
"Afi Darwisy dengar sini elok-elok, Afi boleh tangkap apa sahaja yang Afi Darwisy tengok dan lihat ok", ujar aku sambil pegang kedua bahunya. 
"Ok ayah", jawab sang kecik pendek.

Bermulalah kisah baru dalam hidup sang kecik dengan kameranya. Abis semua dia snap. Dan abis semua barang-barang aku dan mainan dia susun untuk dia ambik gambar. Sambil melihat gelagat sang kecik aku terfikir sesuatu iaitu buka akaun Instagram untuk Afi Darwisy supaya aku boleh kongsi dengan semua orang gambar-gambar yang telah dia snap. Yesss !!! Afi Kampungboy itulah nick name untuk Instagram sang kecik. 


Teruskan berkarya Afi Darwisy semoga suatu hari nanti kamu akan terkenal dan gambar-gambar kamu akan terpampang dimajalah mahupun di mana sahaja. Ayah dan ibu akan sentiasa menyokong kamu dari belakang.

Gambar pertama dari Afi Darwisy


Di hari kedua "I see I shoot"


Saturday, November 15, 2014

Satu Hari Dua Cerita

Hari ni aku dapat dua cerita yang mengejutkan. Pertama aku dapat khabar berita tentang senior aku semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis sedang menjalani pembedahan kedua disebabkan ada tumor di dalam otaknya. Dan satu lagi berita adalah ayah kepada kawan aku Along baru sahaja meninggal dunia. Dalam masa 1 hari dua kisah ini membuatkan aku terdiam seketika. 

Harap Khairi Abdullah tabah menerima ujian yang Allah berikan. Manakala kepada Along bersabar dan kuatkan semangat kerana manusia akan mati jua. 

".........Al-Fatihah......"

Thursday, November 13, 2014

Allahyarham Mokhtar Dahari Tiada Gantinya

Hari ini kalau kita buka laman-laman sosial semua penuh dengan cerita dan kisah tentang seorang lagenda negara suatu masa dahulu. Tidak cukup dengan itu di televisyen juga semua berita menyiatkan perjalanan dan suka duka lagenda ini. Seorang lagenda yang tidak akan dilupakan oleh setiap orang terutamanya kepada peminat-peminat bola sepak tanahair. Mungkin anak-anak kecil kita hari ini tidak mengenali lagenda ini, tetapi percayalah apabila mereka meningkat dewasa pastinya kisah lagenda ini akan diperbualkan dan bermain di bibir mereka. 

Lagenda yang aku maksudkan adalah Allahyarham Mokhtar Dahari. Seorang pemain bola sepak dan kebanggaan negara pada suatu masa dahulu. Supermokh, nama gelaran yang diberi sememangnya sinonim dengan tuan empunya badan.


Walaupun telah lebih 20 tahun beliau meninggal dunia, namun aksi-aksinya di padang pasti kekal terpahat sepanjang zaman. Apa tidaknya, sejarah kegemilangan bola sepak negara yang dicipta oleh beliau dan rakan-rakan seperjuangan merupakan detik-detik yang paling indah di arena bola sepak negara. 

Bayangkan, sepanjang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, Allahyarham Mokhtar Dahari telah mencipta 125 jaringan. Allahyarham telah mewakili negara sebanyak 167 kali. Manakala jumlah jaringan gol oleh beliau dalam Piala Malaysia ialah sebanyak 177 jaringan. Rekod ini merupakan pencapaian paling terbaik sebagai seorang pemain negara dan sehingga ke hari ini tiada lagi pemain yang dapat menyaingi rekod yang telah Allahyarham cipta.

Allahyarham Mokhtar Dahari yang menyarung jersi no 10 ini sememangnya digeruni oleh pemain-pemain bola sepak rantau Asia setiap kali bertanding di dalam dan luar negara. Malah ketika berusia 23 tahun, sekitar tahun 1976, Allahyarham diiktiraf oleh Majalah World Star Soccer sebagai penyerang tebaik Asia. Manakala pada tahun yang sama juga beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. Suatu yang sangat menakjubkan. 



Tatkala itu banyak negara-negara luar dan kelab-kelab luar berminat untuk beraksi bersama team negara. Di antaranya Arsenal, England, Kuwait, Korea Selatan, dan sebagainya. Allahyarham juga berkesempatan untuk beraksi bersama-sama dengan Lagenda Argentina yang turun memakai nombor jersi yang sama iaitu Diago Maradona.



