Telah menjadi kebiasaan di dalam kamus hidup ku volume radio di dalam kamar hanya terpaku di nombor satu. Samar-samar lagu Jesnita daripada Kumpulan Exist berkumandang di corong radio hitamku. Teringin untuk aku kuatkan radio tersebut untuk menikmati setiap ungkapan lirik lagu Jesnita di kala terbayangkan wajah manis Afiza.
"Jesnita kali pertama terpandang wajah...", aku melayani perasaan di malam Jumaat.
"Haikal!!!! Tutup radio tu!! Belajar! Jangan nak dengar radio jer!!", jerit Mak Ngah Peah pangkat ibu saudara kakak ayah aku yang berlingkar di hadapan televisyen di ruang tamu.
Cepat-cepat aku tutup radio dan buat-buat mengulangkaji buku sejarah sedangkan di bawahnya tidak lain dan tidak bukan buku skrap yang telah aku buat sendiri untuk ku conteng cerita aku. Tidak dinafikan pengaruh komik Blues Untuk Aku betul-betul memainkan peranan utama apabila aku ingin berkarya dengan contengan cerita mahupun lakaran kartun ala-ala blues.
Seminggu 7 hari kesemuanya dan seminggu itu jugalah jadual kehidupan aku bagaikan buah catur yang di susun rentak langkahnya. Pabila malam menyingkap tirai waktunya, tatkala kesemua kewajipan telah ku laksanakan, maka peneman setiaku hanyalah sang hitam yang mendendangkan lagu-lagu yang diputarkan sayup-sayup kedengaran. Malam ini cerita-cerita cinta dari DJ yang bertugas. Diselangi dengan putaran lagu-lagu jiwang karat yang tangkap leleh mengimbau wajah-wajah keayuan gadis kelas sebelah. Siapa lagi kalau bukan Afiza. Biar pun aku tahu ianya cuma angan-angan tetapi aku puas dapat membayangkan matanya yang sepet, pipinya yang ditemani lesung pipit, hidungnya yang mancung mungkin kerana kacukan Pakistan, bibirnya yang berkilat segar mekar tatkala senyuman terukir dan dagunya yang runcing terdapat sedikit parut nakal mungkin terjatuh basikal.
Isyarat mata dan mulut kuarahkan kepadanya menandakan ada sesuatu di bawah meja. Tidak sempat ku nantikan senyuman mahupun jelir lidah, anak rambut di tepi telingaku terasa pedih di tarik oleh Cikgu Zaleha. Itulah kelebihan yang ada pada cikgu yang kecil molek tubuh badannya. Skill menarik sideburn memang kepakaran semenjak azali. Terangkat bahu bila jari kecilnya hinggap di lokasi yang menjadi kegemaran cikgu sejarah ala-ala Spa Q ni.
"Awak buat apa kat kelas orang lain ni?", senyuman sinis Cikgu Zaleha membuatkan aku terketar-ketar menjawabnya.
"Saya nak pinjam penyapu cikgu... Sakit cikgu sakit.. Adehh Adehh", semakin tinggi hikmat tarikan sideburn beliau maka semakin tinggilah badanku melonjak menahan kesakitan.
"Sejak bila pulak awak pandai menyapu ni Haikal? Setahu cikgu awak lah yang paling pemalas menyapu"
Fuhhh alhamdulillah akhirnya seksaan aku berakhir jua. Agaknya sudah tidak sampai nak menarik sideburn aku maka dilepaskannya.
"Cikgu, cuba cikgu tengok di belakang cikgu ada apa"? Kerakter aku bertukar menjadi seorang yang sangat berkeyakinan.
"Ada apa? Siapa?" Cikgu Zaleha menoleh ke belakang.
Sepantas kuda aku berlari masuk ke kelas aku sambil menyapu-yapu sideburn aku yang masih perit terasa bahangnya.
"Haikalllllll!!!!! Sini kamu, oooo kamu kenakan cikgu ye" jari telunjuk Cikgu Zaleha dibengkok-bengkok memanggil ku.
