Tuesday, June 10, 2014

Pahang Juara Piala FA 2014

Rasanya masih belum terlambat untuk kawan ucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Negeri Pahang Darul Makmur yang telah berjaya menambah koleksi piala dan kali ini adalah Piala FA. Perlawanan akhir yang menemukan pasukan Pahang menentang pasukan KL Felda United di Stadium Shah Alam pada 7 Jun 2014 baru-baru ini berkesudahan 2 berbalas 1. Gol-gol pasukan Pahang dijaringkan oleh Faizol Hussain pada minit ke 79 dan Dickson Nwakaeme pada minit 89 cukup membuktikan Pahang layak bergelar juara. Walaubagaimanapun pasukan Pahang dikejutkan dengan gol awal dari Junior Wilson pada minit ke 22.

Permainan pada malam itu sebenarnya cukup mendebarkan di mana KL Felda United lebih banyak menguasai bola sehinggakan memaksa Khairul Azhan penjaga gol Pahang terpaksa bekerja keras untuk memastikan pintu golnya tidak dibolosi. Walaubagaimanapun pada minit ke 22 Junior Wilson bijak meloloskan diri daripada pertahanan pasukan Pahang yang diketuai oleh ketua pasukan Razman Roslan fan menewaskan Khairul Azhan walaupun cuba di nafikan oleh Poyeng tetapi tidak sempat untuk menahan bola yang bergolek masuk ke sebelah kanan pintu gol Pahang. 

Selepas gol pembukaan itu kedua-dua pasukan berbalas serangan dan pada minit ke 37 Pahang berpeluang menyamakan kedudukan hasil daripada tandukan terbang Azidan tetapi palang gol menjadi penghalang. Jentera tengah pasukan KL Felda United yang diketuai oleh Indra Putra Mahyuddin langsung tidak gentar dan gugup walaupun pasukan ini pertama kali beraksi di pentas akhir. Babak pertama berkesudahan KL Felda United mendahului Pahang dengan jaringan 1-0. 

Babak kedua diteruskan dan sekali lagi peluang pasukan Pahang untuk menyamakan kedudukan hasil percubaan daripada Matias Conti dengan melakukan aksi akrobatik (half volley) berjaya di tampan kemas oleh penjaga gol Felda. 

Ribuan penyokong pasukan Pahang sekitar 50 ribu orang tampak resah hinggalah Zainal memasukkan Faizol Hussain dan jelas terbukti pencaturan yang dirancang membuahkan hasil. Tendangan jarak jauh yang sangat cantik dan laju mengegarkan gawang gol Felda. Gol tersebut jelas memberi semangat kepada 11 pemain di atas padang untuk menambah gol bagi memastikan Piala FA 2014 menjadi hak milik mereka. 

Akhirnya penyerang sensasi Pahang Dickson Nwakaeme memastikan kejuaraan menjadi milik mutlak Pahang. Hasil hantaran ke belakang oleh Zesh Rahman mengelirukan pertahanan pihak lawan dan dengan tenang Dickson merembat deras ke penjuru belah kiri gawang KL Felda United. Terduduk lesu anak buah Irfan Bakti setelah mendahului dengan jaringan Wilson tetapi di saat-saat akhir mereka kecundang dengan pasukan yang dilabelkan oleh peminat bola sepak tempatan dengan panggilan King Of Comeback. 

Tahniah Pahang setelah Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan kini Piala FA berjaya dijulang dan di bawa pulang ke bumi bertuah Pahang Darul Makmur. 


No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...