Thursday, November 13, 2014

Allahyarham Mokhtar Dahari Tiada Gantinya

Hari ini kalau kita buka laman-laman sosial semua penuh dengan cerita dan kisah tentang seorang lagenda negara suatu masa dahulu. Tidak cukup dengan itu di televisyen juga semua berita menyiatkan perjalanan dan suka duka lagenda ini. Seorang lagenda yang tidak akan dilupakan oleh setiap orang terutamanya kepada peminat-peminat bola sepak tanahair. Mungkin anak-anak kecil kita hari ini tidak mengenali lagenda ini, tetapi percayalah apabila mereka meningkat dewasa pastinya kisah lagenda ini akan diperbualkan dan bermain di bibir mereka. 

Lagenda yang aku maksudkan adalah Allahyarham Mokhtar Dahari. Seorang pemain bola sepak dan kebanggaan negara pada suatu masa dahulu. Supermokh, nama gelaran yang diberi sememangnya sinonim dengan tuan empunya badan.


Walaupun telah lebih 20 tahun beliau meninggal dunia, namun aksi-aksinya di padang pasti kekal terpahat sepanjang zaman. Apa tidaknya, sejarah kegemilangan bola sepak negara yang dicipta oleh beliau dan rakan-rakan seperjuangan merupakan detik-detik yang paling indah di arena bola sepak negara. 

Bayangkan, sepanjang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, Allahyarham Mokhtar Dahari telah mencipta 125 jaringan. Allahyarham telah mewakili negara sebanyak 167 kali. Manakala jumlah jaringan gol oleh beliau dalam Piala Malaysia ialah sebanyak 177 jaringan. Rekod ini merupakan pencapaian paling terbaik sebagai seorang pemain negara dan sehingga ke hari ini tiada lagi pemain yang dapat menyaingi rekod yang telah Allahyarham cipta.

Allahyarham Mokhtar Dahari yang menyarung jersi no 10 ini sememangnya digeruni oleh pemain-pemain bola sepak rantau Asia setiap kali bertanding di dalam dan luar negara. Malah ketika berusia 23 tahun, sekitar tahun 1976, Allahyarham diiktiraf oleh Majalah World Star Soccer sebagai penyerang tebaik Asia. Manakala pada tahun yang sama juga beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. Suatu yang sangat menakjubkan. 



Tatkala itu banyak negara-negara luar dan kelab-kelab luar berminat untuk beraksi bersama team negara. Di antaranya Arsenal, England, Kuwait, Korea Selatan, dan sebagainya. Allahyarham juga berkesempatan untuk beraksi bersama-sama dengan Lagenda Argentina yang turun memakai nombor jersi yang sama iaitu Diago Maradona.



Setelah sekian lama menabur jasa dan mengharumkan nama negara dalam arena bola sepak, detik-detik derita akhirnya singgah dalam hidup Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau diserang oleh penyakit ganjil yang menyebabkan beliau tak bermaya dan hilang tenaga. Lebih 60 orang doktor dan pakar perubatan tradisional telah menawarkan diri untuk merawatnya beliau. Kesudahannya beliau telah disahkan menghidap sejenis penyakit yang dipanggil Mascular Dystrophy dan berlepas ke London untuk rawatan lanjut. Namum usaha tetap sia-sia Allahyarham pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan dan akhirnya belaiu terpaksa berkerusi roda. 

Akhirnya tanggal 11 Julai 1991, pada jam  8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang. Pemergian beliau amat dirasai oleh semua peminat bola sepak ketika itu. Kini segala telah lama berlalu. Nama Allahyarham juga telah terpahat di Akademik Bola Sepak Negara yang dibangunkan di Gambang, Kuantan dengan gelaran Akademik Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari. Dikesempatan ini marilah kita sama-sama sedekahkan Surah Al-Fatihah semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. 

Al-Fatihah.......



No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...