Sunday, January 11, 2015

Post Traumatic Respond Team

Pagi ni giliran team pejabat aku pulak turun padang bersama-sama dengan sukarelawan IKIP yang juga sahabat Kafe@teen Pahang. Destinasi yang kami tuju adalah tidak lain dan tidak bukan Temerloh. Kekuatan yang dibawa adalah seramai 44 orang sukarelawan dan 14 anggota LPPKN Pahang termasuk pensyarah IKIP sendiri. 


Pergerakkan sebiji bas, 1 van, 1 Hilux dan 1 kereta membelah LPT seawal pagi dan berhenti di RnR Temerloh untuk bersarapan pagi. Nasi lemak ayam disajikan sebagai pengalas perut untuk memulakan tugasan kemanusian di 4 buah lokasi yang telah dijanjikan. 

Tepat jam 10.00 pagi team telah sampai di checkpoint yang pertama iaitu di Hulu Temerloh di Kampung Paya Kecik. Paras air di sini pada masa banjir dahulu adalah setinggi atap rumah lebih kurang 15 kaki dalamnya. Rumah yang menjadi hala tuju kami adalah rumah sepasang warga emas. Keluasan rumah yang besar dan mempunyai dua tingkat memaksa kami membahagikan tugasan supaya tidak berterabur. 



Bayangkan lah rumah papan yang dilanda banjir dan ditengelami air selama 8 hari menambah cabaran kepada kami. Dinding-dinding rumah dan lantai abis reput. Kami terpaksa berhati-hati untuk mencuci takut-takut kalau papan yang kami pijak terpatah. Tapi dalam berhati-hati Sang Bob telah meriuhkan suasana kerana lantai yang dia pijak pecah dan kakinya mengalami sedikit kecederaan (terseliuh). 

Boleh dikatakan 90 peratus perabut tidak lagi boleh digunakan. Semuanya reput dan lembik kerana terlalu lama berendam di dalam air. 

Kerja-kerja pembersihan berterusan hinggalah jam 1.00 tengah hari. Alhamdulillah ruangan di dalam rumah seperti dapur, bilik dan ruang tamu telah bersih daripada lumpur dan hanya tunggu ianya kering. Selebihnya seperti pinggan mangkuk dan pakaian kami letakkan setempat untuk memudahkan mangsa untuk membasuh dikemudian hari. Kami tidak mampu untuk menghabiskan seratus peratus kerana masih ada 3 rumah yang perlu diselesaikan. 


Checkpoint ke-2 kami adalah di kawasan Paya Pulai. Di kawasan tersebut sama 
seperti di checkpoint 1 tadi di mana air sama paras dengan atap rumah. Strategi di Checkpoint ke-2, kami membahagikan  kepada 3 pasukan. Pasukan pertama juga ke rumah warga tua. Walaupun beliau mempunyai anak tetapi keadaan stornya tidak mampu untuk mereka selesaikan. Jadinya pasukan pertama ini hanya perlu membersihkan stor dan membuang barangan-barangan yang sudah rosak. 


Bagi pasukan ke-2, mereka perlu membersihkan sebuah rumah juga di kawasan yang sama. Bagaikan tidak disentuh oleh penghuni rumah tersebut maka pasukan ke-2 menjalankan tugasan mereka ditemani gelak ketawa dan senda gurau sesama sendiri.


Manakala bagi pasukan ke-3, mereka perlu membersihkan sebuah rumah warga emas yang tinggal berseorangan disebelah rumah yang kedua tadi. Sememangnya kehadiran sukarelawan seperti ini mampu meringankan beban mangsa-mangsa banjir kali ini. Sekaligus mampu membuatkan mereka kembali tersenyum. 

Ucapan terima kasih tidak lekang dari mulut mereka. Wajah keceriaan dan kegembiraan jelas terpampang di wajah mereka. Kami akhiri program kami tepat jam 5 petang dan kami kembali ke Kuantan dalam keadaan yang sangat memenatkan. Terima kasih kepada team LPPKN Pahang dan terima kasih kepada sukarelawan IKIP yang bermandi peluh dan lumpur bersama-sama. 


No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...