"Ala cikgu ni gurau-gurau takkan tak boleh. Nanti kalau saya dah habis belajar mesti cikgu rindu saya" ujar aku tersengih-sengih.
Sememangnya aku merupakan seorang pelajar yang paling nakal di sekolah dan yang paling aktif. Semua aktiviti dan semua persatuan aku sertai tapi yang paling aku akan ingat sampai bila-bila adalah Persatuan Geng Geledah.
Keesokkan harinya buku-buku yang ada di bawah meja aku ada peneman baru. Aku ambik peneman baru buku ku itu dengan perasaan yang sungguh luar biasa. Malangnya hari tersebut masa bagaikan terlalu lambat untuk berputar. Setiap detik jam di tangan ku perhatian. Setiap saat jam di dinding ku jeling tajam.
Kringggg!!!! Kringgg!!!
Larian aku bagaikan acara 100 meter di lapangan padang sekolah. Tidak pernah berlaku aku menunggu ibu saudara ku hari ini kerana kebiasaannya muka ketat Mak Ngah Peah sering menjadi pandangan pertama aku apabila balik sekolah.
"Hahh!! Kenapa tak makan lagi nasi tu? Dah pukul berapa ni nak pergi KAFA pulak" suara Mak Ngah Peah memecah keheningan tengah hari yang panas.
"Sayaaaa... Tak selera makan la Mak Ngah, kepala macam pening jer ni" wajah paling menipu aku cuba lakonkan.
"Dah tu tak pergi KAFA la tu?" soalan yang memang aku nantikan untuk hari ini.
"Saya rehat kat rumah la Mak Ngah, tak larat rasanya, kerja sekolah banyak pulak nak siapkan, malam nanti nak ulangkaji pulak" kalau tadi wajah penipuan kini wajah kesayuan beraksi.
"Oklah makan ubat tu kang, jangan main telefon pulak tak pergi KAFA tu kang", sambil bersiap untuk kembali ke pejabat.
Lampu brek Proton Saga Putih hilang dari padangan mataku. Peneman buku aku di sekolah tadi aku keluarkan dari beg. Aku masukkan ke tempatnya dan aku tekan butang 'play'.
"Sesungguhnya Haikal telah buat Fiza malu, tidak pernah terfikir cara Haikal gunakan ini untuk menyampaikan isi hati Haikal kepada Fiza.... Puas jugak Fiza mencari jalan macam mana nak mainkan kaset yang Haikal bagi ini, maklum lah rumah Fiza tiada radio. Tetapi cukup luar biasa, sememangnya Haikal adalah seorang lelaki yang berani dan kreatif tak salah lah kalau cikgu-cikgu sayang Haikal.... Ini pun Fiza pegi rumah sedara Fiza sebab Elin Sepupu Fiza tu dia ada 'Walkman' yang boleh rakam tu...
Haikal.... Sebenarnya Fiza memang suka Haikal, cuma Fiza segan.. Fiza malu... Ye la kita ni siapa lah bukannya pelajar yang pakai baju biru seperti Haikal, bukannya atlet harapan seperti Haikal... Kalau betul Haikal sukakan Fiza... Haikal kena buktikan sesuatu... "
" arghhhh senyap pulak radio ni... Takkan habis dah... Tergantung ni", aku pusingkan kembali kaset tersebut mana tahu kalau-kalau tersangkut atau terlepas.
"Belakang ke depan... Depan ke belakang... Sekali sekala bersilat jugak lah dengan radio hitam ni tepuk sana sini nak dengar penghabisan. Sah memang dia sengaja tak nak habiskan rakaman arghhhh", bentak hati kecil aku ketidakpuasan hati.
Setiap masa aku dengar dan aku ulang, dengar dan aku ulang hinggalah keesokan paginya di sekolah senyuman manis dari Fiza menambah keyakinan dan semangat aku untuk terus menjadi pelajar yang cemerlang di sekolah. Terima kasih Fiza dan pastinya aku akan pastikan permintaan kamu akan aku tunaikan dan buktikan. Di hari tersebut pastinya sebentuk cincin akan ku sarungkan di jari manis mu.
No comments:
Post a Comment