Monday, December 15, 2014

Teruskan Mengaum Harimau Malaya

Khamis ini dan Sabtu ini adalah merupakan dua tarikh yang paling bermakna di dalam kamus Persatuan Bola Sepak Malaysia amnya dan skuad negara khasnya. Skuad bimbingan Dollah Salleh berjaya melangkah ke pentas final Kejohanan Bola Sepak AFF 2014 dengan penuh dramatik. Bermula di peringkat kumpulan dengan sedikit rapuh seri dengan Myanmar, kalah tipis dengan Thailand walaupun sudah mendahului dan menang dengan Singapore di stadium baru mereka. 


Pertarungan di peringkat kumpulan tersebut membawa mereka melangkah ke perlawanan separuh akhir bertemu dengan Vietnam di mana perlawanan separuh akhir pertama telah berpihak kepada Vietnam dengan keputusan 2-1 walaupun Malaysia bermain di tempat sendiri yang dihadiri oleh 80 ribu penyokong harimau malaya. Tetapi Dollah Salleh melakukan magisnya sekali lagi dengan memastikan Malaysia layak berada di pentas akhir Piala AFF Suzuki 2014 nanti. 

Magis? Kenapa aku mengatakan Dollah Salleh seorang yang magis kerana beliau mampu mengubah situasi perlawanan dan berani membuat perubahan yang besar. Pada mulanya ramai yang mandang Dollah Salleh sama seperti jurulatih sebelum ini kerana memilih pemain yang sama dan disenaraikan juga orang kata kuda-kuda tua seperti Shukor Adan, Indra Putra Mahyuddin dan Saffee Sali. Selain daripada itu beliau juga dikritik kerana membariskan nama-nama yang tidak menonjol di dalam Liga Malaysia sepanjang 2014 ini seperti Mahali, Mat Yo dan Saffee sendiri. Tetapi sehingga ke hari ini nama-nama inilah yang telah membawa harapan kejuaraan kepada penyokong Malaysia pada 20 Disember nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil diperlawanan akhir kedua. 




Seperkara lagi magisnya Dollah Salleh ini adalah keberanian beliau dalam menyusun strategi di dalam pasukan. Aku berani komen kerana aku sudah dapat melihat bagaimana beliau membentuk pasukan Pahang dan mencorakkan pemain-pemain Pahang. Kalau dulu beliau mampu mengubah Poyeng bermain bukan sahaja di barisan pertahanan tetapi boleh bermain di tengah. Bagaimana beliau mengubah Yol bermain sayap kanan kepada pemain tengah dan penyerang. Begitu juga di dalam pasukan Malaysia sekarang di mana beliau mampu mengubah situasi dalam sekelip mata.

Keberanian yang paling ketara dilakukan oleh Dollah Salleh adalah memasukkan Abd Manaf dan Indra disaat-saat pasukan memerlukan kemenangan, ianya berhasil. Manakala meletakkan Kunalan di pertahanan kanan mengantikan Mahali juga merupakan satu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana jurulatih sebelum ini. Magisnya berjaya. Para pemain mampu mengalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin. 



Segalanya tertumpu kepada perlawanan akhir pertama di Thailand pada Khamis ini. Dengan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi oleh penyokong-penyokong setia harimau malaya yang akan terbang ke Bangkok nanti sejarah 2010 pasti akan terungkai kembali. Manakala pada hari Sabtu nanti Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi saksi kepada kejayaan yang mereka impikan selama ini menjadi kenyataan. Pastinya kapasiti 100 ribu penyokong stadium tersebut akan gempak gempita dengan sorakkan daripada pemain ke-12 Harimau Malaya. Ayuh Harimau Malaya teruskan mengaum sekuatnya dan segarangnya. Kembalikan maruah bola sepak Malaysia di mata Asia Tenggara, Asia, seterusnya dunia. 

No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...