Friday, January 6, 2017

Seribu Satu Cerita 2016

2016 melabuhkan tirainya dan kehidupan akan diteruskan bagi tahun 2017. Segala kenangan 2016 dijadikan pedoman dan pengajaran serta pemangkin diri ke arah wawasan hakiki. Bagi aku 2016 merupakan zaman kejatuhan aku di dalam kehidupan aku. Tiada apa yang dapat dibanggakan pada angka 2016. Cukup sekadar aku masih mampu berdiri membimbing anak isteri di dalam menjalani erti kehidupan di muka bumi Allah ini. 

Di dalam keperitan kehidupan aku masih bersyukur kerana isteri tercinta dan anak tersayang masih di sisi mengisi ruang hidupku. Susah senang ku merekalah yang menjadi tempat aku untuk mengadu. Biar pun aduan aku itu tatkala mata mereka telah tertutup rapat lena diulit mimpi di malam hari. 

Tatkala aku dilanda resah dan tertekan wajah kesayangan aku ini juga tempat aku mengadap. Keceriaan dan kecantikkan dua insan istimewa ini benar-benar menghilangkan rasa gundah gulana dan keresahan di jiwa aku. Benarlah kata orang tua-tua apabila kita mengahwini seorang isteri maka kehidupan kita pasti akan berubah menjadi lebih baik kerana tolenrasi dan hormat menghormati. Dan tatkala kita dikurniakan seorang anak maka rezeki dari Allah pasti akan hadir cuma masa dan ketikanya sahaja menjadi penentu. Terima kasih sayangku Siti Nurbaizura binti Mohd Noor dan terima kasih anakku Afi Darwisy. 


Kerjaya aku emmm biasa-biasa sahaja tiada yang menarik dengan kerjaya hakiki yang telah aku sain aku janji 11 tahun dahulu. Aku masih di Unit Kaunseling Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Negeri Pahang. Tahun ini pelbagai dugaan telah aku tempuhi. Ada yang mampu aku telan dan ada yang aku tersungkur pasrah terima dengan penuh keredhaan. Jemputan demi jemputan program telah aku kotakan. Berjuta ilmu aku luahkan dari minda dan mulutku buat kanak-kanak, remaja, ibubapa dan masyarakat Pahang khasnya dan Malaysia amnya. Pastinya tahun baru yang menjelang ini akan aku pertingkatkan cara kerja aku demi sesuap nasi untuk keluargaku.



Sesungguhnya ekonomi Malaysia tidaklah sebaik ekonomi negara lain. Peningkatan harga barang dan penambahan cukai baharu seperti GST membuatkan aku terpaksa mencari kerja sampingan untuk diri aku dan keluargaku. Bukanlah niat dihati ini untuk menjadi kaya raya tetapi cukuplah sekadar untuk kehidupan lebih selesa. Tahun ini juga Dhedaun Picture Studio telah ditutup oleh aku dan rakan kongsiku. Tutup bukan bermakna berkuburnya Dhedaun Picture tetapi tutup kerana untuk mengurangkan kos overhead kami berdua. Sebelum ini bil api di studio mencecah RM200 sedangkan tahun 2016 hanya RM12.00 sebulan. Terasa satu pembaziran kerana kami tidak menggunakan semaxsimum mungkin studio yang telah kami bina 2 tahun yang lalu. Walaubagaimanapun Dhedaun Picture tetap berjalan seperti biasa merakamkan saat-saat indah pasangan pengantin di hari perkahwinan mereka. Selain itu Dhedaun Picture juga merakamkan sang kecil anugerah dari Illahi kepada kedua ibubapa dan juga merakamkan asam garam gelak ketawa di majlis-majlis keraian. 

Tahun 2016 juga adalah merupakan tahun aku 'full swing' di dalam dunia sukan fotografi. Boleh dikatakan seluruh negeri di Malaysia telah aku jelajahi bersama Gawang.My. Terima kasih kepada Pahang FC dan Shahzan Muda Sport Club kerana menjadikan aku sebahagian di dalam keluarga mereka untuk aku terus melangkah ke dunia sukan fotografi. Selain daripada itu  


Gawang.My juga telah mempunyai fotografer di seluruh negeri dan itu juga salah satu pengalaman baru bagi aku pada tahun 2016. Tanpa agensi yang diilhamkam oleh Saudara Lihasrizad aku tidak mampu untuk berdiri megah menyarungkan tshirt yang bertakhtakan tulisan dan logo Gawang.My. Kenangan aku yang tidak dilupakan bersama Gawang.My ini adalah turun naik turun naik kapal terbang. Ketika itu aku menaiki kapal terbang dari Kuantan ke Kuala Lumpur dan menaiki kapal terbang lain untuk ke Kuching pula. Selasai perlawanan di Kuching aku terbang terus ke Sabah pula. Selesai segalanya di negeri di bawah bayu kembali ke pangkuan keluarga. Sememangnya keletihannya tidak terhingga tetapi aku puas. Aku puas merakamkan segala aksi di dalam dunia sukan fotografi. 



2016 juga merupakan tahun di mana Afi Darwisy menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dengan menjaga ibunya di hospital tatkala sang ibu menjalani pembedahan tonsil. Pada mulanya aku hanya ingin menduga sejauh mana akal Afi Darwisy, lalu aku sengaja memberi tahu sang kecil bahawasanya aku hendak pulang ke pejabat sebentar. Sebenarnya aku menyorok di bahagian belakang dan memperhatikan dari jauh apa yang dia lakukan ketika aku tiada. Senyuman terukir di wajahku pabila aku lihat beliau setia di samping ibunya. Dan ada masa-masa tertentu beliau memberikan air serta melap mulut ibunya dengan kain tuala yang tersedia. 



Begitu juga apabila Afi Darwisy menjaga nenek saudaranya yang sakit diserang stroke. Jika dirakamkan aksinya cekak pinggang tatkala memarahi nenek saudaranya supaya makan dan jangan menangis membuatkan aku ketawa sendirian. Sesungguhnya Allah mengurniakan aku seorang anak yang boleh diharap dan menjadi anak yang soleh.


Sesungguhnya 2016 separuh daripadanya adalah kenangan manis aku dan separuh lagi adalah kenangan pahit aku yang aku pusingkan menjadi pemangkin di dalam diri aku. 2016 ini juga membuatkan aku kembali ke posisi asalku di arena bola sepak. Terima kasih kepada V83 yang sudi mengambil aku sebagai pemain mereka. Layanan dan kebajikan daripada pihak pengurusan V83 sememangnya membuatkan aku akan beraksi dengan penuh semangat kesukanan dan menanamkan ayat kemenangan di dalam jiwa ragaku. 


Mungkin ada yang tertinggal di dalam penceritaan aku kali ini untuk melabuhkan tirai 2016. Mana yang ada ini itu sahaja yang termampu untuk aku coretkan. Dan kesemua kisah di dalam ini tiada kena mengena yang hidup atau pun yang telah tiada.

No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...