Sunday, November 23, 2014

Afi Kuat Ayah : Pembedahan Tonsil

"Afi! Afi Darwisy!," dengan perlahan aku mengerakkan sang kecil.
10 saat kemudian barulah sang kecik kembali berdengkur dalam tidurnya tapi kali ini tersekat-sekat. Aku menjadi panik termasuklah sang isteri. Dan kami ambik keputusan untuk bawa Afi Darwisy berjumpa doktor keesokkan paginya. 

Sebenarnya sudah lama Dr. Fauziah Klinik Sulaiman Bukit Setongkol suruh kami rujuk ke hospital besar dan menyarankan untuk melalukan pembedahan buang tonsil tetapi aku tidak sanggup kerana usia Afi Darwisy kecil lagi ketika itu iaitu 3 tahun. Tapi lama  kelamaan waktu tidur sang kecik ini sering terganggu kerana dengkuran dan yang terbaru dia putus nafas. 

Kami menguatkan semangat untuk membawa sang kecik berjumpa dengan doktor pakar bagi tujuan pembedahan membuang tonsil. Prosedur untuk melakukan pembedahan tidaklah susah. Sebelum kita pergi ke Unit Otorinolaringologi aku perlu ambik surat rujukan daripada mana-mana klinik untuk mendapat pengesahan. Seperti biasa aku ambik surat rujukan tersebut di Klinik Sulaiman Bukit Setongkol klinik panel keluargaku. Hari itu rezeki aku sungguh baik. Kami dapar berjumpa Doktor Fauziah dengan mudah kerana pesakit yang menunggu tidak ramai. Apabila selesai aku terus ke HTAA. Seperti tadi setiba di HTAA bagaikan telah tersedia tempat letak kereta untuk kami. Dan di Klinik Otorinolaringologi pun tidak ramai orang maka mudahlah segala urusan. 

Rupa-rupanya doktor yang memeriksa Afi Darwisy adalah pelanggan Dhedaun Picture tahun lepas, maka lagi sekali aku mengucapkan Alhamdulillah. Pemeriksaan kecil dilakukan seperti memeriksa berat, tinggi, keadaan tonsil dan sebagainya. Setelah dipersetujui maka Afi Darwisy kompom akan dibedah pada 22 Disember 2014. 

Walaubagaimanapun sekali lagi nasib menyebelahi kami sekeluarga. Aku mendapat panggilan daripada doktor di unit tersebut bahawasanya tarikh pembedahan Afi Darwisy akan dipercepatkan iaitu pada 22 November 2014. Aku terus bersetuju kerana makin cepat lagi bagus. Manakal tarikh temujanji adalah 20 November 2014.

Temujanji Afi Darwisy adalah jam 8.30 pagi. Setiba aku di Unit 
Otorinolaringologi sudah ramai orang yang menunggu. Nasib baik Afi Darwisy ada temujanji. Doktor yang memeriksa Afi Darwisy adalah Doktor Adam. Setelah memastikan sang kecil tidak demam dan kondisi kesihatan beliau sihat maka sang ibu menurunkan tandatangan bagi mengesahkan pembedahan. Seterusnya sample darah Afi Darwisy perlu diambil. Alhamdulillah sang kecil tak menanggis ketika jarum suntikan memasuki di pelipat sikunya, kata sang kecil "Afi kuat".

Pada jam 2.00 petang pula kami perlu hadiri ke Unit Bius untuk sesi taklimat dan pengesahan penjaga. Waktu ni aku sedikit berdebar apabila mendengar taklimat daripada Doktor Reza. Saat itu aku membuat keputusan bahawasanya untuk dibedah tidaklah risau tetapi semasa bius bertama dan apabila bius telah abis, saat itulah kerisauan mula bermain di dalam diri. Nak tak nak aku turunkan tandatangan bagi mengesahkan untuk dibius. Afi Darwisy tidak perlu untuk admit di wad kerana jarak antara rumah dengan hospital tidak jauh. Tapi kami perlu ada di pusat jagaan harian tepat jam 7.00 pagi Sabtu hari pembedahan sang kecil. 

"Abang! Bangunlah abang, bukan gerak nak pegi kerja ni," kedengaran suara sang isteri sedikit bengang sebab aku tak bangun-bangun dari tidurku.
Aku melangkah longlai ke bilik air, mana tidaknya tak cukup tidur. Kami sampai tepat pada masanya di Pusat Jagaan Harian. Giliran Afi Darwisy adalah nombor dua kerana ada sorang kanak-kanak berumur 2 tahun akan dibedah terlebih dahulu. Giliran pembedahan adalah mengikut umur pesakit kata doktor. 