Setelah sekian lama menabur jasa dan mengharumkan nama negara dalam arena bola sepak, detik-detik derita akhirnya singgah dalam hidup Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau diserang oleh penyakit ganjil yang menyebabkan beliau tak bermaya dan hilang tenaga. Lebih 60 orang doktor dan pakar perubatan tradisional telah menawarkan diri untuk merawatnya beliau. Kesudahannya beliau telah disahkan menghidap sejenis penyakit yang dipanggil Mascular Dystrophy dan berlepas ke London untuk rawatan lanjut. Namum usaha tetap sia-sia Allahyarham pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan dan akhirnya belaiu terpaksa berkerusi roda. 

Akhirnya tanggal 11 Julai 1991, pada jam  8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang. Pemergian beliau amat dirasai oleh semua peminat bola sepak ketika itu. Kini segala telah lama berlalu. Nama Allahyarham juga telah terpahat di Akademik Bola Sepak Negara yang dibangunkan di Gambang, Kuantan dengan gelaran Akademik Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari. Dikesempatan ini marilah kita sama-sama sedekahkan Surah Al-Fatihah semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. 

Al-Fatihah.......



Tuesday, November 11, 2014

Open Booking For 2015

Hari ini Dhedaun Picture sudah mula untuk buka tempahan kepada sesiapa yang ingin mencari fotografer perkahwinan. Ada beberapa pakej yang akan digunakan bagi mengharungi tahun 2015. Jangan lepaskan peluang ini. 


For wedding photography package :
call/whatsapp 
Email : dhedaunpicture@gmail.com
FB: www.facebook.com/dhedaunpicture
Instagram: Dhedaun Picture
#dhedaunpicture #malaywedding #wedding #weddingpromotion #solemnization #photography #weddingpotrait #love #lovewedding #friends #pakejwedding 


Sunday, November 9, 2014

Kau tunggu Abby Salleh

Bila nak start tournament baru lah terhegeh-hegeh nak cari stamina, nak cari rentak, nak ringankan badan dan sebagainya. Kalau tak, makan tak ingat, kesihatan badan biarkan jer. Citenya bermula semalam bila aku beli tali skipping bak kata coach Abby Salleh. 

"Aok dah tau nak buat apa kalau training, aok biasakan main skipping jer Bayu". Suara sang Abby Salleh kedengaran dicuping telinga aku. 

Bila dah beli apa lagi kasi terus cuba la bermain dengan skipping. Perghhh nak dapat 50 kali pun kawan dah mengaj dah 2-3 kali berhenti, inikan pulak Sang Abby Salleh suruh biasakan skipping sampai 100 sekali main. Tapi cabaran dari musibat Pekan tu kawan sahut. 

Nak dijadikan cerita pulak masa friendly petang tadi lawan set Elephant Army punyalah berat badan aku ni. Kalau dah masa warming up pun aku fail bola atas dengan kanan apa tah lagi masa game bermula. Tak leh terima sebenarnya aku tembus bola-bola macam petang tadi. Tapi apa pun aku kena terima jugak lah sememangnya aku dah tak fit semenjak dua menjak ni. 

Kepada Sang Abby Salleh, aku sahut cabaran aok sebelum sepak mula Liga Peladang dan Makswip kat Perlis bulan 12 depan. 

.... Nak seribu daya ....
      ..... Tak nak berdalih-dalih .....


Datuk Lee Chong Wei Positif Ujian Doping

Arena sukan dunia digemparkan dengan pengambilan dadah oleh seorang atlet terkenal Malaysia. Seorang atlet yang bergelar juara dunia dan seorang atlet yang sering menjadi pertaruhan untuk mencapai kejuaraan. Atlet yang dimaksudkan ialah Datuk Lee Chong Wei (DLCW), pemain badminton negara dan nombor satu dunia. 

Kedua-dua sample ujian air kencing DLCW didapati sah positif dan DLCW sendiri dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz bersama-sama Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh berangkat ke Norway untuk melihat sendiri ujian terhadap sampel B dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo. Kesemua mereka amat berpuas hati dengan ujian yang dilakukan terhadap kedua-dua sample yang diuji.

DLCW positif ujian doping bagi sampel A menggunakan air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas. Ujian tersebut mendapati kehadiran bahan terlarang jenis ‘deksametason’ semasa ujian dijalankan.

