Saturday, November 29, 2014

Pelukan sang anak

Sang anak yang masih kecil menggoyang-goyangkan badan sang ibu yang terlantar tidak bergerak. Diciumnya dibahagian muka, tidak juga bergerak. Di angkatnya tangan sang ibu, pun sama tidak jugak bergerak. Digoyang-goyangkan kepala sang ibu, tetap sang ibu tidak bergerak. 

Orang ramai yang hadir dan melihat kejadian itu cuba untuk meleraikan sang anak dengan sang ibu tetapi tidak berjaya kerana pegangan sang anak cukup kuat. Dipeluk di dalam dakapan tangan kecil sang anak sambil memandang ke sekelilingnya orang-orang yang berkerumun melihat kejadian itu. 

Atas dasar keperimanusian orang-orang yang ada disekeliling membantu mengangkat sang ibu yang tidak lagi bernyawa untuk dikebumikan. Digalinya lubang sebagai tempat terakhir kepada yang telah pergi. Pabila lubang telah siap digali dimasukkan sang ibu ke dalamnya. Sang anak turut masuk walaupun cuba dihalang oleh orang yang datang tetapi tidak berjaya. 

Di dalam lubang sang anak tetap cuba mengerakkan sang ibu dan memeluknya. Tetapi apakan daya sang anak yang masih kecil mungkin tidak memahami yang sang ibu telah pergi buat selama-lamanya. Sekali lagi orang ramai cuba meleraikan pelukan sang anak tetapi tidak berjaya. Pelbagai cara digunakan tetap tidak dapat melepaskan pelukan kasih sayang antara seorang anak dan ibu. 

Hinggalah saat untuk ditimbuskan dengan tanah barulah sang anak mengurangkan pelukan dan sepantas kilat orang ramai yang membantu memegang sang anak lalu dibawa naik ke atas. Upacara kebumian diteruskan dengan menimbuskan tanah dan menabur bunga-bunga di pusara sang ibu. Sang anak meronta supaya dilepaskan supaya dapat bersama dang ibu di bawah sana. Hinggalah ada orang yang ikhlas membuatkan susu di dalam botol lalu diberikan kepada sang anak. Barulah sang anak kembali tenang sambil menghisap susu yang diberi. 

Begitulah kasih seekor anak monyet terhadap ibunya. Haiwan yang tidak mempunyai akal fikiran mampu untuk menyayangi ibunya. Bagaimana pula kisah manusia yang mendera ibu mereka sendiri? Bagaimana pula kisah manusia yang meninggalkan ibu mereka di tepi jalan atau di rumah orang tua-tua? Bagaimana pula kisah manusia yang membunuh ibu sendiri? Tepuk dada tanya iman di dada. 

Mengalir air mata Afi Darwisy pabila ibu menunjukkan youtube kisah sang monyet yang kematian ibunya. 
"Kesian dia ibu," perlahan dan tersekat-sekat suara sang kecil.
Alhamdulillah mudah-mudahan Afi Darwisy paham isi kandungan tayangan daripada youtube tersebut. Dan pabila besar nanti ingatlah jasa ayah dan ibu sesungguhnya syurga di bawah telapak kaki ibu. 


No comments:

Post a Comment

Kisah Keletihan

K adang-kadang terasa letih yang amat sangat. Keletihan yang hadir membuatkan minda terus menerus memikir bagaikan tiada tanda noktah. Serin...