Katil nombor 10 menjadi katil untuk sang kecil. Pada mulanya sang kecil tidak mahu tukar pakaian tapi setelah dipujuk akhirnya Afi Darwisy mengalah. 

"Afi Darwisy!," panggilan untuk sang kecil untuk dibawa ke dewan pembedahan. Saat ini debaran jantung aku semakin laju. Afi Darwisy tak nak duduk di atas katil yang disediakan jadinya terpaksalah aku dukung dari Pusat Rawatan Harian ke Dewan Bedah Utama HTAA. Afi Darwisy dalam perjalanan hanya mendiamkan diri termasuklah aku. Setiba di Dewan Bedah Utama pelukan sang kecil semakin kuat. Sang ibu diarahkan untuk menukar pakaian yang dikhaskan untuk meneman sang kecil di dalam dewan bedah buat sementara waktu hingga kesan bius yang diletakkan dimulut sang kecil berkesan. Sememangnya aku kalah dalam situasi sebegini dan sememangnya aku sedar wanita lebih tabah dan kuat. 

Sang kecik meronta tidak mahu dibius. 5 orang jururawat terpaksa memegang sang kecil hinggakan ada yang terkena sepakan ala-ala penjejak badai dari sang kecil. Jam 9.30 pagi sang ibu keluar dari Dewan Bedah, ini bermakna sang kecil dah selamat dibius dan hanya menggunakan bantuan pernafasan dengan mesin yang disalurkan di dalam mulutnya. 

Kata doktor masa perbedahan hanya 1 jam tapi jam ditangan sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi, masih belum ada tanda-tanda pintu keluar Dewan Bedah Utama akan dibuka. Tepat jam 11.45 pagi, "Ibu Afi Darwisy," suara manis dari jururawat memanggil. Sang ibu bergegas masuk ditinggalkan beg dan barangnya di bangku. Cepat-cepat aku mengambil barang dan mengikut dari belakang tapi tidak kesampaian kerana pintu telah ditutup. Kedengaran sayup-sayup suara Afi Darwisy menanggis berteriak. Aku terkejut dan berdoa. 




Setengah jam kemudian lebih kurang pukul 12.15 tengah hari 2 orang jururawat dari Pusat Rawatan Harian keluar dari lif dan mengambil katil. Ok Afi Darwisy akan dipindahkan ke wad harian, detik hati kecil ku. Benar dugaan aku kerana Afi Darwisy sudah dibenarkan keluar dari dewan bedah selepas dia stabil dan mulai sedar. 

"Afi Darwisy!" Aku memanggil sambil buat tanda peace. 
Sang kecil membuka mata dalam keadaan mamai dan kembali menutup mata.





 Aku diberi slip ubat untuk diambil di Lobi Makmur HTAA. Boleh tahan banyak ubat sang kecil ni. Setiba aku di wad kelihatan Afi Darwisy dah muka sedar sepenuhnya tetapi kesan bius masih ada kalau tak menangis tidak henti lah dia. Afi Darwisy akan dibenarkan pulang kalau dia sudah kencing, sudah boleh minum dan makan ais krim. Jadinya aku berusaha untuk Afi Darwisy pas semua arahan tersebut. 

"Afi jom gi kencing dari pagi Afi tak kencing", ajak aku dengan penuh kasih sayang.
Pada mulanya sang kecil mengelengkan kepala, tetapi setelah diajak 2-3 kali alhamdulillah akhirnya sang kecil akur. Ais kream pun telah abis dimakan bersulamkan dengan air sejuk. Setelah selesai doktor pembedahan dan bius melawat akhirnya Afi Darwisy dibenarkan untuk balik ke rumah. Terima kasih kepada mama Afi Darwisy (pengasuh) sekeluarga, Kak Sue, Sang Goku dan atuk nenek dari Jengka yang datang melawat sang kecil di wad. 



Tapi semuanya tidak selesai lagi kerana aku akan berhadapan dengan situasi dimana kesan bius akan mula hilang beberapa jam lagi. 

..... Bersambung ....

No comments:

Post a Comment

Gadis Bertudung Singkat

Setiap hari semasa waktu rehat tempat aku menjamu selera tidak lain dan tidak bukan di bawah pokok beringin yang sentiasa ditemani oleh...