Deksametason, ialah sejenis kortikosteroid yang kuat dan biasa digunakan dalam rawatan alergik. Penggunaan deksametason secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

Pengguna juga boleh mengalami sindrom Cushing yang dicirikan dengan muka membulat dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil. Kesan lain termasuk lemah otot dan kesan pada kulit yang serius iaitu sindrom Stevens-Johnson.

Deksametason digunakan untuk mengubati sakit lutut, sakit urat, letih, sakit bahu, bengkak ringan, sakit pinggang dan lenguh-lenguh seluruh badan. 

Walaupun yang berlaku, aku tetap menyebelahi DLCW. Beliau telah banyak bekorban untuk negara. Tidak keterlaluan kalau aku katakan Dikotak fikirannya hanya ada badminton dan negara sahaja. Mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya. 2 tahun pergantungan adalah satu jangkamasa yang agak lama. Apa yang akan pihak BAM dan MSN akan lakukan dengan ketiadaan DLCW?. Siapa yang mampu mengantikan tempat beliau? Semua persoalan yang sangat menakutkan bagi peminat-peminat sukan badminton tanahair.

Kepada DLCW gunakan masa rehat ini sebaik mungkin. Semoga selepas ini anda kembali, anda mampu untuk mengegarkan kembali arena badminton dunia. 



Afi Darwisy Berhipster


Gambar di ambil menggunakan handphone sang ayah. 

Saturday, November 8, 2014

Pilihan Afi Darwisy

Setiap kali aku jalan-jalan ke East Cost Mall (ECM) di Kuantan ni kompom aku akan masuk ke Al-Ikhsan di tingkat 1. Beli atau tidak itu perkara nombor dua. Tapi yang pasti aku mesti masuk usha apa yang patut. Hari ini pun sama apabila melakukan aktiviti bersiar-siar dengan keluarga di ECM. Cuma hari ini sebenarnya aku ada misi untuk mencari sepasang kasut bola kedua. 

"Ayah!! Mana baju yang kecik?" Tanya si kecil.
"Afi Darwisy carilah tengok kalau ada ye", jawab aku sambil membelek sepasang kasut Adidas. 

Sang ibu hanya melihat kedua beranak yang citarasa semakin hari semakin sama. Jenis aku ni bukannya mudah untuk membeli sesuatu barang. Pegang.... Letak balik.... Pegang semula.... Letak semula.... Begitulah berterusan. Mana tidaknya, semenjak berkeluarga banyak yang perlu difikirkan. Keutamaan dah jatuh kepada sang anak dan sang isteri.

"Ayah!!! Nak baju ni", jerit sang kecil.

Baju Adidas berwarna biru telah dipegang dan diletakkan di badannya seperti mahu mencuba. 

"Ala biru lagi", sapa sang isteri.
"Aah ... Afi Darwisy dah banyak baju biru, kita cari yang lain ye", pujuk aku.
"Ok", jawab sang kecik sepatah.
"Afi Darwisy! Come, cuba baju ni", sambil aku membelek saiz.

Setelah dicuba dan cantik dipandang aku mengambil keputusan untuk membeli baju berkain jersi warna merah cap Adidas. Sang kecik bersetuju lalu aku kembali membelek kasut bola yang betul-betul menjadi pilihan aku. Sedang aku memilih sang kecik buat onar. 

"Ayahhh!! Nak tuuu", sambil memuncungkan mulut.
"Apa dia"? Tanya aku.
"Tuuu..." Kali ini sang kecik menggunakan jari telunjuknya.
"Glove?, Afi Darwisy nak sarung tangan?" Tanya aku berulang kali bagaikan tidak percaya.

Afi Darwisy hanya menganguk perlahan dengan wajah yang penuh harapan. Biar betul budak ni. Sarung tangan keeper dimintanya. 

"Afi Darwisy kena pilih, nak baju ker nak sarung tangan?" Sang ibu mula bersuara.
"Ayah beli satu jer, so Afi Darwisy kena pilih baju atau sarung tangan" jelas sang ibu lagi.

Lama sang kecik ni mikir. Kiri kanan dia pandang. Mungkin dalam kotak fikiran dia sedang berkecamuk untuk buat pilihan diantara baju dan glove. 

"Afi nak ni lah", akhirnya keputusan telah dicapai. Glove keeper menjadi pilihan. Aku biarkan keputusan yang dibuat. Sebagai seorang ayah atau ibu kadang-kadang perlu bagi peluang kepada seorang anak untuk membuat pilihan. Asalkan pilihan yang dibuat tidak memudaratkan atau menyusahkan. 

Kesudahannya kasut yang aku cari tidak dibeli, lalu kami keluar hanya dengan sarung tangan keeper kepunyaan Afi Darwisy. 

Di rumah terus mencari bola dan sang kecik memakai sarung tangan tersebut dan berlagak seperti seorang penjaga gol yang hebat. Aku biarkan sang kecik terbang menghempaskan badannya di atas permaidani. Berguling menangkap bola keseorangan. Janji sang kecik puas hati dengan pembelian yang dia sendiri buat pilihan. Manalah tahu suatu hari nanti boleh mewakili Pahang dan seterusnya Malaysia sebagai seorang penjaga gol kan. 


Musibat berbaju hitam

Tahun silih berganti. Daripada satu kumpulan kecil yang terdiri daripada beberapa orang anak muda yang berpakaian jersi kebanggaan negeri mereka iaitu Pahang kini mereka telah melangkah gagah dalam satu kumpulan yang besar dan terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Dahulunya mereka hanya bertemankan dengan paluan kompang kini alatan muzik moden menjadi pilihan di dalam keriuhan di stadium. Suatu ketika dahulu mereka digelar orang gila yang kena sawan tapi kini mereka disanjung dan menjadi ikutan oleh semua peminat bola sepak tanahair. 

Jatuh bangunnya Negeri Pahang di dalam arena bola sepak, mereka tetap berada di belakang sebagai pemain ke 12. Suatu ketika dahulu mereka hanya memenuhi satu teres sahaja, kini mereka terpaksa berpindah ke curva lain untuk menampung jumlah musibat yang semakin bertambah. Peningkatan ini sangat menarik minat aku untuk mencoretkan sepatah dua kata di dalam entri baru aku ini. 

Mereka digelar Elephant Army atau sinonim dengan tentera bergajah zaman Rasulullah dahulu kala. Mereka juga mengelarkan diri mereka sebagai pemain ke-12. Mereka menyokong sepenuh hati mereka. Mereka melompat bersama. Mereka chant bersama. Mereka merealisasikan pergerakkan bersama. Mereka berganding bahu bersama. Beridentiti dengan berbaju hitam dan bermafla tidak lupa juga berkasut. Mencerminkan disiplin mereka di dalam curva. Sentiasa mematuhi arahan daripada sang capo Ejat dan Chenko. Tidak lupa juga arahan-arahan daripada abang-abang curva crew (cc) dituruti bagi memudahkan setiap perilaku yang dicadangkan. 


Kewujudan mereka juga masa kini memberi peluang kepada orang luar untuk mengambil kesempatan. Kenapa aku berkata sedemikian? Ianya adalah kerana semakin banyak barangan-barangan yang berlogokan Elephant Army terjual di merata tempat terutamanya di persekitaran stadium. Mereka lupa bahawasanya logo Dan tulisan Elephant Army telah di daftarkan dengan Myipo di bawah Akta Perlindungan Hak Cap Dagangan 1976. Pernah sekali pihak KPDNKK membuat serbuan di persekitaran stadium dan banyak barangan musibat ini dirampas. Hanya pihak Curva Sebelas Official Store (CURSOS) sahaja yang diberi hak rasmi untuk menjual barangan mereka.


Apabila bercakap tentang ultras yang membawa maksud diluar batasan mainan seperti flare, smoke bomb, kertas, panji, tifo, coreo dan pelbagai lagi sinonim dengan pergerakkan mereka. Pergerakkan ini semakin berkembang ketika Pahang bermain di Liga Perdana dan Stadium Perbandaran Temerloh menjadi saksi kewujudan mereka yang semakin menjadi nadi kemeriahan di dalam stadium. Sehinggalah mereka kembali ke Stadium Darul Makmur Kuantan, stadium keramat pasukan Pahang Gate 11 menjadi port untuk mereka mengila bagaikan dunia ini mereka yang punya. Ketika itu penyokong lain mula menerima sedikit demi sedikit pergerakkan musibat-musibat yang dahulunya dipanggil orang gila kerana terjerit-jerit sambil memukul kompang. Daripada teres bawah di Gate 11 berkembang ke teres atas mewarnai sebahagian tempat duduk penyokong dengan warna hitam.

Semakin hari skuad Pahang semakin menunjukkan peningkatan. Di barisi pemain-pemain yang kebanyakkannya hanya memanaskan bangku simpanan di pasukan lama mereka tapi tidak di Pahang. Tidak lupa juga kepada barisan pemain import yang menjadi nadi kepada kejayaan-kejayaan Pahang di musim-musim kebelakangan ini. Menjuarai Piala Malaysia 2013, Piala Sumbangsih 2014, Piala FA 2014 dan yang terbaru juara Piala Malaysia 2014. Kejayaan demi kejayaan ini membuatkan kapasiti Gate 11 semakin padat maka mereka berhijrah ke curva sebelah supaya mampu untuk menampung penambahan komrad yang setia di belakang pasukan. Masa kini kawasan baru sedikit selesa untuk musibat-musibat berbaju hitam ini meneruskan pergerakkan mereka. 



Apabila semakin besar semakin ramai idea mereka semakin padu. Beberapa tifo telah mereka jayakan, rasanya sampai sekarang telah ada sebanyak 5 tifo dan 1 tidak berjaya untuk dinaikkan kerena rosak dek kesilapan teknikal. Selain daripada itu mereka juga telah mampu untuk melaksanakan coreo yang canggih setanding dengan ultras-ultras dari luar seperti mana yang mereka sajikan di perlawanan akhir baru-baru ini. Permainan panji juga tidak ketinggalan di mana mereka memiliki beberapa batang panji yang mampu menghuru harakan curva dengan hayunan mengikut rentak chant yang dilontarkan. 






Kini usia mereka sudah mencecah 4 tahun. Walaupun Stadium Darul Makmur terletak di Kuantan, ianya tidak mematahkan semangat musibat dari daerah lain untuk bersama-sama berganding bahu memeriahkan suasana curva. Anak Kota (TNT), Kolepeh Guerella, Budak Liar, Jerantut Regiment, Temerloh Beware, Komrad Bentong, Rauborko, Jengka Mania dan yang terbaru Komrad Bera. Kewujudan mereka bukanlah sebagai pencabar atau kumpulan baru bagi Elephant Army tetapi merekalah nadi Elephant Army di daerah masing-masing. Saluran untuk menyampaikan maklumat, memudahkan perjualan barangan Cursos dan sebagainya. Struktur Geografi Negeri Pahang yang luas dan berbukit bukau membuktikan taat setia mereka tidak boleh dipandang remeh serta dipertikaikan.

Saat ini tiada masa untuk menoleh ke belakang lagi. Terus maju ke hadapan. Pertingkatkan kepaduan suara tidak kira ketika sedang mendahului atau ketinggalan. Perkemaskan pergerakkan setiap pergerakkan yang dicadangkan. Jangan malas untuk clapping diudara. Jangan malas untuk menggunakan mafla semaksimum mungkin dan jangan malas untuk melompat bersama-sama. Jangan kita menyokong hanya ketika menang dan di atas kerana ianya bagaikan lalang yang ditiup angin. 

Perhebatkan lagi pukulan-pukulan drum bass dan snare. Jangan hanya untuk menunjuk-nunjuk lilitan merah yang tertera DL di lengan. Pukulan-pukulan yang berhantu daripada musibat berlilit merah amat ditagih terutamanya kepada sang capo di atas stand dan juga kepada mudibat-musibat yang lain. Pastikan mereka mengila demi sokongan untuk negeri tercinta. Sama juga dengan malaun-malaun yang berlilit kuning di lengan. Anda adalah role model kepada musibat yang lain dan fan yang lain. Jangan syok sendiri mengarah supaya orang lain menjerit sedangkan sang cc bertengek menonton perlawanan. 


Kesimpulannya, apa yang mereka ada hari ini cukup membanggakan. Penyatuan di antara mereka, penonton biasa, barisan pemain dan pihak pengurusan sangat memberangsangkan. Pemain memerlukan sokongan dari penyokong dan penyokong memerlukan yang terbaik daripada pemain. Mereka diibaratkan seperti aur dengan tebing dan bagaikan isi dengan kuku. Teruskan berjuang wahai si baju hitam. Semarakkan sokongan ke-12 kalian demi Pahang tercinta. Walaubagaimanapun jangan lupa kepada negara di bawah panji Ultras Malaya tatkala misi AFF akan berlangsung tidak lama lagi.   

.... Hitam putih terus bersemadi...
.......hitam putih kau tetap dihati....
.........selamanya Elephant Army ......
............selagi kami di sini ..................
..............hitam putih kau tetap di hati .....

Gadis Bertudung Singkat

Setiap hari semasa waktu rehat tempat aku menjamu selera tidak lain dan tidak bukan di bawah pokok beringin yang sentiasa ditemani oleh...